Wednesday, August 24, 2011

Rahsia Khusyuk Dalam Sembahyang


Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. bertaubat

2. menyesali dosa yang dilakukan

3. tidak tergila-gilakan dunia

4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')

5. tinggalkan sifat berbangga

6. tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Tuesday, August 23, 2011

Jom Layan Nasyid - UNIC ; Binna Bil Huda


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah..bersua lagi kita pada hari ini..bersyukur pada Allah..kerana dengan limpah kurnia dan keizinannya kita dapat bersua lagi..

dalam masa yang ada ni..rasenye teringin la plak nak kongsikan lagi satu lagu nasyid yang agak sedap didengar..berentak selawat..banyak lagu-lagu yang berentak selawat ni..tapi..rasanya yang ini mudah untuk di ikuti bersama..ada lirik yang saya sertakan untuk sama-sama kita berselawat kepada kekasih kita..dialah Rasulullah s.a.w

jadi uktuk kali ini..saya nak berkongsi lagu nasyid yang bertajuk Binna Bil Huda yang dinyanyikan oleh UNIC..




semoga dengan kehadiran pos ini..kita dapat sama-sama menambah pahala dengan berselawat keatasnya..insya-Allah

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Koleksi Doa: Mohon Diberikan Rezeki Tatkala Kesempitan


"Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semua itu tersurat di dalam kitab (Loh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat) yang berkenaan."
- Surah Hud:6


Surah Hud Ayat 6

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ {6}

Keterangan ayat:

Menurut Hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam r.a, beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy'ariyyin yang baru sampai daripada perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka mengutuskan seorang dari kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Nabi S.A.W.

Apabila para utusan kaum tersebut tiba di rumah baginda Rasulullah S.A.W, beliau mendengar baginda Rasulullah S.A.W membacakan ayat ke-6 daripada surah Hud ini. Utusan tersebut pulang semula kepada keluarganya dan tidak jadi meminta makanan daripada Rasulullah kerana berasa yakin dengan doa yang dibaca oleh Rasulullah.

Setibanya beliau kepada kaum keluarganya tanpa diketahui kaum keluarganya , datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmati makanan tersebut sepuas-puasnya masih banyak lagi baki yang tnggal. Akhirnya mereka meminta agar diberikan kepada Rasulullah S.A.W untuk diagihkan kepada orang lain yang memerlukan makanan.

Selepas itu mereka bertemu dengan Nabi dan mengucapkan terima kasih. Rasulullah S.A.W menafikan penghantaran makanan itu. Sahabat yang merupakan utusan keluarga tersebut akhirnya membuat pengakuan yang dia tidak meminta makanan daripada Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah S.A.W kemudiannya menyatakan itulah dia rezeki Allah yang Allah janjikan buat makhluk-Nya.

(Tafsir al-Qurtubi, al-Durrul Manthur, tafsir ayat ke-6 surah Hud)

Alhamdulillah, maka marilah sama-sama kita amalkan doa ini dan jadikanlah ia doa amalan harian agar kita sentiasa dilimpahi rezeki Allah S.W.T terutama ketika kesempitan. Tetapi perlu juga ingat bahawa doa semata-mata tanpa usaha dan tawakal adalah tidak berguna. Wallahualam.

Sumber rujukan: Buku 101 doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran oleh Ustaz Haji Zahazan Mohamed

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Friday, August 19, 2011

Berdoa Pada Lailatul Qadar

Diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim dari Abu Hurairah radhiAllahu 'anhu, bahawa Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barangsiapa yang beribadah pada malam al-Qadr kerana iman dan mengharapkan keridhaan ALLAH, diampunilah dosa-dosanya yang terdahulu."

Beribadah dan Berdoa Pada Lailatul-Qadr

Diriwayatkan dari Aisyah radhiAllahu 'anha oleh Ahmad, Ibnu Majah dan juga Turmudzi yang menyatakan sahnya, katanya: "Saya bertanya, "Ya Rasulullah, bagaimana pendapat anda seandainya saya tahu malamjatuhnya Lailatul-Qadr itu, apakah yang harus saya ucapkan ketika itu?" Maka ujar Nabi sallAllahu 'alaihi wasallam: "Katakanlah:

"Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU maha Pemaaf dan suka memaafkan, maka maafkanlah daku ini."

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ 3 فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ 4
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). [3] (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). [4]
(Surah Ad-Dukhan 44: Ayat 3-4)

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Tawaran Bonanza Ramadhan! Rebutlah Tawaran Ini Selagi Ramadhan Masih Ada

Dari Aisyah radhiAllahu 'anhu berkata: "Bahawa Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam apabila telah masuk sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, diramaikannya waktu malam, dibangunkannya keluarganya dan diikat eratnya kain sarungnya." (HR Bukhari & Muslim)

Di Malam Mana Berlakunya Lailatul-Qadr?

Ada beberapa pendapat dari para ulama dalam menentukan malam yang mulai ini.

Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh satu, ada pula yang mengatakan bahawa ia adalah malam kedua puluh tiga, ada yang berpendapat malam kedua puluh lima, dan ada yang berkata ia berlaku pada malam kedua puluh sembilan, serta ada yang mengatakan bahawa ia berpindah-pindah pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari yang terakhir.

Tetapi kebanyakan mereka berpendapat bahawa jatuhnya Lailatul-Qadr ialah pada malam kedua puluh tujuh.

Diriwayatkan oleh Ahmad dengan isnad yang sah dari Ibnu Umar radhiAllahu 'anhu katanya telah bersabda Rasulullah sallAllahu 'alaihi wasallam: "Barangsiapa mencarinya, hendaklah dicarinya pada malam kedua puluh tujuh!"

Namun, dinasihatkan kepada semua jangan hanya menumpukan kepada satu-satu malam sahaja beribadah. Hendaklah berterusan ibadah kepada ALLAH setiap hari, dan diberi penumpuan yang lebih kepada 10 hari terakhir Ramadhan.

ذَٰلِكَ مِمَّا أَوْحَىٰ إِلَيْكَ رَبُّكَ مِنَ الْحِكْمَةِ ۗ وَلَا تَجْعَلْ مَعَ اللَّـهِ إِلَـٰهًا آخَرَ فَتُلْقَىٰ فِي جَهَنَّمَ مَلُومًا مَّدْحُورً
Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah).
(Surah Al-Isra' 17: Ayat ke 39)

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Wednesday, August 17, 2011

Cerpen - Jumpa Aku di Alam Barzakh..Aku Setia Menunggu 3

Tiba-tiba, Kid tersedar. Dia membuka dua kelopak matanya dan melihat dirinya berada di salah sebuah hospital di daerah tempat tinggalnya. Dia menoleh ke kiri, ayahnya melempar senyuman kegembiraan.

Kemudian, dia menoleh ke kanan dan tidak semena-mena seorang wanita yang amat dikenalinya memeluknya dengan esakan gembira.

"Ibu?" Kid kehairanan. Apa yang dia ingat adalah, dia sedang bersama seorang lelaki tua yang turut berada di dalam kuburnya. Dia diseksa dan dipukul bertalu-talu namun dia tidak bisa melihat wajah si pemukul tersebut.

Namun, dalam kebingungan tersebut, dia berasa bersyukur kerana dia belum lagi menjadi penghuni Alam Barzakh yang sebenar-benarnya. Setelah mendapat sedikit kekuatan untuk berbicara, dia bertanya kepada ibunya tentang apa yang sudah berlaku terhadap dirinya.

Ibunya memberitahunya dengan nada sebak bahawa dia sudah koma hampir 5 bulan dan terlantar dengan menggunakan bantuan oksigen di hospital tersebut.

"Alhamdulillah, terima kasih Ya Allah! Kau masih memberi peluang kepadaku untuk beribadah dan bertaubat kepada-Mu. Aku bersyukur ya Allah," Kid memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi.

Jelas sekali peristiwa misteri ketika dia dipertemukan dengan lelaki tua itu di dalam kuburnya sendiri telah betul-betul menyedarkan dirinya untuk kembali ke jalan yang diredhai Allah.

Selepas tiga hari dia tersedar daripada koma, dia telah dibenarkan pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan pulang, Kid hanya berdiam diri.

Otaknya ligat berfikir tentang lelaki tua yang pernah dimaki hamun dan dikasarinya sebelum dia terlantar koma. Di mindanya hanya satu, iaitu ingin memohon maaf daripada semua orang yang telah dikhianatinya suatu ketika dahulu. Bukan sahaja pakcik tua itu malah, Mak Mah, Linda dan ramai lagi orang kampung telah dianiyanyai olehnya.

Setibanya di rumah, Kid terus menuju ke surau menunggu kehadiran lelaki tua itu. Puas sudah ibu dan ayahnya melarangnya untuk keluar rumah kerana tahap kesihatannya masih rendah tetapi dia tetap merayu agar dibenarkan keluar kerana katanya ada urusan penting yang ingin dia selesaikan.

Kid menunggu lelaki tua itu di tempat yang biasa dia melepak bersama kawan-kawannya, iaitu berhampiran dengan surau kampung tersebut.

Kid atau nama sebenarnya Mohammad Naqid Bin Abdullah setia menunggu lelaki tua itu lengkap dengan mengenakan sepersalinan baju melayu bewarna biru laut dan berkopiah putih.

Lan yang sedang menunggang motosikal dan melalui jalan tersebut kehairanan kerana terlihat kelibat Kid yang lengkap berkopiah itu di tepi jalan tersebut. Dia tidak mengetahui lagi berita bahawa Kid telah sedar daripada koma. Lan serta-merta memberhentikan motosikalnya dan menghampiri Kid.

**********

"Kid, bila kau sedar daripada koma? Bila kau keluar dari hospital? Tak datang rumah aku pun?" Lan mengajukan soalan demi soalan kepada Kid. Dia gembira kerana rakannya itu telah pulang ke kampung halaman.

"Oh, kau rupanya Lan. Alhamdulillah, aku dah sedar sejak tiga hari lepas. Baru Pagi tadi aku dibenarkan keluar dari hospital. Maaflah, aku sibuk sekarang ni," jawab Kid perlahan dan tenang.

"Sibuk? Takpelah kalau kau sibuk. Eh, tapi yang aku pelik hari ni kan hari Khamis. Apasal kau pakai baju melayu, nak sembahyang Jumaat ke?" Lan bertanya lagi.

"A'ah, aku sibuk sikit. Bukan nak sembahyang Jumaat la. Aku tunggu orang tua yang ajak kita solat berjemaah hari tu. Aku nak minta maaf kat dia. Kau ada nampak dia tak?"

"Dah 5 bulan kau koma Kid. Orang tua tu dah meninggal betul-betul dua bulan lepas kau kemalangan. Tak apalaj, aku nak ke kedai ni. Mak aku kirim beli barang dapur. Nanti bising pulak mak aku kat rumah tu." Lan menjawab pertanyaan Kid dan terus beredar ke kedai Pak Mail.

Kid terkejut dengan khabar berita yang baru didengarinya itu. Dia menundukkan kepalanya ke tanah. Air matanya mula menitis. Kid sedih kerana lelaki tua itu telah meninggal dunia, sedangkan dia tidak sempat untuk meminta maaf kepada orang tua tersebut.

Kid terharu dan sebak kerana ketika peristiwa misteri yang terjadi di kuburnya itu berlaku, lelaki tua itulah yang telah banyak menyedarkannya tentang kesalahan-kesalahan lampaunya.

Air matanya menitis tanda terima kasih dan memohon maaf kerana orang tua tersebut telah mengembalikan dia ke jalan yang diredhai Allah.

Bibir Kid terkumat-kamit membaca surah al-Fatihah untuk dihadiahkan kepada lelaki yang dia tidak pernah dikenalinya tetapi banyak mengajarnya erti kehidupan itu. Pertemuannya dengan lelaki tua itu yang begitu singkat di alam kubur telah banyak merubah cara hidup Kid ke jalan yang lurus.

Azan Maghrib berkumandang. Kid mengesat air matanya dan bingkas bangun berjalan menuju ke surau. Dia mengambil wudhu' di kolah surau dengan tertib sekali. Selesai mengambil wudhu', dia melangkah perlahan melalui daun pintu surau dan masuk ke ruang solat.

Selesai solat Maghrib berjemaah, Kid masih duduk di lantai menangisi segala apa yang telah dia lakukan. Siak surau itu melihat Kid setelah selesai menunaikan solat sunat Ba'diah. Dia menghampiri Kid kerana itu adalah pertama kali seorang anak muda itu dilihatnya datang berjemaah ke surau itu.

"Assalamualaikum anak muda. Anak baru berpindah ke kampung ini ke?" Siak surau menyapa Kid.

"Waalaikumsalam. Tak, saya dh lama tinggal di sini. Cuma tak pernah datang ke sini." Kid membalas.

"Oh... bagus la anak datang ke sini, surau ni pun memerlukan warga muda untuk solat berjemaah disini. Takut nanti bila kami yang tua-tua sudah tak ada, tiada siapa yang ingin mengimarahkan surau ini lagi." Siak surau tersebut meluahkan rasa hatinya.

"Insya-Allah pak cik. Boleh saya tanya sikit?" Kid memulakan perbualan untuk mengetahui siapa sebenarnya lelaki tua yang telah mengubah dirinya.

"Ya nak, tanyalah." Siak membalas.

"Pak cik kenal dengan lelaki yang selalu datang ke surau memakau jubah putih. Kawan saya cakap lelaki tu dah meninggal 3 bulan yang lepas. Betul ke?" Kid bertanya.

"Oh itu arwah Hj. Hussain. Dia baru berpindah ke kampung ini 6 bulan yang lepas. Hidupnya sebatang kara, selepas kematian isterinya di Kuala Lumpur, dia berpindah ke sini. Katanya, dia tak ada anak dan sanak saudara lagi. Anak kenal ke dengan dia?" Siak menjelaskan pertanyaan Kid.

"Saya bukan siapa-siapa dengannya. Disebabkan dia la saya datang ke sini pak cik. Tapi saya dah tak sempat berjumpa dengan dia untuk memohon maaf dan berterima kasih. Kalau pak cik tak kisah, pagi esok boleh bawa saya ke kubur dia?"

"Insya-Allah. Jika tiada aral melintang, pak cik tunggu kamu di surau ni esok pagi."

*********

Kid mengambil senaskah surah Yaasin untuk di bawa ke perkuburan. Sesampainya Kid dan Siak di tanah perkuburan Islam kampung Sri Damai, Kid di bawa ke kubur Hj, Hussain yang terletak tidak jauh dari pintu pagar. Dia mengambil beberapa helai surat khabar lama di dalam raga motosikalnya untuk dibuat alas duduk.

"Anak, boleh pak cik bertanya sedikit? " Siak bersuara ketika perjalanan ke tempat Kid parkir motosikalnya.

"Ye, tentu saja boleh. Tanyalah pak cik." Kid memberi respon yang positif.

"Boleh pak cik tahu apa sebenarnya hubungan anak dengan arwah Hj. Hussain? " Tanya Siak kepada Kid kerana beliau hairan dengan perilaku Kid yang tiba-tiba beriya-iya meminta bantuannya agar dibawa ke kubur Hj. Hussain.

Kid melabuhkan punggungnya di sebuah pondok yang berada di luar kawasan perkuburan berdekatan dengan tempat dia memakir motosikalnya dan menceritakan segalanya yang terjadi antara mereka berdua sehinggalah tamat. Siak begitu terharu mendengar cerita Kid tentang apa yang terjadi di antara Kid dan arwah Hj. Hussain. Baginya pertemuan Kid dan arwah Hj. Hussain telah diatur oleh Allah agar Kid berubah menjadi seorang yang soleh. Jelas sekali Allah Maha Penyayang.

Selepas dua bulan Kid mengimarahkan surau kampung Sri Damai, Kid telah menerima tawaran untuk melanjutkan pengajiannya ke sebuah IPTA di sebuah negeri berhampiran ibu kota Kuala Lumpur.

Begitu banyak sekali manfaat yang dia peroleh melalui peristiwa-peristiwa yang terjadi padanya. Dia berazam untuk menjadi insan yang soleh dan diberkati Allah sepanjang hidupnya.

Tamat.


~ Menarik kisah ini..menceritakan tentang seorang pemuda yang liar dan biadab, yang kemudiannya mendapat hidayah dan kasih sayang Allah..tidak semua manusia yang diberi peringatan sebegini..jadi..renungkan bersama kisah ini..semoga kita menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari..insya-Allah. ^_^

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Cerpen - Jumpa Aku di Alam Barzakh..Aku Setia Menunggu 2

MA RABBUKA!MA IMAMMUKA!MA NABIYYUKA!MA QIBLATUKA!

Kid tersedar dengan pertanyaan tersebut. Sudah berapa tahun dia tidak mendengar bahasa yang di kemuka kepadanya itu. Yang dia tahu untuk menjawab jika soalannya hanya, 'WHAT'S YOUR NAME?', 'WHERE DO YOU LIVE?', 'YES', 'NO', 'THANK YOU', 'ALRIGHT'.

Kid membuka mata, malang buat dirinya kerana dia tidak melihat apa-apa melainkan suasana hitam.

"Argh.. Aku kat mana ni...? Aku dah buta ke...?!" Jerit Kid melontarkan persoalan demi persoalan sekuat-kuat hati.

"Zuuuussss... Pap!!!" Satu pukulan yang begitu menyakitkan hinggap ke tubuhnya. Sambil perkataan yang dia sendiri tidak pernah dengar kedengaran semula.

MA RABBUKA!
MA IMAMMUKA!
MA NABIYYUKA!
MA QIBLATUKA!

"Woi, apa nih main pukul-pukul sesuka hati! Sakitlah!" Kid terjerit kerana begitu marah dengan pukulan tersebut. Badannya terasa panas dan pedih akibat daripada pukulan yang terlalu menyakitkan itu. Walaupun berada di dalam keadaan gelap gelita, dia cuba untuk bangun daripada terus terbaring di atas tanah itu.

Tetapi, apakan daya dia kerana dia merasakan keadaan tempat pembaringannya begitu sempit hinggakan kepalanya tidak dapat diangkat. Manakan tidak, tangannya juga tidak mampu mengampu badannya naik daripada keadaan berbaring.

Tiba-tiba badannya terasa bahang yang panas. Semakin lama bahang tersebut semakin kuat terasa sehingga mengakibatkan seluruh badannya bertukar menjadi kemerah-merahan seperti daging yang sedang dipanggang akibat panas yang teramat sangat.

Dia menjerit sekuat-kuat hati. "Panasnya! Tolong aku! Keluarkan aku dari sini! Tolong!!"

Beberapa minit kemudian barulah rasa bahang itu semakin berkurangan. Seluruh badannya kini kelihatan seperti melecur akibat kesan daripada 'dipanggang' tadi.

Dia menangis namun dia berasa lega kerana bahang tersebut sudah tidak dirasakan lagi. Walaupun begitu, dia tidak tahu bahawa ada lagi seksaan yang bakal dirasakan.

Sedang dia mencungap-cungap bernafas dia merasakan seperti kehadiran air di tempat pembaringannya itu. Air itu kemudiannya semakin naik parasnya hingga menenggelamkan seluruh badannya kecuali bahagian mukanya yang berjaya diangkat sedikit.

"Tolong! Hoi apa ni? Siapa yang nak bunuh aku ni?! Argh!" Kid menjerit lagi. Kulitnya terasa amat sakit kerana kesan melecur tersebut terkena air. Dia juga khuatir akan mati lemas kerana paras air semakin meningkat dan terus meningkat.

Akhirnya air tersebut berjaya meneggelamkan seluruh tubuhnya termasuk hidungnya dan mukanya. Dia tidak lagi bisa bernafas. Dia cuba untuk bangun lagi tetapi tidak berjaya. Akhirnya dia menjadi lemah. Beberapa minit kemudian, air tersebut surut serta merta. Dia tersedak-sedak. Begitu banyak air keluar daripada seluruh rongga tubuhnya. Dia keletihan. Seluruh badannya terasa lenguh dan pedih.

Tiba-tiba datang cahaya terang yang amat menyilaukan. Satu lembaga berjubah putih, beserban tebal melingkupi kepala menghampiri dirinya yang terbaring. Dia menjerit riang kerana dia sedar bahawa dia belum buta. Dia cuba untuk mengenal pasti lembaga tersebut.

Alangkah terkejutnya Kid kerana lembaga tersebut adalah lelaki tua yang dia hampir-hampir melanggar semasa perjalanannya ke kedai Mak Mah.

Lelaki tua itu jugalah yang dia tolak sehingga rebah dan hampir terhantuk batu di bahu jalan kerana mengajak dia serta kawan-kawannya ke surau bersolat jemaah.

"Hoi, kau lagi! Tak habis-habis ganggu aku. Kau tak ada kerja lain ke selain dari mengganggu aku?" Jerit Kid kepada lelaki tua tersebut. Lelaki tua tersebut hanya melemparkan senyuman yang manis kepadanya.

Kid kehairanan. Dia terfikir juga untuk bertanya dimanakah dia berada sekarang.

"Eh, orang tua! Kau tahu tak aku ada kat mana sekarang ni?" Kid bertanya dengan nada angkuh.

"Kau sekarang berada di alam kubur wahai anak muda. Kau masih ingat bahawa kau pernah berkata kepadaku bahawa kubur kita adalah masing-masing?" Lelaki tua tersebut menjawab serta bertanya kepada Kid.

"Ah.... Aku tak percaya! Kalau kau cakap ini adalah kubur aku, kenapa kau berada dalam kubur bersama aku hah?" Kid marah mendengar kata-kata orang tua itu seolah-olah ingin mempermainkannya.

Lelaki tua tersebut kemudian berkata, "walaupun kubur kita berasingan, tetapi kau telah membawa aku ke sini kerana tanggungjawabku membawa kau ke jalan yang diredhai Pencipta kita, iaitu Allah. Walaupun kau bukan siapa-siapa dengan diriku, tetapi kau adalah sebahagian daripada diri aku. Sebab itulah aku mengajak kau ke surau untuk berjemaah menunaikan rukun yang telah wajib kepada kita sebagai seorang yang beragama Islam."

Kid terdiam. Bingung dengan huraian yang di buat oleh lelaki tua tersebut. Semakin lama semakin bingung kepala otaknya memikir maksud dari kata-kata lelaki tua itu. Marahnya semakin memuncak. Kepalanya serabut dengan kata-kata orang tua yang dirasakan langsung tidak masuk akal itu.

"Kau dah rasa pukulan yang hinggap di tubuh kau sebentar tadi? Macam mana rasanya? Sedap?" lelaki tua itu berseloroh.

"Celaka kau orang tua, rupanya kau yang memukul aku!" Bentak Kid.

"Bukan aku yang memukul kau orang muda. Pukulan itu dari Malaikat Nakir yang telah menyoal kau dengan bahasa yang kau tidak faham tadi. Dialah yang akan menjaga, menyoal dan menyiksa kau sehingga tibanya hari akhirat bersama Malaikat Mungkar. Satu soalan mereka kau tidak jawab dengan betul, satu pukulanlah kau akan terima. Satu perkara yang Allah larang di dunia tetapi kau masih melakukannya, satu pukulan juga kau akan terima, malahan lebih dahsyat lagi, satu pukulan itu boleh membenamkan kau ke lapisan ke tujuh bumi ini," begitu panjang penerangan yang dibuat oleh lelaki tua itu.

Kid mula berasa takut dengan penerangan lelaki tua itu dan hanya mampu mengetap gigi dan menelan air liur. Rasa marahnya tadi kini berganti dengan rasa takut

"Bayangkan berapa banyak perkara yang kau telah lakukan semasa kau di dunia? Berapa banyakkah kau meninggalkan suruhan Allah yang menciptakan kau anak muda? Kau tahu kenapa ke sini?" Kid di hujani pelbagai soalan oleh lelaki tua itu.

"Kenapa?" Kid bertanya.

"Kau ke sini kerana kemalangan jalan raya pada malam kau hampir melanggar aku dan petangnya kau menolak aku kerana aku mengganggu kau sedang bersuka dengan kawan-kawan kau dan juga kerana kau lari dari Mak Mah yang mengamuk akibat kau mencium anaknya Linda! Kau tahu berapa banyak salah kau pada tempoh hari?" Tanya lelaki tua itu dengan nada yang agak tinggi.

Kid kelihatan seperti merasa kesalahannya kerana takut dipukul akibat kesalahan yang dia telah lakukan semasa dia hidup. Dia hanya menganggukkan kepala sebagai tanda ingin mengetahui apa yang dia telah lakukan.

"Kenapa kau diam orang muda? Mana suara kau yang kuat semasa menjerit marah kepadaku? Kau takut ya sekarang?" lelaki tua itu bertanya lagi dan tersenyum.

"Kau cuba bayangkan, dalam masa sehari kau telah melakukan pelbagai perkara mungkar dan meninggalkan perintah Allah yang wajib ditunaikan oleh setiap manusia yang beragama Islam. Pertama, kau tidak menghormati orang yang lebih tua dari kau. Malah, kau berkasar pula dengannya iaitu aku. Ketiga, kau bercakap dusta. Keempat, kau menjatuhkan maruah seorang wanita dengan mencabul hak dia. Itu semua termasuk dalam golongan dosa besar wahai anak muda. Mencabul seorang wanita banyak yang merosakkan maruah dia. Tahukah kau bahawa bersentuhan kulit seorang lelaki dan wanita yang halal nikah adalah termasuk dalam kategori zina walaupun kedua-duanya suka sama suka. Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

"Dari Maqil bin Yasar r.a berkata : Seandainya kepala seseorang ditusuk jarum besi itu lebih baik daripada ia menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (hadis hasan diriwayat oleh Tabrani dan mujam kabir)

"Hadis ini adalah bermaksud melarang sekeras-kerasnya seorang lelaki menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya. Itu adalah etika pergaulan kita sebagai seorang muslim dengan muslim yang lain. Apabila kita melanggar semuanya atau sebahagian sudah menjadi dosa zina baginya," terang lelaki tua itu dengan begitu mendalam sekali.

"Bersiap-sedialah kau sebentar lagi untuk diazabkan atas perbuatan kau selama ini," lelakit tua itu mengingatkan Kid lagi terhadap azab yang bakal dialaminya selepas ini.

" Pak cik, saya minta maaf kerana mengasari pak cik tempoh hari. Boleh tak saya kembali ke dunia untuk meminta maaf kepada semua orang yang telah saya kasari dan khianati?" Kid merayu dalam nada yang penuh ketakutan.

Baru sekarang dia memanggil lelaki tua tersebut dengan panggilan dan nada yang sopan. Kid berasa begitu jahatnya dia semasa di dunia dan dia berasa begitu bersalah atas perbuatannya.

"Kau sudah terlambat orang muda. Masakan seorang manusia akan hidup kembali ke dunia untuk menebus segala dosa-dosa yang telah dilakukannya semasa hidup di dunia. Tak mungkin, hidup di bumi hanya sekali," ujar lagi lelaki tua itu.

"Tolonglah saya pak cik, saya masih muda. Saya ingin bertaubat nasuha dan mengikut kata pak cik dan ingin bersama pak cik. Pak cik tolonglah saya," rayu Kid kepada lelaki tua itu agar dibenarkan bertaubat..

"Baiklah, tetapi kau mesti mematuhi semua janji yang kau telah utarakan pada hari ini. Ingat, ini janji kau kepada Allah kerana kau berjanji untuk bertaubat nasuha.."

Bersambung.....

~RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL~

Cerpen : Jumpa Aku Di Alam Barzakh..Aku Setia Menunggu

"Hoi, kau jangan buat hal kat sini boleh tak?? Aku buat hal aku, kau buat hal kau. Kubur masing-masing. Kau jaga kubur kau sudah la."

Jerit Kid kepada seorang lelaki tua berkopiah kerana menganggu rutin harian seorang kacang hantu Kampung Sri Damai yang sedang asyik terpekik menyanyi bersama petikan gitar kapak yang di petik oleh Man bersama kawan-kawannya di pondok tepi jalan bersebelahan surau.

Lelaki tua itu datang mengajak mereka untuk berjemaah menunaikan solat fardhu Asar. Lelaki tua itu ditolak oleh Kid kerana menganggu masa bergembira mereka.

Lelaki tua itu jatuh nyaris-nyaris terhempas kepalanya atas batu di bahu jalan. Lelaki tua itu bangun dan berlalu dari tempat kacang-kacang hantu berlepak terus ke masjid.

"Kid, kau tak patut la tolak orang tua tu, biar jelah dia mahu ceramah, kita buat tak tahu sudahlah," Lan, menegur Kid kerana bersikap keterlaluan terhadap lelaki tua tersebut.

"Ah, aku tak kira! Siapa suruh dia ganggu time kita nak happy-happy," balas Kid dengan nada angkuh.

"Eh, malam ni kita nak lepak mana eh? Aku boring la lepak kat kedai Mak Mah tu, penat aku asyik ngadap muka orang tua tu je," Ajib mencelah tiba-tiba.

"Weh, siapa kata kita dok ngadap muke orang tua tu? kita tak usha la orang tua tu. Kita usha anak dia la," Lan menyampuk.

"Hah, ni yang buat aku marah ni. Linda tu aku punya la. Ko jangan buat aku panas Lan!" Kid memberikan amaran kepada Lan.

"Ala, kau punya pun aku tak kisah la. Aku dah pernah pegang tangan dia beb. Kau pernah ke?" Lan menaikkan darah Kid lagi.

"Aku dah pernah cium dia la!" Kid membalas tidak mahu kalah.

"Eleh, kau cakap je. Kami tak pernah tengok pon," Lan meyampuk dengan nada mencabar.

"Ok fine, malam ni aku nak korang tengok, aku cium dia depan korang." Kid membalas lagi dengan nada geram.

**********

Sewaktu azan Isyak, mereka menuju ke kedai Mak Mah dengan menunggang motosikal masing-masing. Dalam perjalanan, mereka sempat lagi berlumba.

Tiba di suatu persimpangan, Kid yang menunggang laju dihadapan kawan-kawannya hampir melanggar seseorang yang berjalan kaki. Dia membrek motosikalnya dengan mengejut untuk memarahi orang tersebut. Kawan-kawannya yang di belakang juga turut berhenti.

"Woi, tak reti nak jalan kat tempat lain ke!"Jerit Kid.

Seorang yang berjubah putih bangun dari tempat ia rebah dengan mengusap-usap jubahnya kerana terkena tanah dan rumput bergerak kearah Kid. Kid terkejut kerana lelaki tersebut adalah lelaki tua yang mengajak mereka ke masjid untuk berjemaah Asar yang lalu.

Kid yang melihat wajah lelaki tua itu menjadi lebih marah kerana dua kali lelaki tua itu telah mengganggu aktivitinya.

"Engkau lagi orang tua! Tak habis-habis la ganggu aku! semak betol!" Jerit Kid di hadapan lelaki tua itu.

"Kenapa anak ni bawa moto laju sangat. Boleh tumpangkan pak cik ke surau tak?" Lelaki tua itu bersuara tersekat-sekat kerana menahan sakit akibat jatuh sebentar tadi.

"Hey orang tua! dah la kau ganggu aktiviti aku, sekarang kau nak mintak tumpangkan kau pula? Jalan sendiri la weh! Menyusahkan je la kau ni!." Sinis kata-kata yang Kid hamburkan terhadap lelaki tersebut.

"Alah, sambil-sambil tumpangkan pak cik, bolehlah kita berjemaah sekali di surau."Seloroh lelaki tua tersebut sambil mengajak kacang-kacang hantu kampung Sri Damai ke surau.

"Em, sori la pak cik. Kami banyak kerja nak buat." Ujar Lan. Kid yang bengang dengan seloroh lelaki tua tersebut terus menunggang motornya ke destinasi yang mereka telah rancang Asar tadi. Mereka yang di belakang terus mengejar Kid yang sudah jauh di hadapan.

Sesampainya mereka di kedai Mak Mah, mereka melabuhkan punggung masing-masing di kerusi tempat selalu mereka duduk melepak sambil menganggu Linda yang membantu emaknya melayan pelanggan yang datang ke kedai mereka.

Linda yang sedang menuntut di sekolah menengah di tingkatan 4 hanya membantu emaknya selepas dia siapkan kerja sekolah. Kadang-kadang dia tidak membantu emaknya kerana kerja sekolah yang banyak.

Nasib kacang-kacang hantu ini bertuah kerana malam tersebut Linda membantu emaknya awal kerana tiada kerja sekolah.

Mak Mah yang melihat kehadiarn mereka meminta Linda untuk mengambil pesanan kacang-kacang hantu tersebut. Linda mulanya menolak permintaan emaknya kerana malas melayan kerenah kacang-kacang hantu tersebut.

Setelah beberapa kali menolak, dia terpaksa akur dengan permintaan emaknya kerana emaknya banyak pesanan pelanggan yang perlu disiapkan. Malang buat Linda kerana pekerja yang selalu melayan pelanggan tidak dapat datang kerja kerana sakit perut.

Dalam perjalanannya ke meja si kacang-kacang hantu itu, sudah kedengaran pelbagai halwa telinga yang begitu sumbang diselangi pula dengan hilai tawa yang menantikan kehadirannya.

"Sayang.. cepat la datang amik order, abang lapar nih.. " jerit Kid yang diselangi gelak ketawa kawan-kawannya. Linda hanya mampu mampu menutup telinga dengan tudung yang dipakainya sahaja.

"Amboi... cantiknya sayang abang malam ni." Tambah Kid lagi seronok dapat mengusik Linda dihadapan rakan-rakannya.

Setelah Linda sampai, Lan mengingatkan kembali tentang cabaran mereka terhadap Kid kerana dia terlalu bongkak menyatakan perkara yang haram berlaku di antara lelaki dan perempuan yang ajnabi bagi seorang lelaki yang belum lafaz akad nikah.

Kid mula panas dengan ayat yang keluar dari mulut Lan. Kawan-kawan mereka juga turut bersuara. Kid mencari waktu untuk menghasilkan cabaran yang di buat oleh kawan-kawannya.

Kebetulan pula Linda bergerak ke arah Kid untuk mengambil pesanan, Kid yang tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu terus berdiri dan mencium pipi Linda yang putih lagi mulus di hadapan kawan-kawannya.

Linda menjerit, dan terus berlari ke dapur memberitahu Mak Mah. Kid mendapat pujian dari kawan-kawannya kerana telah mengotakan janji.

Dalam keseronokkan mereka bergelak ketawa, Mak Mah datang dari arah dapur ke meja kacang-kacang hantu dengan membawa sebilah parang.

Ajib yang duduk bertentangan arah dapur terlihat kelibat Mak Mah datang ke arah mereka dengan tergesa-gesa sambil menggenggam sebilah parang.

"Woi, Mak Mah dah mengamuk la!" Jerit Ajib.

"Gila, siap dengan parang lagi. Tunggu apa lagi, cabut la." Kid mengajak kawan-kawannya lari dari kedai Mak Mah. Mereka bertempiaran lari dengan menunggang motosikal ke serata pelosok kampung.

Kid yang tidak tahu kemana arah untuk lari bertindak keluar ke jalan raya.

Tiba di persimpangan jalan, Kid membelok ke arah kiri masuk ke jalan raya tanpa memaling ke arah kanan untuk melihat ada kenderaan atau tidak.

"Streeeeeiiikk... Bam..!" Geseran tayar kereta yang membrek secara mengejut memecah hening malam itu.

Bontot motosikal Kid dilanggar dari arah belakang, dan dia tercampak kehadapan sejauh 200 meter.

"Stttrrrreeeeeeiiiikkkkk...." Geseran tayar kereta sekali lagi kedengaran yang hampir melenyek tubuh yang rebah dia atas jalan. Kid dilenyek kereta jenis Toyota Triton 4X4. Keadaan sedikit huru-hara dengan kemalangan tersebut...

bersambung...

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Monday, August 15, 2011

Doa yang Mustajab : Waktu dan Amalannya

Solat hajat merupakan amalan yang sinonim dengan masyarakat kita. Selalunya jikalau ada sesetengah perkara contohnya peperiksaan anak, solat hajat selalunya didirikan dengan bacaan-bacaan tertentu untuk memohon pertolongan Allah S.W.T di dalam sesuatu perkara ataupun selain daripada itu.

Namun pernahkah kita menyemak semula, adakah solat hajat itu dari amalan Rasulullah S.A.W? Apakah baginda S.A.W dan para sahabat pernah mendirikan solat hajat bagi memohon pertolongan Allah S.W.T? Adakah para sahabat pernah mengamalkannya di kala kesusahan? Jikalau baginda S.A.W tidak pernah mengamalkannya, maka apakah amalan yang baginda S.A.W dirikan bagi memohon pertolongan Allah S.W.T semasa baginda mempunyai hajat ataupun ketika ditimpa kesusahan? Apakah waktu-waktu yang baik untuk kita berdoa, agar amalan kita selari dengan kaedah dan amalan yang telah dilakukan Nabi Muhammad S.A.W? Apakah ada alternatif lain bagi kita untuk berdoa memohon hajat, selain daripada mendirikan solat hajat?

Sesungguhnya amalan solat hajat itu berasal dari hadis yang tidak berapa kuat sanadnya, atau dengan kata lain, hadis yang dhaif. Adapun bagi mereka yang mengatakan amalan solat hajat itu ada dalam amalan sunnah, dalam masa yang sama mereka mengatakan bahawa:

1) Tidak boleh didirikan secara berjemaah kerana bukan itu yang dilakukan di dalam hadis.

2) Tiada bacaan yang khusus di dalam solat hajat, iaitu rakaat pertama sekian bacaannya, rakaat kedua sekian bacaannya.

Berikut amalan, cara-cara dan waktu-waktu yang mana insya-Allah, merupakan jalan yang baik untuk kita memohon pertolongan Allah S.W.T. Segala apa yang ada di sini adalah hasil dari pembacaan dan juga pengajian penulis di dalam bidang hadis, dan diambil dari hadis-hadis yang sahih.

Waktu-waktu mustajabnya doa.

01.Satu pertiga malam

Iaitu di antara jam 3.30 pagi atau jam 4 pagi sehingga ke sebelum Subuh. Ini kerana, di dalam hadis Imam Muslim, Nabi S.A.W bersabda, maksudnya:

Allah S.W.T turun dari Arasy-Nya ke langit yang pertama, (iaitu langit dunia) di sepertiga malam, seraya bersabda kepada para malaikat yang menjaga langit pertama, "Adakah di antara hambaKu yang berdoa? Aku akan perkenankan. Adakah di antara hamba-Ku yang memohon keampunan? Nescaya akan aku ampunkan dosanya". Maka sepertiga malam, atau solat tahajud merupakan waktu yang sangat afdhal untuk kita berdoa kepada Allah S.W.T.

02.Sewaktu hujan turun

Ketika ini, pintu rezeki dari langit sedang terbuka luas.

03.Waktu di antara dua khutbah khatib pada solat Jumaat

Sepertimana yang telah kita sedia amalkan di mana antara dua khutbah, imam akan membacakan doa dan selawat. Namun adalah lebih afdhal andai di sini kita berdoa secara individu, sebagaimana yang penulis lihat telah mula diamalkan di sesetengah masjid di kawasan Selangor. Ini kerana setiap jemaah yang datang mempunyai hajat, keperluan dan doa yang berlainan di antara satu sama lain.

04.Sewaktu membacakan syahadah akhir setiap kali waktu solat

Oleh itu nabi Muhammad S.A.W telah mengajarkan kita doa yang khusus untuk dibacakan di sini, yang akan penulis garapkan di bawah.

05. Tempoh masa dari azan hingga iqamat, dan juga sewaktu bilal telah iqamat untuk solat, dan sewaktu masuk ke dalam saf.

06. Setiap sujud di dalam setiap waktu solat

Nabi Muhammad S.A.W menyuruh kita memanjangkan sujud kita andai kita mempunyai sebarang doa, dan baginda tidak pernah mengkhususkan sujud mana yang perlu dipanjangkan sama ada sujud di rakaat pertama, kedua, ketiga, atau keempat. Maka, kita boleh memanjangkan mana-mana sujud untuk meluangkan masa berdoa kepada Allah S.W.T. Adapun jikalau doa yang ingin dibacakan semasa sujud ini adalah di dalam bahasa selain bahasa Arab, maka hendaklah dibacakan di dalam hati, kerana selain bahasa Arab akan membatalkan solat. Itu merupakan kata-kata para ulama' fekah termasuk As-Syafi'e rahimahullah.

07.Waktu dhuha

Waktu Dhuha ialah waktu setelah berakhirnya masa tahrim (waktu yang diharamkan solat, dari selepas solat subuh sehingga waktu:

1) Menurut Nabi Muhammad S.A.W, bangunnya anak unta dari tidurnya atau

2) kata orang-orang tua kita, tinggi matahari sudah mencapai dua galah iaitu lebih kurang sejam sebelum masuknya solat Zohor.

Malahan di antara fadhilat solat Dhuha ialah memurahkan rezeki. Insya-Allah...

Amalan-amalan yang memustajabkan doa.

01.Memperbanyakkan amalan-amalan yang sunat setelah kita sudah mencukupkan amalan-amalan yang wajib.

Adapun amalan-amalan sunat yang sunnah, sila rujuk kepada artikel penulis "Mengejar Cinta Pemilik 'Arasy".

02.Memanjangkan sujud di dalam solat, dan berdoa di dalamnya sebagaimana yang penulis jelaskan di atas.

03.'Menebus' kembali amal baik yang telah kita lakukan.

Seperti yang kita dapati di dalam surah Ali-Imran, yang merupakan bacaan yang baik untuk solat Tahajjud, iaitu,

"Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam Neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada Iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji." [Ali-Imran 3:192-194]

Kita lihat di sini sebagai dalil, bahawa boleh bagi kita setelah beramal baik, untuk kita menebus kembali (claim) daripada Allah S.W.T agar memustajabkan doa kita. Hal ini juga telah penulis bawakan di dalam kisah tiga orang sahabat yang terperangkap di dalam gua.

04.Menghulurkan pertolongan.

Menolong orang lain, terutamanya mereka yang dekat dengan kita seperti kaum keluarga dan sahabat handai. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Andai kamu menolong saudara kamu, Allah akan permudahkan bagi kamu urusan kamu".

05.Sabar.

Sabar dalam menghadapi ujian Allah S.W.T. Doa orang yang bersabar sangat didengari Allah S.W.T.

Doa-doa yang mustajab.

01.Ingin penulis kongsikan di sini beberapa doa yang sangat mustajab untuk dibacakan ketika memohon pertolongan Allah S.W.T. Salah satu daripadanya:

"Allahumma inni as aluka anniy asyhaduka annaka antaAllah, laa ilaa ha illa anta, al-waahidus somadul lazi lam yalid walam yuulad, walam yakun lahu kufuan ahad", yang bererti:

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu, dengan bahawasanya aku menyaksikan bahawa Engkaulah Allah, tiada Tuhan yang selayaknya disembah melainkan Engkau, Engkau Maha Esa, tempat meminta, Engkau tidak beranak dan Engkau tidak dilahirkan, dan tiada bagi-Mu tandingan dari sesuatu apapun."

Doa ini merupakan doa seorang sahabat yang didengari Rasulullah S.A.W, lalu baginda S.A.W bersabda, "Engkau telah berdoa kepada Allah S.W.T dengan tauhid-Nya, yang mana jika engkau berdoa dengannya nescaya pasti akan Dia kabulkan." Hadis Hasan riwayat Imam Ahmad.

02.Doa Nabi Musa A.S sebagaimana yang direkodkan di dalam al-Quran, "Rabbi syrah li sodri, wa yassirli amri, wahlul 'uq datan min lisaniy, yafqahu qauliy", bermakna:

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, permudahkanlah urusanku, dan bukalah simpulan dari lidahku, agar mereka memahami perkataanku."

03.Membaca nama-nama Allah S.W.T, yang berkaitan dengan doa kita.

Sebagai contoh, ar-Raazik (Maha Pemberi Rezeki) jika memohon rezeki, al-Ghafuur (Maha Pengampun) jika memohon taubat, ar-Rahiim (Yang Maha Pengasih) jika memohon belas kasihan, al-Jabbar (Yang Maha Kuat) jika memohon pembelaan dan juga lain-lain.

Bahkan afdhal juga jika dibacakan kesemua 99 nama Allah, dan berdoa setelah membacanya. Ini kerana sabda nabi S.A.W, "Nama-nama Allah seratus kurang satu, sesiapa yang menghitungnya (menghayati dan mengamalkan) akan masuk Syurga". Maka dengan itu nama-nama Allah sangat mustajab jika didahulukan sebelum berdoa.

04.Doa tahiyat akhir, iaitu "Allahumma 'auzubika min 'azaabi jahannam, wa 'auzubika min 'azaabil qabri, wa 'auzubika min fitnatil mahyaa wal mamaat, wa min syarri fitnatil masiihid dajjal", maksudnya:

"Ya Allah ya tuhanku, aku berlindung dengan-Mu dari seksa Jahanam, dan aku berlindung denganMu dari seksa kubur, dan aku berlindung dengan-Mu dari fitnah orang yang hidup atau mati, dan aku berlindung denganMu dari fitnah al-Masih Dajjal"

Sungguh jika kita lihat secara teliti, dan kita pelajari dengan minda dan hati yang terbuka, kita akan dapati terlalu banyak doa dan amalan yang membawa kepada mustajabnya doa kita. Andai kita cuba beramal dengan semuanya, nescaya kita tidak akan mampu untuk beristiqamah dengannya. Kerana itu kita katakan bahawa ibadah baginda S.A.W adalah ibadah yang paling sempurna.

Penulis mengharapkan agar kita semua dapat berbalik kepada keindahan sunnah nabi S.A.W, dan kembali mengikuti cara dan saranan baginda S.A.W di dalam beribadah, agar doa kita tergolong di dalam doa-doa yang mustajab.

Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari doa yang tidak mustajab dan dari ilmu yang tidak berguna.

Ya Allah... Aku berlindung dengan-Mu dari najis bid'ah dan syirik.

Ya Allah peliharalah kemurniaan aqidah kami kepada-Mu.

Selawat dan salam ke atas rasul junjungan Muhammad S.A.W, ahli keluarga baginda dan sahabat handai baginda yang beroleh kebaikan di sisi-Mu.

Ya Allah... Bimbinglah kami selama mana kami hidup bernafas, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang mendapat kebaikan di sisi-Mu.

Ya Allah... Sudahkah aku sampaikan pesanan-Mu...?

Ramadhan bukan sekadar ruhiyah tapi bulan siyasah

Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.

Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.

"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud al Baqarah: 185)

Melalui al-Quran, maka Allah SWT menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.

Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW.

Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.

Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan seluruh bumi umat Islam di dunia ini.

Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.

Semoga Ramadan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Ramadan Kareem” kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat. - Harakahdaily

Ustaz Abu Bakar Hussain

Isu Semasa - Larang guna pembesar suara selaras syarak

KOTA BHARU, 14 Ogos: Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) tidak membenar masjid menggunakan pembesar suara menyiar bacaan al-Quran sebelum Subuh selari dengan syarak.

Menteri Besar berkata, Islam tidak menggalakkan bacaan al-Quran diperdengar dengan kuat terutamanya menggunakan pembesar suara kecuali azan.

"Hanya azan sahaja yang perlu dikuatkan dengan tujuan untuk menyeru umat Islam menunaikan solat dan meninggalkan sementara urusan dunia," katanya selepas merasmikan pelancaran Koperasi Rakyat Kelantan Berhad di KTC hari ini.

Beliau diminta mengulas larangan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang menggunakan pembesar suara di masjid sebelum solat Subuh kerana ia dianggap mengganggu ketenteraman masyarakat berbilang kaum.

Sebelum ini media melaporkan JHEAIPP mengarahkan semua masjid dan surau menghentikan bacaan al Quran menggunakan pembesar suara sebelum Subuh kerana bercanggah dengan hukum syarak.

Arahan tersebut juga selaras dengan keputusan masyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri berkenaan pada 7 April lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, umat Islam jangan begitu seronok membaca al-Quran dengan menggunakan pembesar suara kerana ia tidak elok dan boleh mengganggu ketenteraman orang ramai terutama kanak-kanak sedang tidur.

"Di Kelantan mungkin tak apa, sebab sudah menjadi perkara biasa, namun sesetengah tempat mungkin tidak boleh dan keputusan itu perlu dihormati," ujarnya.

Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak berkata, suasana masyarakat berbilang kaum perlu diambil kira apabila memperdengarkan bacaan al Quran secara kuat sebelum Subuh.

Katanya, bagi penduduk tinggal di negara yang majoritinya orang Islam perkara seperti itu tidak berbangkit kerana orang ramai sudah faham.

“Apa yang diputus di Pulau Pinang itu selaras dengan kehendak syarak kerana suasana persekitarannya bukan hanya didiami orang Islam sahaja.

“Syarak hanya membolehkan azan dilaungkan dengan kuat bagi menyedarkan orang yang tidur supaya bangun menunaikan solat,” ujarnya di sini.

Tindakan JHEAIPP turut disokong pensyarah USM, Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin dan Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya yang memberi contoh Rasulullah saw pernah melarang orang membaca al-Quran secara kuat dalam masjid kerana boleh mengganggu jemaah lain.-Harakahdaily

Sunday, August 14, 2011

Jom Layan Nasyid - In Team ; Kepastian


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.. ^_^

apa khabar semua sahabat blog sekalian..saya harapkan agar kita semua berada dalam keadaan sihat walafiat dan ceria-ceria selalu hendaknya..bagamaina dengan puasa sahabat semua??OK? Alhamdulillah..klo tak OK takpe..masih ada masa lagi..ingat..ramadhan makin hampir ke penghujungnya..sekarang ni sedar atau tak dah pertengahan Ramadhan sekarang ni..semoga Allah kuatkan hati dan iman kita untuk terus mengharungi bulan Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan kenikmatan ini dengan sabar dan tenang sentiasa..

ok..untuk kali ni..saya cuba tampilkan sedikit kelainan dalam blog ni..asyik artikel je kan..jadi untuk kali ni..jom kita layan nasyid plak..sekurang-kurangnya bleh la jugak hiburkan hati dengan hiburan yang mendidik jiwa ni..untuk kali ni..kita akan dengarkan lagu daripada In Team yang bertajuk Kepastian..lirik lagu ni menarik..kalau dihayati betul-betul..mungkin dapat menimbulkan sedikit kegerunan dengan azab Allah..



saya tertatik dengan lirik lagu ini..pada bahagian yang ini :-

" Syurga,
Adalah kelazatan,
Terbentang buat hamba beriman,
Yang kasihkan Tuhannya,
Yang kasihkan Rasulnya,
Yang kasih Agamanya.

Neraka,
Tempat Kedukaan,
Angkara kedurjanaan insan,
Yang lupakan Tuhannya,
Yang lupakan Rasulnya,
Yang lupa Agamanya.

Siapakah yang lebih mulia,
Dari mereka yang tidak lupa,
JANJI ALLAH ADALAH KEPASTIAN,
Dan nikmat Syurga adalah indah."

dengarkanlah bait lagu ini..semoga kita dapat manfaat daripadanya..
Renung-renungkan dan selamat beramal ^_^

Thursday, August 11, 2011

Syukur dan Sabar


Dalam kesibukan diri melayari bahtera kehidupan ini, banyak dugaan dan cabaran yang kita temui, mungkin ada cabaran yang berjaya kita harungi, dan ada yang sebaliknya.

Cuma hakikatnya, kita sebagai manusia memang tidak lepas dari menghadapi dugaan ini.

Para ulama' dan ahli ibadah zaman dahulu mengklasifikasikan ujian yang diterima oleh seseorang itu adalah mahar yang akan dijadikan saksi ketika hari yang tiada saksi melainkan amalan yang soleh, ia juga dianggap sebagai sebuah nikmat kerana bagi mereka Allah masih menerima amalan dan masih melihat mereka.

Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Sifat Syukur

Syukur adalah satu sifat yang sangat penting di dalam diri seseorang.

Tanpa syukur, seorang manusia itu akan lupa daratan dan sentiasa merasakan diri merekalah yang sebenarnya sempurna dan berkuasa.

Lihat sahaja kepada contoh golongan yang tidak bersyukur yang telah dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagai iktibar kepada hamba-Nya.

Firaun Dan Pengikutnya

Firaun adalah seorang raja yang telah diberikan keistimewaan oleh Allah S.W.T dengan tidak pernah jatuh sakit sepanjang hidupnya. Di samping itu juga, dia diberikan sebuah kerajaan yang sagat besar dan kuat iaitu kerajaan Mesir ketika itu.

Tetapi malangnya, Firaun menjadi sombong dan lupa diri.

Oleh kerana keistimewaanya itu, dia merasakan dirinya adalah Tuhan yang patut disembah - dia menyuruh seluruh rakyatnya menyembah dirinya.

Sehinggakan Allah S.W.T mengutuskan Nabi Musa a.s. untuk menjadi petunjuk ke atas rakyat yang telah dizalimi tadi.

Allah S.W.T juga memberi balasan yang setimpal ke atas perbuatan angkuh Firaun itu dengan menenggelamkan dia di Laut Merah sewaktu cuba membunuh Nabi Musa a.s.

Begitu juga yang terjadi ke atas Haman; perdana menteri yang dilantik ketika pemerintahan Firaun.

Dia banyak menghabiskan duit rakyat dan sentiasa mengampu Firaun dengan kata-kata manis untuk mengekalkan kedudukannya selaku perdana menteri; orang yang kedua tertinggi dalam kerajaan Firaun laknatullah.

Kisah Raja Namrud

Raja Namrud juga salah satu contoh manusia yang tidak bersyukur atas pemberian Ilahi, bukan sahaja bersifat angkuh tetapi dia mahu membakarnya hidup-hidup Nabi Ibrahim a.s. yang diutuskan oleh Allah ke atas kaum mereka.

Namun dengan sifat kasih sayang Allah S.W.T, api yang sepatutnya bersifat panas dan membakar menjadi dingin dan selamat untuk Nabi Ibrahim a.s. dan Namrud pula akhirnya dimusnahkan dengan dihantar seekor nyamuk yang masuk ke dalam kepalanya untuk memakan otaknya.

Manusia Yang Paling Sabar

Nabi Ayub dikurniakan kesempurnaan kehidupan oleh Allah S.W.T. Baginda dikurniakan harta yang banyak dan keluarga yang bahagia, tetapi kuasa Allah S.W.T lebih hebat apabila menguji baginda dengan menarik sedikit demi sedikit nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada Nabi Ayub.

Ia bermula dengan harta yang semakin berkurangan, anak-anak yang meninggal dunia dan seterusnya dengan penyakit sopak yang menjijikkan.

Mengenai pelbagai ujian itu Allah S.W.T berfirman, maksudnya:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, 'Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali'."

Walaupun diuji dangan begitu hebat sekali, beliau masih tetap percaya Allah S.W.T ada menyelitkan hikmah di sebalik kedukaan ujian yang melandanya.

Akhirnya dengan sifat kesempurnaan Allah, segala ujian yang diberikan digantikan semula dengan kegembiraan dan Nabi Ayub a.s dinaikkan darjat sebagai orang yang bersabar di atas ujian yang menimpa.

Jesteru ayuh sahabat sekalian, majulah dalam menempuh ujian hidup ini kerana ada sesuatu yang manis sedang menunggu kita.

Ingatkan teman yang lain dan ingatkan diri kita sendiri.

Moga Allah memberi taufiq ke atas diri kita dan dikurniakan kejayaan di atas amalan yang dilakukan.

"Ya Allah jangan Kau uji kami dangan ujian yang tidak tertanggung oleh kami, sesungguhnya kami hamba-Mu yang daif dan lemah."

"Tanpa keberanian, mimpi takkan bermakna."

"Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan.

Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati."

. : Ikhlas : .

Ikhlas ialah kedudukan paling tinggi selepas Iman. Ikhlas adalah rahsia Tuhan sehinggakan para malaikat pun tidak tahu dan yang empunya diri pun tidak dapat mengesannya. Ia juga adalah penentu samada amalan diterima atau ditolak.

Terdapat para sahabat yang apabila mendengar tentang ikhlas mereka akan menangis. Mereka berasa tidak selamat dan tidak mungkin dapat memperolehi ikhlas kerana begitu tingginya nilaian untuk mendapat sifat ikhlas.

Islam tidak membenarkan seseorang mengaku ikhlas. Sesiapa yang mengaku ikhlas walaupun sebelum ini ikhlas maka secara automatik keikhlasannya terbatal.

Contoh-contoh yang dikatakan mengaku ikhlas;

Membantu seseorang sambil berkata,

"Ambillah, saya ikhlas."

Menolong seseorang tapi pertolongannya ditolak,

"Saya tolong awak ini ikhlas tetapi sedih kerana awak menolak."

Dalam menulis surat kita selalu mengakhiri dengan tandatangan,

"Yang Ikhlas."

Tiada sesiapa yang berhak mengaku ikhlas. Cuma berusaha moga-moga jadi ikhlas dan moga-moga diterima Allah.

Erti Ikhlas

Murni, bersih, jenisnya sahaja dan tidak bercampur jenis-jenis yang lain. Tidak dinodai seperti air yang tidak bercampur dengan sabun, tepung kerana apabila sudah bercampur dengan benda lain ia sudah tidak tulen lagi.

Begitulah dalam beramal - solat, zakat, membaca al-Quran, mengajar, berdakwah, menolong, motivasi, forum, ceramah, belajar semuanya semata-mata kerana Allah; kerana suruhan-Nya, kerana keredhaan-Nya, kerana arahan-Nya, kerana mentaati-Nya dan kerana patuh pada-Nya.

Jadi, perkara di atas adalah kerana-Nya yang satu. Tujuannya hanya satu, dan didorong oleh yang satu iaitu Allah. Mengabdikan diri kerana Allah dan tidak dicampur atau bercampur selain Allah. Itulah ikhlas, dorongannya hanya satu.

Sekiranya niat atau dorongannya telah tercampur atau terselit niat-niat yang lain selain Allah seperti riak, megah, glamor, pangkat, takut orang tidak suka, undi, uji kemampuan, hendak berlawan, hendakkan piala, hadiah, kerana kawan - maka keikhlasannya telah ternoda.

Untuk ikhlas, sebenarnya amat susah sekali terutama yang ada kaitan kepentingan umum atau orang ramai yakni yang terdedah kepada pandangan umum seperti berdakwah, mengajar, gotong-royong, forum, upacara memberi hadiah; lebih-lebih lagi orang yang tidak memikirkan hati lalu hati dibiar dan terbiar.

Khususul Nafs

Kepentingan diri seperti ingin popular, disedari atau tidak kerana kurang menyuluh hati. Awal-awal lagi nawaitu (niat) telah rosak seperti membuat rumah di atas lumpur.

Ada tiga jenis kerosakan yang berlaku pada tiga (3) jenis kedudukan:

  • awal
  • pertengahan
  • akhir

Kerosakan awal contohnya seperti berdakwah. Sebelum memberi ceramah, hati kecilnya berkata ;

"Inilah masanya nak jadi popular."

"Aku akan jadi terkenal."

" Dengan ceramah ini dapatlah duit poket."

Ada juga yang berniat untuk menghentam seseorang atau golongan tertentu sebelum berceramah, akibatnya rosaklah ikhlasnya ibarat orang yang melukis di atas air.

Kerosakan pertengahan pula contohnya niat untuk berceramah sudah baik tetapi sewaktu berceramah, ada pendengar yang angguk-angguk atau ada yang menangis kerana mendengar ceramah yang memberi kesan itu hingga hati kecil kita berkata ;

"Hebat juga aku hingga ada orang boleh terima ceramah ini dan ada pula yang menangis."

Kerosakan akhir pula contohnya niat dan sewaktu berceramah tidak ada apa-apa yang rosak, berjalan dengan baik tetapi sewaktu balik dari berceramah ada kawan yang datang bersama di dalam kereta berkata ;

"Hebat betul ceramah ustaz tadi hingga ada yang menangis."

Waktu itu maka datanglah rasa riak hingga lupa semuanya itu datang dari Allah jua. Sepatutnya ia merasa malu kerana ini semua bukan dari dirinya tetapi hakikatnya dari Allah. Orang begitu ibarat membangunkan rumah, tiba-tiba apabila siap sahaja rumah itu runtuh menyembah bumi.

Orang ramai yang mendengar ceramah tersebut juga tidak berubah sebab hati sudah cacat. Mereka memuji kita, tetapi tetap tidak berubah sebab mempunyai rasa riak. Sifat takwa sudah ternafi.

Oleh itu buatlah kerja-kerja dengan penuh tawadhuk, takut dan cemas samada diterima amalan kita atau ditolak.

Tuesday, August 2, 2011

Bila Cinta Berputik. Adakah Dia Jodohku?


"Tiada terfikir,
Terlintas Engkau akan tiba,
Membawa perangsang.

Tiada terfikir, Terlintas,
Engkaukan membuka,
Sempadan perasaan.

Bunga kembang bertali hati, Bunga kembang di puncak akli"

Begitu indah cinta, membawa perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akan tetapi diluah melalui boneka jasad serta lirikan mata, lidah kelu diam seketika, jantung berdegup pantas tidak mencemaskan tetapi indah.

Remaja pada awalan usia mereka merasakan diri mereka ingin dicintai dan ingin mencintai. Akhirnya mencari cinta. Cinta pada usia muda yang sering digelar cinta monyet.

Tidak kurang pula ketika mereka melangkah ke menara gading. Mitos memaksa mereka mencari pasangan sebelum mendaki anak tangga pentas konvokesyen, kononnya, menara gading tempat mencari pasangan hidup yang akan hidup bersama mereka selepas graduasi.

Akan tetapi, alangkah sedihnya cinta yang berputik dan berbunga-bunga akhirnya tewas, melebur membentuk luka yang pedih dan sakit. Sesak nafasnya!

Lebih teruk kesannya jika apabila mereka sedar (meskipun tidak mengakui atau tidak menunjuk) bahawa perjalanan kisah cinta mereka telah pun melangkaui batasan agama, bersentuhan, berkucupan, berkhalwat dan terlanjur. Malu dan kesal serta sedih kerana diri telah menjadi tidak suci dan kotor, akan tetapi orang yang bersama-sama untuk berkongsi kotor dan jijik tidak lagi bersama. Risau pula jika perbuatan mereka dikhabarkan.

Yang nyata dan pasti, kamu tidak terlepas dari pandangan Allah dan Allah mengetahui perbuatan kemungkaran kamu. Taubatlah!

Jika kamu merasakan dia jodohmu, adakah dia mengajak kamu kepada kebaikan lebih banyak daripada membawa kamu kepada kemungkaran?

Oleh sebab itu, saya ingin mengajak para adik-adik untuk berfikir sejenak apakah niat kita bercinta dan di mana kita mahukan ia berakhir? Terutamanya adik-adik yang bakal bergelar graduan.

Ketika cinta kamu berputik pada si dia dan kamu sendiri mengakui di dalam hati kamu bahawa kamu ada rasa sayang pada dia, dan hati kamu punya rasa cinta padanya, renung seketika, di mana kamu ingin meletakkan cinta Allah yang jauh lebih hebat dari dia.

Jika cinta Allah lebih kamu sayang, letaklah cinta Allah sebagai batasan pergaulan kamu.

Apabila kisah cinta mula melorot dari satu episod ke satu episod yang lain. Renung kembali apa salahnya kamu pada Allah dan apa ajarannya telah kamu ikuti?

Pada ketika itu, fikirlah adakah pernikahan yang kamu cari atau hanya suka-suka? Jika suka-suka, tiada cinta yang berharga dari kamu dan untuk kamu. Jika pernikahan yang kamu cari, maka tidak usahlah buang masa lagi. Dekatilah pernikahan kerana kamu perlu mencari keredhaan Allah.

Bersama keredhaan Allah, langkah-langkah kamu menghampiri pernikahan sangat mudah jadinya. Kadang-kala di luar jangkaan kamu. Namun, jika dugaan yang datang, tabahkan hati tetapkan niat kamu untuk mencapai keimanan yang lebih baik melalui pernikahan.

Kerapkan menunaikan solat sunat tahajjud dan istiqarah. Mohonlah ditunjukan jalan dan memastikan dialah jodoh kamu. Jika tidak diilhamkan bahawa dia adalah jodoh kamu, terima qada Allah, teruskan kehidupan dan persahabatan, serta carilah pasangan yang bakal menjawab istiqarah sebagai jodoh kamu.

Jauhi dari hati yang makin berbunga dan berputik cinta walhal kita sebenarnya jauh dari jodoh. Itu hanya melukakan hati yang sangat lembut ini.

Cinta sesama manusia tentu tidak setanding dengan cinta dari Allah S.W.T, tetapi, kerana cintakan Allah, kita mencintai manusia juga.

Cinta berputik biar bertapis. Agar diberkati dan diredhai Allah S.W.T.


-> dahulukan cinta pada Ilahi..barulahdisusuli cinta yang lainnya.. Renungkan bersama..

Renungan Ramadhan

"Ramadhan bulan yang penuh keberkatan. Di awalnya rahmat, di tengah-tengahnya maghfirah dan dihujungnya kebebasan dari api neraka".

Gembiranya hati tidak terkira kerana masih berpeluang menyambut bulan Ramadhan yang mulia ini. Terima kasih Ya Allah, kerana masih memberi kesempatan untuk diri ini bersama-sama mengapai rahmat dan redha-MU dalam menggandakan pahala di bulan yang mulia ini untuk menuju syurga-MU.

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:
"Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut 'Rayyan'. Akan diseru pada hari kiamat: " Mana orang yang berpuasa?". Lalu bila orang yang terakhir dari mereka telah masuk, maka pintu itupun ditutup". (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ya Allah, diri ini tidak sabar-sabar untuk bertemu dengan-MU, sesungguhnya rindu ini semakin memuncak ,bila tibanya bulan yang penuh keberkatan ini, apatah lagi bagi orang yang berpuasa semata-mata kerana-MU akan dikurniakan syafaat.

Rasullullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda: "Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui tuhannya nanti, ia akan gembira kerana puasanya."
(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nisa'i)

"Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada Hari Kiamat. Berkata puasa pada Hari Kiamat: "Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat di waktu siang, dan sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu". Dan berkata pula al-Quran: "Engkau larang ia tidur di waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai itu". Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah." (Hadis Riwayat Ahmad)

" Barangsiapa yang berpuasa dalam bulan Ramadhan kerana keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu" (Hadis Riwayat Ahmad dan Ashabussunan)

Sesungguhnya puasa itu banyak hikmah dan faedahnya.

Antara hikmah dan faedah puasa ialah:

i. Boleh menyedarkan hati orang yang beriman bahawa dirinya di bawah
perhatian Allah.

ii. Bulan Ramadhan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun.

iii. Allah menghendaki semua hambanya memenuhi bulan tersebut dengan
amalan ketaatan dan taqarrub kepadaNya.

iv. Kekenyangan yang berterusan dalam kehidupan seseorang akan
memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat-sifat keras hati dan
keterlalulan.

v. Membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.


-> Semoga hari ini lebih baik dari semalam.. Renung-renungkan dan selamat beramal ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...