Monday, February 28, 2011

10 Petanda Dia Jodoh Kita


Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :

1. Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2. Senang Bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3. Terima Kita Seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4. Sentiasa Jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5. Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6. Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7. Memahami Diri Kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8. Tampilkan Kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9. Kata Hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10. Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

Sunday, February 27, 2011

Tha'labah : Kisah Pemuda Bercita Syurga

Pernahkah saudara mendengar tentang kisah Ta'labah? Salah seorang daripada para sahabat Nabi S.A.W. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung.

Seorang remaja yang begitu hebat di zaman Rasulullah S.A.W. Namanya Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun. Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikut Rasulullah S.A.W mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah S.A.W akan khabarkan kepada Ta'labah.

Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam perjalanan mencari barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui sebuah rumah yang pintunya terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu tandas rumah tersebut juga terbuka, dan ketika itu Tha'labah terlihat akan seorang perempuan yang sedang mandi.

"A'uzubillah! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah S.A.W! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah..."

Rintihan Tha'labah

Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah S.A.W. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang dipuncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis. Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal amat dengan dosanya.

Pada masa yang sama, Rasulullah S.A.W menanti kepulangan Tha'labah beberapa hari namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah S.A.W mengarahkan Saidina Umar RA untuk mencari Tha'labah dan beliau terjumpa Tha'labah di tempat dia bersembunyi di puncak bukit.

Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."

"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku, sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah, aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka." Kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.

Oleh sebab Tha'labah sudah tersangat lemah, Saidina Umar RA memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarah Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.

Tetapi Ta'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.

"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"

"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"

Cita-citanya hanya Syurga

"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"

"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."

Lalu Rasulullah s.a.w berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."

Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.

Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW datang agak lewat ketika itu. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Tetapi Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan berjalan yang perlahan, dan seperti tersekat-sekat.

Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"

Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandang perempuan yang sedang mandi itu. Begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menhembus nafas yang terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan. Subhanallah!

Lihat diri kita. Apakah kita menyesal dan bertaubat setelah berbuat dosa yang sengaja? Apakah kita sedar, dan menyesal serta bertaubat setelah berbuat dosa yang tidak sengaja?

Tepuk dada, tanya iman. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita.

Friday, February 25, 2011

Jodoh: Mencari atau Menunggu

Saya tertarik dengan satu soalan yang dibawakan oleh seorang user komuniti.iluvislam berkenaan jodoh.

Persoalannya, "Betulkah kita hanya menanti si bulan (si dia) yang bernama jodoh? Usaha tidak perlu ke?"

Pada mulanya saya tersenyum.

Yelah, lagi-lagi jodoh. Lagi-lagi isu jodoh.

Namun, setelah saya fikir-fikirkan kembali. Soal jodoh ini bukan suatu soal yang boleh diremeh-remehkan sebenarnya. Saya kira, hampir setiap dari manusia itu akan melalui satu tahap di mana mereka akan mula memikirkan tentang persoalan jodoh.

Justeru, silap dalam kefahaman terhadapnya mampu memberi kesan negatif yang cukup besar terhadap masyarakat. Gejala sosial yang menular dengan sungguh dahsyatnya pada masyarakat kita kini juga tidak dapat tidak, salah satu faktornya adalah kesilapan dalam memandang isu jodoh ini.

Jadi akhirnya, saya memilih untuk menulis tentang isu evergreen itu di sini.

Ramai yang keliru

Jika kita lihat pada masyarakat sekeliling kita hari ini, dapat kita simpulkan bahawa ramai yang keliru berkenaan persoalan jodoh.

Sejak di bangku sekolah lagi kita dapat melihat remaja-remaja kita ramai yang sudah mula 'mencari' jodoh mereka. Untuk mencari 'kecocokan', mereka mula kenal-mengenal. Surat-surat cinta, sms, dan berbagai cara lagi mereka gunakan untuk memastikan adakah si dia itu 'jodohku'?

Kemudian, gejala ini berlaku dengan semakin rancak apabila pelajar-pelajar mula masuk di universiti-universiti. Ramai yang tidak mahu kelepasan dalam 'berusaha' untuk jodoh mereka. Dengan kemudahan IT yang lebih canggih, sms, chatting, e-mail, dan facebook digunakan untuk mencari pasangan idaman mereka. Kemudiannya, ramai yang terjebak dengan gejala 'couple'.

Mereka hangat bercinta.

Namun, menurut apa yang saya lihat sendiri di hadapan mata ramai yang akhirnya 'clash' ataupun istilah lainnya 'break-up'. Yang berkekalan mungkin ada, namun bilangannya tidak banyak. Bahkan, tidak kurang juga mereka yang telah berkali-kali tukar pasangan, namun tetap jodoh mereka tidak diketemukan.

Janji-janji setia di waktu kehangatannya cinta, kebanyakannya hanya tinggal kata-kata yang menyakiti jiwa.

Namun, mengapa semua ini berlaku?

Usaha telah kita letakkan, namun mengapa masih si dia yang bernama jodoh tidak hadir-hadir dalam hidup kita?

Atau apakah selama ini kita silap dalam berusaha?

Jodoh – suatu ketentuan?

Sebelum saya heret permasalahan ini dengan lebih mendalam, suka saya sentuh dasar topik ini yakni perihal jodoh.

Jodoh, adakah ia suatu ketentuan?

"... Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 3]

Benar. Jodoh itu merupakan salah satu ketentuan dari Allah.

Malah, bagi orang Islam, meyakini Qadha' dan Qadar yang ditentukanNya merupakan suatu kewajipan. Beriman kepada Qadha' dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun iman. Yakni bererti, tidak beriman kepadanya akan membawa kepada iman yang tidak sempurna.

Sebagaimana dalam sebuah hadis mahsyur berkenaan rukun Iman (saya hanya memetik sebahagian darinya),

Malaikat jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang lelaki berkata, "Kemudian beritahukanlah padaku tentang Iman."

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Iaitu hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula kepada takdir(Qadha' dan Qadar), yang baik ataupun yang buruk -semuanya dari Allah jua."

Lelaki itu berkata: "Tuan benar."

\[HR. Muslim]

Maka di sini perlu kita lihat bahawa soal jodoh dan pertemuan ini semuanya berada terletak pada ketentuan Allah. Tiada sesuatupun yang akan berlaku, melainkan dengan izinNya.

Berbalik pada persoalan awal kita, maka perlukah kita berusaha untuknya?

Usaha yang sebenarnya

Sudah menjadi sunnatullah (hukum alam, berdasarkan ketetapan Allah), bahawa dalam mendapatkan apa-apa sahaja di dalam dunia ini, kita perlu kepada sesuatu yang kita panggil 'usaha'.

Baik. Bagaimana untuk kita berusaha dalam soal jodoh ini? Adakah sejak sekarang, kita seharusnya sudah mula berusaha mencari?

Saya sependapat dengan Ustaz Hasrizal.

Dalam persoalan usaha ini, pertamanya, ada baiknya kita ukur kain di badan sendiri dahulu.

Jika dalam masa terdekat kita tahu yang kita belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan (atas apa-apa sebab sekalipun), maka 'usaha mencari @ menawan' itu masih tidak perlu.

Masa terdekat itu kita boleh ambil dalam lingkungan setahun.

Ya, tidak perlu. Mengapa?

Kerana apabila kita sudah mula mencari, dalam keadaan diri langsung amat jauh dari persediaan untuk menikah itu sendiri, maka, banyak masalah bakal timbul. Percaya?

Setelah berkenal-kenalan, dan saling meminati mungkin, sudah menjadi lumrah kedua-dua insan itu pasti mahu mengikat diri mereka dengan 'pasangannya itu', dengan suatu ikatan atau perhubungan. Melalui ikatan itu mereka akan rasa saling memiliki dan punya masa depan bersama.

Namun, cuba katakan, apakah masih ada ikatan yang sah (halal) yang dapat ada antara dua orang bukan mahram, selain dari ikatan pernikahan?

Tiada.

Yang ada mungkin persaudaraan dalam Islam. Dan, itu tidak mengubah apa-apa, kerana ia tidak pula menghalalkan mereka untuk saling berhubungan.

Lalu, akhirnya kita dapat melihat ramai di antara mereka yang ber'couple' dan mengadakan janji setia untuk mengikat perhubungan mereka.

Dan tempoh masa yang masih panjang (dari masa pernikahan) tadi akan menarik mereka untuk membuat perkara-perkara lain pula. Zina hati jangan di cerita. Zina tangan (persentuhan) dan zina-zina lain juga dengan mudah dapat dilakukan apabila diri sudah tidak mampu lagi menahan syahwat.

"Mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia." - [HR Bukhari dan Muslim]

Malah akhirnya, berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempertahankan hubungan mereka. Perpisahan terjadi.

Itulah hasilnya apabila perhubungan yang diadakan hanya dilandaskan atas suka sama suka, tetapi tidak hadir bersamanya tanggungjawab. Dan kesilapan kita juga, yang kadang meletakkan ketepi kuasa Allah dalam persoalan jodoh. Na'udzubillahimindzalik.

Dan wahai hati-hati yang suci.. Jikalaupun ikatan yang dibina itu mampu berkekalan sekalipun, namun, apakah yang masih kita mahu berharap padaNya, jika usaha yang diletakkan pun tidak menepati kehendak syarak atau lebih jelasnya, bertentangan dengan kehendak Allah?

Justeru, di sini suka saya tekankan sekali lagi.

Jika kita tahu bahawa kita belum lagi merancang untuk memasuki gerbang pernikahan dalam tempoh terdekat ini, justeru, tidak perlulah pada usaha 'mencari jodoh'. Dikhuatiri, usaha itu hanya bakal mengundang perkara buruk kepada rumah tangga kita kelak.

Jodoh itu dalam ketentuanNya, maka, jika kita mahu berusaha pun, mengapa kita perlu mengambil usaha-usaha yang tidak Dia suka? Bukankah akhirnya, Dia juga yang menentukan segala?

Jika sudah mampu

Seperti yang saya katakan bagi mereka yang sudah merancang untuk melakukan pernikahan dalam masa terdekat, tidak salah untuk mereka mula 'berusaha untuk mencari' bakal pasangan mereka. Dan semestinya dalam tempoh ini, batas-batas pergaulan tetap perlu dijaga.

Sebaik-baiknya, kita ikuti sunnah. Baik di pihak lelaki maupun perempuan. Yakni jika sudah ada yang berkenan, gunakan orang tengah untuk mengenali latar belakang mereka, dan juga memanjangkan hasrat.

Dan jika merasakan tempoh untuk berkenal-kenalan itu diperlukan, maka ambillah jalan untuk bertunang. Walau tetap, ia tidak menghalalkan apa-apa, namun ia adalah ruang terbaik untuk mereka saling berkenal-kenalan sebelum bernikah.

Usaha yang perlu digerakkan - Men'jadi' & Mempersiapkan diri

Ok. Kalau kita ini agak-agaknya lambat lagi mahu bernikah, maka adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha apa-apa?

Tidak juga sebenarnya. Usaha itu masih tetap ada.. tetapi dalam bentuk lain la.

Usaha yang perlu kita letakkan itu adalah lebih kepada 'MENJADI" daripada 'MENCARI'.

Ya. Kita pasti mahukan mereka yang soleh/ah untuk menjadi pasangan kita. Itu telah menjadi lumrah. Oleh itu, dalam kita mahu mendapatkan yang soleh, kita perlu JADI soleh terlebih dahulu. kan?

Iya. Kerana sesungguhnya, Allah akan menyediakan pasangan buat kita, sesuai dengan tahap keimanan diri kita juga.

Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nur, ayat ke-26,

"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (surga)." - [Surah An-Nur, 24: 26]

Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya.

Jika kita hanya limitkan definisi usaha kita hanya pada mencari, maka pada saya, kita sudah silap besar.

Mungkin... pasangan kita itu 'tampak' soleh, tetapi tetap, kita akan dapat pasangan sesuai dengan tahap iman kita juga. Baik akan dapat baik, inshaAllah. Jahat dapat jahat.

Kalau jalan yang diambil pun kurang bertepatan dengan syarak, maka tak perlulah kita nak mengharapkan sangat yang baik dan sentiasa menjaga diri.

Dan pada saya, usaha lain juga, yang tidak kurang utamanya, adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi pernikahan.

Mengapa? Kerana membina masjid hakikatnya bukan takat sehari dua. Tidak cukup. Cuma, jika kita mahukan masjid yang bertahan sehari dua juga mungkinlah.

Oleh itu, persediaan dari sudut mental dan ilmu itu amat-amatlah perlu sejak sekarang lagi.

Sebagai lelaki, kita perlu melatih diri kita agar mampu memimpin, mampu hidup berdikari. Dan sudah tentu kemudiannya mampu menjadi qudwah atau contoh tauladan yang baik buat keluarga.

Sebagai wanita pula, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu. Harapannya, dengan tarbiyyah (didik) dari tangan-tangan kalian, anak-anak itulah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Islam suatu hari nanti, inshaAllah. Kalian perlu sedar, bahawa kalianlah pentarbiyyah utama generasi masa hadapan. Masa depan umat, hakikatnya, terletak di tangan-tangan kalian.

Dan tanggungjawab sebesar itu, seharusnya disertai dengan persiapan yang tidak kurang besarnya juga.

Latihan-latihan dan persiapan diri ini... mampukah dilakukan hanya sehari dua, atau cukupkah hanya sebulan sebelum pernikahan?

Sudah tentu tidak.

Maka ayuh, kita mula mempersiapkan diri kita mulai hari ini juga.

Jika redha Allah yang dicari...

Sudah nampak apa yang harus dilakukan?

Saya jadi teringat akan kisah saya masa sekolah dahulu. Melihat rakan-rakan ramai yang ber'couple', perasaan takut itu muncul, dikhuatiri nanti semua habis dikebas orang (haha.. ye ke?).

Oleh sebab itu saya juga tidak terlepas dalam usaha mencari jodoh ini, kononnya. Dan diringkaskan cerita, di waktu saya hampir saja mahu mengambil tindakan itu (ber'couple'), saya diberikanNya petunjuk (dalam bentuk ilmu dan kefahaman) bahawa rupanya pemahaman saya selama ini silap. Alhamdulillah.

Jika mahu diikutkan, tatkala petunjuk itu sampai, boleh sahaja saya untuk menidakkannya, dengan tetap meneruskan perancangan dan 'kehendak' saya. Namun, saya sedar, bukankah tindakan saya itu hanya suatu tindakan yang bodoh?

Allah sudah pun memberi petunjukNya, dan ditakuti, selepas ini, Dia tidak lagi ingin memberi petunjuk kepada saya, atas sebab saya tidak pandai menghargai petunjuk yang telah Dia berikan. Maka, bukankah pada hakikatnya saya hanya menzalimi diri saya sendiri?

Justeru, suka saya katakan, jika petunjuk Allah yang kita cari, jika redha Allah yang kita mahukan dalam rumah tangga kita nanti, maka berusahalah... dengan usaha yang sesuai dengan apa yang Allah izinkan.

Jika kita sibuk menggauli perempuan sana, perempuan sini, lelaki sana, lelaki sini, sedangkan, jodoh kita masih belum kita ketahui siapa, maka, pada pendapat peribadi saya, kita juga seakan-akan sudah berkhianat kepada bakal jodoh kita nanti. Benarkah? Ya, kerana kemesraan dan sebagainya itu, bukankah hanya layak untuk pasangan halal kita sahaja? Dan di pihak kita pun, kalau boleh, sudah tentu kita juga mahukan mereka yang soleh dan masih terperlihara juga bukan?

Kerana.. sudah menjadi lumrah manusia, akan lebih tertarik pada sesuatu yang terpelihara dan terjaga.

Dan sudah tentu, apa yang menjadi lebih besar lagi, adalah kerana kita seakan-akan menidakkan kuasa Allah ta'ala. Na'udzubillahimindzalik. Terkadang, kita lebih 'beriman' (percaya) kepada usaha kita, berbanding iman (kepercayaan) kita terhadap Qadha' dan Qadar yang ditentukan Allah.

Ya. Manusia itu digalakkan berusaha. Namun, usaha-usaha yang mengundang murkaNya, apakah itu akan dikiraNya sebagai usaha yang baik dalam isu jodoh ini? Jika kita mahukan pasangan yang tidak soleh, mungkin.. ia masih dapat dikira sebagai usaha.

Namun, bukan itu yang kita mahukan bukan?

Di sini, kita perlu yakin bahawa hakikatnya, setiap apa-apa yang berlaku itu, berada dalam kekuasaanNya. Gejala zina, buang anak dan sebagainya pada hari ini, atas kefahaman dan kepercayaan yang silap dalam hal ini juga.

Justeru, ayuh kita kembali meletakkan Al-Qur'an dan sunnah sebagai teras dalam hidup masyarakat kita.

Yakinlah, jalan yang Allah tentukan ini, bukan untuk menidakkan fitrah kita. Tidak. Sebaliknya, Allah mahu memeliharanya. Ianya, demi kebaikan kita juga.

Wahai hati-hati yang suci. . .

Katakanlah,

'Jika petunjukNya telah sampai, masihkah aku mahu menidakkannya?'

" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." [Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3]

Pemilik Rahsia Rasulullah

Alkisah pada suatu hari, seorang anak kecil sedang menggembala kambing kepunyaan pembesar Quraisy, Uqbah bin Abi Mu'aith, dan telah datang kepadanya Rasulullah s.a.w. dan Abu Bakar r.a. yang sangat keletihan dan kehausan hinggakan bibir mereka kering. Mereka mengucapkan salam seraya berkata, "Wahai anak kecil, perahkanlah untuk kami susu kambing ini agar dahaga kami hilang dan keringat kami hilang."

"Maaf, aku tidak boleh melakukannya. Kambing ini bukan milikku. Aku hanya seorang penggembala." Jawab anak itu bersenandungkan amanah.

Rasulullah s.a.w. lalu berkata, "Tunjukkan kepadaku (1)kambing yang belum dikahwinkan." Anak kecil itu, yang digelar Ibnu Ummi Abdul, menunjukkan kepada seekor kambing kecil yang berada dekat dengannya. Rasulullah s.a.w. menghampiri kambing itu lantas memegang puting susunya dengan tangan, menyebut nama Allah lalu meniupnya. Dan keluarlah susu kambing itu bercucuran. Ibnu Ummi Abdul, atau nama sebenarnya Abdullah ibn Mas'ud, hanya memerhati dengan penuh kehairanan.

Abu Bakar r.a. mengisi air susu itu dalam seketul batu yang berlubang lalu mereka, termasuk Abdullah, meminumnya. Selesai hajat mereka, air susu itu berhenti mengalir sebaik sahaja diarahkan oleh Rasulullah s.a.w.

"Ajarkan kepadaku kalimat yang engkau ucapkan tadi," kata Abdullah.

"Engkau anak yang terdidik," jawab Rasulullah.

Itulah permulaan kisah Abdullah ibn Mas'ud r.a. dengan Rasulullah s.a.w.. Sedari pertemuan itu, Abdullah menggauli Nabi Allah, Muhammad s.a.w. hingga akhirnya dia memilih Islam sebagai agamanya. Abdullah termasuk golongan [I]As-Sabiqunal Awwalun[/I], iaitu kelompok pertama yang menerima Islam. Dia kemudian menawarkan diri untuk berkhidmat kepada baginda dan jadilah dia pembantu kepada Penghulu Para Nabi.

Membesar di rumah baginda membuka peluang kepada Abdullah untuk ditunjuk ajar, belajar, dan mencontohi Rasulullah. Sejarah meriwayatkan bahawa Ibn Mas'ud adalah sahabat yang paling banyak membaca Al-Quran, paling memahami maknanya dan paling mengetahui syari'at Allah s.w.t.. Bahkan Rasulullah s.a.w. mengizinkan Abdullah masuk ke (2)rumah baginda sesuka hatinya dan menyingkap landasan rahsia baginda hinggakan dia dipanggil [I]Sahibussir[/I], pemilik rahsia Rasulullah s.aw..

Umar Al-Khattab pernah bercerita, suatu malam ketika dia berada di samping baginda dan Abu Bakar r.a. yang sedang bermusyawarah perihal kaum Muslimin lalu mereka beredar dari tempat itu, mereka melihat seorang lelaki yang sedang solat di dalam masjid. Rasulullah s.a.w. berdiri sejenak di situ melontarkan pandangannya terhadap lelaki itu hingga akhirnya lelaki itu menoleh kepada mereka. Bagida langsung berkata, "Siapa yang senang membaca al-Quran dengan lembut sebagaimana diturunkan, hendaklah dia membacanya seperti bacaan Ibnu Ummi Abdul." Ketika Ibnu Mas'ud duduk berdoa, Rasulullah s.a.w. melanjutkan kata-katanya, "Mintalah, engkau akan diberikan-Nya. Mintalah, engkau akan diberikan-Nya."

Umar r.a. lalu berkata dalam hatinya, "Demi Allah, esok aku akan menemui Ibnu Mas'ud dan memberitahunya bahawa Rasulullah s.a.w. mengaminkan doanya." Adapun keesokan harinya, Abu Bakar r.a. telah mendahuluinya lalu berkatalah Umar r.a., "Demi Allah, Abu Bakar selalu mendahuluiku dalam kebaikan." Umar r.a. telah menyifatkan Ibnu Mas'ud sebagai dana ilmu dan mengangkatnya sebagai kadi Kufah pada zaman pemerintahannya.

Ibnu Mas'ud, sahabat yang dimuliakan Rasulullah, mempunyai pengalaman dalam dua hijrah – ke Habsyah dan ke Madinah – dan berkesempatan sembahyang berkiblatkan dua kiblat iaitu Baitulmaqdis dan Kaabah. Beliau juga pernah mengikuti semua peperangan yang disertai oleh Rasulullah. Dan dalam peperangan Badar, beliau telah memancung kepala musuh Islam paling hebat; Abu Jahal.

Setulus Cinta Nabi Muhammad

Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap, Rasulullah s.a.w. dengan suara terbatas memberikan kutbah.

"Wahai umatku, kita semua berada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al-Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku."

Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba.

"Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu.

Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia. Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu.

Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.

Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya.

Tetapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk. "Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?"

"Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut," kata Rasulullah,

Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggil Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.

"Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu," kata Jibril.

Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega,matanya masih penuh kecemasan.

"Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi.

"Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan risau, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: "Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril.

Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan-lahan ruh Rasulullah ditarik. Seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang.

"Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengadu. Fatimah terpejam. Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

"Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.

"Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril.

Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi.

"Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku."

Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu. Ali segera mendekatkan telinganya.

"Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku (peliharalah solat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.)"

Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

"Ummatii, ummatii, ummatiii.. (Umatku, umatku, umatku).."

Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.

Kini, mampukah kita mencintai seperti Baginda mencintai kita? Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

Sahabat-sahabat muslim sekalian, marilah kita renungkan kembali pengorbanan Rasulullah kepada umatnya, betapanya cintanya Rasulullah kepada umatnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan Rasul-Nya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Kerana sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka.

Pernahkah kita menangis untuk Rasulullah s.a.w? Sedangkan di akhir hayat baginda menangis kerana kita. Renungkanlah...

Friday, February 18, 2011

Khadijah Srikandi Kesayangan Rasulullah

Kepulangan suaminya dari Gua Hira' selepas menerima wahyu pertama, telah menimbulkan tanda tanya di hati Siti Khadijah r.a.. Segala yang diceritakan oleh suaminya mengenai pengalaman didatangi Malaikat Jibril, adalah rahsia besar yang tidak boleh diceritakan kepada orang lain. Sikap Khadijah ini memberi input yang baik kepada muslimat terutama yang bergelar isteri. Kadangkala kita dapati isteri-isteri tidak menjaga akhlak mereka dengan sibuk menceritakan hal keluarga termasuk bersifat peribadi dan rahsia.

Siti Khadijah meminta izin kepada suaminya untuk mengajukan persoalan kepada sepupunya iaitu Warkah bin Naufal. Orang yang dipilih oleh Siti Khadijah bukanlah sebarangan orang, Warkah seorang yang alim dan berpegang pada ajaran tauhid. Pengajaran di sini dalam menceritakan masalah atau mengajukan permasalahan kita untuk diselesaikan adalah dengan memilih orang yang sesuai. Kadangkala wanita menceritakan masalah mereka bukan untuk mengurang atau mencari penyelsaian terbaik, tetapi sekadar untuk melepaskan geram. Akibatnya, suami kadangkala tahu keburukannya diceritakan oleh sang isteri kepada orang lain (disampaikan). Ini boleh memburukkan lagi keadaan antara suami isteri yang bermasalah tadi.

Khadijah dilihat sebagai seorang muslimah yang bijaksana dengan menceritakan peristiwa Nabi bersama Jibrail hanya kepada orang yang layak dan bukan sebarangan orang. Antara sifat atau akhlak terpuji yang dapat diikuti oleh muslimat dari Siti Khadijah adalah:

1. Bersifat tenang dan boleh menenangkan orang lain.
2. Tidak terburu-buru dan panik.
3. Tidak mudah mempercayai orang lain dalam menceritakan hal yang bersifat rahsia.
4. Pandai memilih orang untuk diadu permasalahan.
5. Bersifat amanah,lembut dan berhikmah.
6. Meminta kebenaran dari suami hatta untuk perkara kebaikan.
7. Sabar dalam menghadapi permasalahan suami.

Menjejaki Jejak Khadijah

Tatkala Nabi SAW mengalami rintangan dan gangguan daripada kaum lelaki Quraisy, maka di sampingnya berdiri dua orang wanita, iaitu Khadijah bin Khuwailid dan Fatimah binti Asad. Kedua wanita itu berdiri di belakang dakwah Islamiah, mendukung dan bekerja keras dalam menyampaikan Islam. Oleh disebabkan itu, Khadijah berhak menjadi wanita terbaik di dunia. Dia adalah Ummul Mukminin, sebaik-baik isteri dan teladan yang baik bagi mereka yang mengikuti teladannya.

Khadijah menyiapkan sebuah rumah yang nyaman bagi Nabi SAW sebelum beliau diangkat menjadi Nabi dan membantunya ketika merenung di Gua Hira'. Khadijah adalah wanita pertama yang beriman kepadanya ketika Nabi SAW berdoa (memohon) kepada Allah. Khadijah adalah sebaik-baik wanita yang menolong dengan jiwa, harta dan keluarga.

Peri hidupnya harum, kehidupannya penuh dengan kebajikan dan jiwanya sarat dengan kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda, "Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang ingkar, dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan dan dia menolongku dengan hartanya ketika orang lain tidak memberiku apa-apa."

Kenapa kita bersusah payah mencari teladan di sana-sini, walhal di hadapan kita ada wanita terbaik di dunia, Khadijah binti Khuwailid, Ummul Mukminin yang setia dan taat, yang bergaul secara baik dengan suami dan membantunya di waktu berkhalwat sebelum diangkat menjadi Nabi dan meneguhkan pendiriannya serta membenarkannya. Khadijah mendahului semua orang dalam beriman kepada Allah, dan membantu baginda serta kaum Muslimin dengan jiwa, harta dan keluarga.

Maka Allah SWT membalas jasanya terhadap agama dan nabi-Nya dengan sebaik-baik balasan dan memberinya kesenangan dan kenikmatan di dalam istananya, sebagaimana yang diceritakan Nabi SAW, kepadanya pada masa hidupnya.

Ketika Jibril A.S. datang kepada Nabi SAW, dia berkata : "Wahai Rasulullah, inilah Khadijah telah datang membawa sebuah wadah berisi kuah dan makanan atau minuman. Apabila dia datang kepadamu, sampaikan salam kepadanya daripada Allah dan aku, dan beritahukan kepadanya tentang sebuah rumah di syurga dari mutiara yang tidak ada kepayahan.

(Hadis riwayat Bukhari dalam Fadhaail Ashhaabin Nabi SAW. Imam Adz-Dzahabi berkata, "Keshahihannya telah disepakati.")

Khadijah r.a. membawa panji bersama Rasulullah SAW sejak saat pertama, berjihad dan bekerja keras. Dia menghabiskan kekayaannya dan memusuhi kaumnya. Dia berdiri di belakang suami dan nabinya hingga nafas terakhir, dan patut menjadi teladan tertinggi bagi para wanita.

Sesungguhnya ia adalah kedudukan yang tidak diperoleh seorang pun di antara para sahabat yang terdahulu dan pertama masuk Islam serta Khulafa' Rasyidin. Hal itu disebabkan sikap Khadijah r.a. pada saat pertama lebih agung dan lebih besar daripada semua sikap yang mendukung dakwah selepas itu. Sesungguhnya Khadijah r.a. merupakan nikmat Allah
yang besar bagi Rasulullah SAW. Khadijah mendampingi Nabi SAW selama seperempat abad, berbuat baik kepadanya di saat beliau gelisah, menolongnya di waktu yang susah, membantunya dalam menyampaikan al-Quran, ikut serta merasakan penderitaan yang pahit pada saat jihad dan menolongnya dengan jiwa dan hartanya.

Rasulullah SAW bersabda, "Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkari. Dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan. Dan dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa. Allah mengurniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selain dia."

(Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, 6/118.)

Sehingga di akhir hayatnya apabila baginda bertanya, "Apakah harta yang masih ada pada dirimu wahai isteriku untuk perjuangan Islam ini?" Khadijah berkata, "Tiada apa-apa lagi, jika tubuhku dan tulang-tulangku boleh dimanfaatkan untuk perjuangan Islam gunakanlah." Subhanallah... sungguh hebat perjuangan para sahabat baginda dan Ummul Mukminin untuk memperjuangankan Islam.Adakah kita sanggup berkorban seperti mereka pada masa kini? Renung-renungkan...

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad S.A.W

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.


Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci.Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan diatas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai Manusia Sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka keatas kamu, maka mereka, juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam Susana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai kedalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai Manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah Ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu Awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaaku.

Wahai Manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, necaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...