Friday, April 29, 2011

Seloka - Facebook Oh Facebook

Facebook oh Facebook…

Engkau datang ke dalam hidup insan penuh dengan sensasi,

Semua orang cakap pasal dirimu setiap hari,

Yang dewasa, remaja dan kanak-kanak pun tak terkecuali,

Malah para pemimpin mempromosi dirimu ke seluruh negara dan negeri,

Facebook sebagai medium bersosial terkini.

Facebook oh Facebook…

Bukan setakat itu sahaja,

Malah ramai ulama berbincang baik dan buruknya,

Samada memberikan manfaat atau memudharat sifatnya,

Ibarat pisau yang memotong makanan atau meluka manusia,

Ia berbalik pada niat dan cara si pengguna.

Facebook oh Facebook…

Engkau dibuka manusia hampir setiap waktu,

Ada yang berdakwah, ada yang merapu,

Ada yang berukhuwwah, ada yang jadi seteru,

Dulu hanya di depan komputer manusia mengadapmu,

Kini dalam telefon bimbit ke sana ke sini asyik denganmu.

Facebook oh Facebook…

Banyak aib manusia telah engkau dedahkan,

Aurat si gadis dan wanita menjadi tontonan,

Masalah rumahtangga habis ditelanjangkan,

Hilanglah malu, tergadailah maruah ramai insan,

Zaman fitnah semakin jelas kelihatan.

Facebook oh Facebook…

Akal dan nafsu selalu berperang tatkala menggunakanmu,

Kaum Adam dan Hawa berbual kurang malu,

Ada yang nakal terus tersangkut melulu,

Syaitan ketawa kerana ‘ikan dah masuk bubu’,

Gejala sosial ganda beribu-ribu.

Facebook oh Facebook…

Banyak rahsia dan cerita manusia telah terdedah,

“Hari ni aku makan di restoran Mak Kiah”,

“Oh, aku sangat rindukan si Milah”,

“Alamak, bulu hidung aku panjang sebelah”,

“Fuyyo, dahsyatnya kereta orang jiran sebelah”,

“Ah, aku kesedihan hari ini kerana dimarahi mak dan abah”,

“Cit, kucing tu berak lagi…aarghhh!”

“Best, hari ni RM50 aku sedekah”

Macam-macam gelagat manusia terkisah,

Ada yang betul caranya dan ada yang salah.

Facebook oh Facebook…

Engkau beri juga ruang untuk kongsi tips dan juga nasihat,

Supaya terpapar hal bermanfaat untuk dunia dan akhirat,

Mengingatkan manusia yang leka dan selalu tak ingat,

Kerana sedar ia adalah tuntutan syariat,

Menjadi bekalan hasanah, membaiki diri dan masyarakat.

Facebook oh Facebook…

Keasyikan terhadapmu membuatkan ramai gian,

Walaupun niat di hati nak berdakwah dan buat kebajikan,

Ada yang sampai anak dan isteri dilupakan,

Mereka lupa itulah permata hati dan warisan,

Dakwah yang paling utama dan mesti didahulukan.

Facebook oh Facebook…

Engkau membuatkan manusia selalu sibuk dengan Facebook,

Tengah berbual dengan kawan di gerai, orang berFacebook,

Tengah makan dengan anak dan isteri, sempat lagi berFacebook,

Tengah mesyuarat pun ada orang berFacebook,

Tengah berbincang dengan mak ayah pun, tangan menaip di Facebook,

Tengah pensyarah memberi ilmu, aik sempat lagi Facebook?

Aduh, kenapa begitu sekali wahai Facebook?

Ramai orang tidak lagi di alam nyata, mereka asyik di alam Facebook,

Makan: Facebook, minum: Facebook, bermain: Facebook, berjalan: Facebook…

Facebook…Facebook…Facebook!

Facebook oh Facebook…

Engkau kini semakin dahsyat,

Memberi kesan baik dan buruk pada masyarakat,

Terpulang pada kami untuk memanfaatkan atau ditimpa mudharat,

Mudah-mudah engkau akan menjadi saksiku di akhirat,

Bahawa aku telah menggunakanmu untuk berbuat taat.


RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL.. ^_^

Thursday, April 28, 2011

Jenis Cantik

Fitrah manusia menyukai kecantikan dan inginkan kecantikan. Cantik itu adalah anugerah. Namun, percaya atau tidak, cantik itu juga sebenarnya merupakan satu ujian. Tetapi perlu diingat bahawa cantik itu adalah amat subjektif.

Barangkali ada yang memiliki wajah cerah dan licin tetapi tidak nampak seri, barangkali ada pula yang gelap dan biasa sahaja tetapi begitu manis dipandang.

Cahaya iman mungkin?

Berbalik kepada tajuk. Cantik adalah ujian. Mengapa begitu?

Cantik sebagai anugerah

1. Meningkatkan rasa syukur
2. Keyakinan diri tinggi
3. Sedap mata memandang
4. Maintanance rendah (sepatutnya)
5. Apabila dikecapi apabila sebelumnya biasa-biasa

Si cantik yang mempunyai wajah licin bersih, pastinya akan bersyukur kerana tidak perlu berat kepala memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah kulit sekaligus mengurangkan kos perawatan muka dan sebagainya. Begitu juga akan membolehkan si cantik yakin melangkah.

Dan paling boleh dianggap sebagai anugerah sekiranya mereka yang boleh dianggap biasa sahaja sebelum ini, kini dianugerahkan dengan rupa paras menarik. Pasti ramai yang mula tertarik.

Cantik sebagai ujian

1. Dijadikan bahan komersial
2. Disayangi hanya kerana rupa
3. Menimbulkan riak dalam hati
4. Apabila nikmat cantik ditarik sekelip mata

Si cantik biasanya menjadi pilihan untuk melariskan pelbagai produk di pasaran. Tidak kira bagi pengiklanan produk kecantikan, produk kesihatan hatta produk deodorant lelaki pun menggunakan si cantik sebagai pelaris, tidak semena-mena sahaja deodorant itu perlu diedarkan oleh si cantik sebelum sampai ke tangan si lelaki pemakainya.

Pakaian? Peluk cium usah kira, penambah saham dosa. Oh, tiada kerja!

Si cantik juga seringkali menjadi mangsa jerat cinta si jejaka yang mementingkan rupa semata-mata. Apabila cantik itu hilang, maka hilanglah cinta Sang Pencinta juga. Bukankah itu juga satu ujian? Lebih baiklah mereka yang sederhana paras rupa, yang diyakini disayangi bukan kerana rupa semata-mata.

Riak pula? Seringkali wujud rasa iri hati di kalangan sesetengah individu yang berasa kurang senang dengan kecantikan yang dimiliki orang lain, dan seringkali juga wujud segelintir si cantik rupa yang memandang rendah pada yang lain hanya kerana mereka memiliki aset wajah menarik.

Apa pun, ujian terbesar ialah apabila kecantikan itu ditarik dan hilang sekelip mata. Hilanglah keyakinan diri, hilanglah semangat, dan tidak mustahil hilanglah sebahagian besar mereka yang seringkali menjadi pendamping selama ini.

Kesimpulannya, bersyukurlah dengan apa yang ada kerana semuanya tidak kekal selamanya.

RENUNG-RENUNGKAN..DAN SELAMAT BERAMAL.. ^_^

Pelindung Vs Perosak

Lelaki yang bijak sentiasa berusaha menjadi pelindung kepada wanita.
Lelaki yang bijak takkan meminta dan mengharapkan sesuatu yang belum menjadi haknya.
Lelaki yang bijak sentiasa menjaga pandangan mata dan hatinya.
Lelaki yang bijak menyedari bahawa seorang perempuan itu hanya mahu dirinya dihormati.
Lelaki yang bijak hanya mahukan wanita yang terbaik untuk menjadi suri hidupnya.

Bagaimana seorang lelaki dapat menjadi pelindung terbaik bagi wanita?

Adakah dengan menghubungi wanita itu selalu, bertanyakan khabar, mengajaknya pergi makan supaya dia tahu si gadis makan mengikut masa, atau dengan mengucapkan kata-kata sayang?

Saya hendak berkongsi sebuah kisah benar berkenaan seorang sahabat yang sering risau akan keadaan dirinya yang masih single and available. Risau bila dikatakan tidak mengikut trend. Risau bila huluran ikhlasnya tidak disambut oleh gadis yang dipuja. Sering merasakan dirinya LOSER kerana kononnya tak ada perempuan nak mahu padanya, sikit-sikit kena reject saja. Geli hatiku. Sampai begitu sekali fikirannya parah.

Persoalannya, adakah dengan SMS selalu, rajin bertanya khabar, dan rajin segala dapat menjamin dia menjadi pelindung atau hero paling hebat kepada wanita tersebut? Sekali kita mulakan langkah. pasti akan membawa kepada langkah seterusnya. One thing leads to another. Silap-silap lebih menjadi perosak daripada pelindung.

"Merosakkan?"

Yalah. Merosakkan dengan menambah saham dosa yang ditanggung oleh perempuan. Pelindungkah?

Merosakkan dengan setiap tindakannya yang akhirnya membuatkan perempuan tersebut gila bayang padanya hingga melupakan yang mana langit dan yang mana bumi.
Pelindungkah?

Merosakkan dengan membuatkan perempuan itu merasakan setiap perbuatan yang dilakukan untuk 'mengeratkan hubungan' itu supaya terasa 'enak dan indah' walaupun hakikatnya masing-masing menyedari diri terjerumus dalam kancah dosa.
Pelindungkah?

Merosakkan dengan membuatkan diri anda dan diri orang yang 'disayangi', buah hati pengarang jantung berenang-renang dalam lautan dosa tatkala anda sedar tidak mampu memberikan sesuatu yang halal kepadanya.
Pelindungkah?

Merosakkan akhirnya hanya kerana pada awalnya telah MEMULAKAN.
Pelindungkah?

Jadilah pelindung kepada kaum Hawa dengan tidak memandang kami.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menambahkan ilmu dengan amalmu,
supaya nanti pabila tiba masanya, dapat kalian menjadi pemimpin keluarga yang dihormati.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menjaga sebaik-baiknya akhlakmu.
Jadilah pelindung yang terbaik dengan mencontohi Rasulmu!

Mahu menjadi pelindung? Mintalah pertolongan kepada Allah semoga Dia sentiasa melindungi. Kita hanya manusia biasa yang tidak berdaya. Di saat anda masih belum mampu, cukuplah dengan meminta Dia yang melindungi dan memerhati. Kita manusia dengan pelbagai keterbatasan, takkan mampu untuk menjadi superhero paling sempurna kerana tiada yang sempurna melainkan-Nya. Jadilah lelaki pintar yang sentiasa bijak menilai.

Lelaki yang pintar sentiasa risau dirinya akan membawa fitnah kepada wanita,
Lelaki yang pintar tidak akan sekali-kali gentar apabila seorang wanita bertindak tegas terhadapnya kerana dia sedar itulah wanita sejati!
Yang mempunyai harga diri, yang takut kepada Ilahi.
Lelaki yang pintar takkan risau dan gusar dengan status 'single' kerana dia tahu dengan izin-Nya kelak dia akan berjabat dengan seorang wali yang bakal memberikan titik noktah kepada status tersebut!

Wahai ar-rijal, bangkitlah kalian. Anda dikurniakan kelebihan berbanding kami, gunakanlah kelebihan tersebut. Janganlah ambil sifat kami. Kami insan lemah, anda yang harus kuat!

Jangan mengharapkan sesuatu yang kami tidak mampu beri.
Jadilah kalian pelindung yang sejati,
agar kita senantiasa berada dalam reda Ilahi,
sampai tiba saatnya nanti...

Soallah diri kita, kenapa kita masih belum mampu melaksanakan suruhan-Nya sedangkan kita tahu apa yang benar?

Soallah diri kita, apa guna kita mengharap syurga seandainya perintah yang disuruh-Nya tidak mahu dilakukan malah dipandang sipi dan diabaikan?

Soallah diri kita, jika setiap muslim sudah dijanjikan syurga, yakinkah kita akan meninggalkan dunia ini dengan husnul khatimah? Yakinkah kita akan meninggalkan dunia sebagai muslim? Yakinkah kita syurga milik kita? Yakinkah?

Soallah diri kita, andaipun syurga dijanjikan kepada kita, sanggupkah kita mengharungi neraka sebelum menjejak ke syurga lantaran "hutang" kita terhadap Sang Pencipta yang belum langsai? Sanggupkah?

Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh. Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?" (Hadis riwayat lmam Muslim)

Bagaimana mungkin doa kita untuk ke syurga dimakbulkan andainya Allah memalingkan pandangan-Nya daripada kita lantaran 'haram' yang kita 'halal'kan? Kita yang muda kena sentiasa beringat bahawa kita merupakan harapan agama. Banyak lagi cabaran yang harus dihadapi dalam hidup ini, banyak lagi tanggungjawab yang menanti. Tolaklah ketepi perkara-perkara remeh yang tidak membawa manfaat kepada diri dan 'kawan' melainkan KEROSAKAN sahaja.

Lelaki yang baik takkan berusaha mendekati,
meskipun dengan niat yang suci,
kerana dia sentiasa menyedari,
niat mungkin terpesong sekalipun begitu murni,
kerana dia mengakui,
makhluk bertanduk dua sentiasa "ready"!
Ingatlah, Dia jua yang Maha Memerhati.

Fikirkan dengan akal, renungkan dengan hati. Tolak tepi nafsu di hati yang mengaburi hati kita daripada menilai yang baik dan buruk, kerana hati tidak pernah menipu.

Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah, dan baginda bertanya "Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?"

Aku menjawab, "Ya, benar."

Baginda bersabda, "Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu."

(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-rajinkanlah membersihkan hati.

Glosari

1. Ar-rijal: Lelaki, pemuda.
2. Husnul khatimah: Pengakhiran yang baik.

RENUNG-RENUNGKAN..DAN SELAMAT BERAMAL ^_^

Cahaya Menembusi

Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui. (Surah Yunus 10: Ayat ke 5)

Cahaya Al-Quran

Al-Quran adalah mukjizat terbesar yang diberi oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk difahami dan diyakini oleh umat Islam seluruh dunia.

Al-Quran juga mengandungi pedoman dan panduan kehidupan kepada kita untuk meyakini kebesaran dan kesucian Islam. Bagaimana pun, sekiranya Al-Quran ini tidak dibaca, dikaji dan difahami isi kandungannya, maka mukjizat mukjizat Al-Quran itu tidak mungkin akan diketahui.

Al-Quran mempunyai 30 juzuk, 60 hizb, 240 ruboq, 114 surah, 6236 ayat, 77,437 kalimah dan 323,671 huruf. Al-Quran bukan sahaja memberi petunjuk (huda) dalam kehidupan kita, malah memberi cahaya (nur), penyembuh (shifa') dan rahmat (rahmah) kepada pembacanya. Ia adalah bekalan menuju akhirat.

Firman Allah dalam surah al-Ma'idah ayat 15-16: "Terjemahannya: Sesungguh nya telah datang kepada mu cahaya yang terang dan kitab yang nyata dari Allah". "Dengan kitab itu, Allah memberi petunjuk kepada orang yang mencari keredhaannya kepada jalan selamat dan mengeluarkan mereka itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang dengan izinnya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus."

Photo by:WarnaIman Azizi
أَوَ مَن كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَن مَّثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِّنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengancahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan (Surah Al-An'Am 6: Ayat ke 122)

Wednesday, April 27, 2011

Menutup Aurat atau Melapik Kain?

MENUTUP aurat untuk wanita-wanita Islam Muslimah adalah wajib tapi ramai yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut Islam. Malah ada yang seakan-akan memperagakan fesyen seolah-olah mempersendakan hukum atau syariat Islam. Bolehkah ustaz memberikan nas-nas dari al-Quran ataupun rujukan hadis yang menjelaskan balasan bagi wanita Islam yang tidak menutup aurat.

Menutup Perkara yang Memalukan atau Sudah Hilang Malu?

JAWAPAN DALAM kamus Lisan al-Arab karangan Ibn Manzur menjelaskan makna tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada lelaki. (Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, jld:3, hlm:33). Ini bermaksud apa sahaja perbuatan seorang wanita dalam menghiasi wajahnya serta tubuhnya supaya dilihat oleh orang lelaki dan ia termasuk juga memperagakan fesyen pakaian.

Dalam persoalan ini anda boleh lihat adanya tiga kategori wanita. Yang pertama, menutup aurat dengan sempurna. Kedua, menutup aurat tetapi tidak sempurna dan ketiga, langsung tidak menutup aurat.

Kumpulan pertama

Menutup aurat dengan sempurna kerana dia sedar bahawa itu adalah perintah Allah SWT. Menyedari bahawa hukum menutup aurat itu wajib serta memahami cara yang betul dalam menutup aurat.

Kumpulan kedua menutup aurat, tetapi tidak sempurna. Kategori ini mutakhir ini cukup banyak.

Menutup aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang awam. Kadang-kadang kepala ditutup dengan tudung tetapi pada masa yang sama potongan tubuh badan dipertonton kepada orang.

Hakikatnya, pemahaman masyarakat wanita Muslim dalam persoalan menutup aurat masih cetek. Ungkapan "Daripada tak tutup langsung lebih baik tutup." Kata-kata ini, tampak baik, semacam positif, pada hakikatnya suatu yang dangkal.

Kenapa perlu dibandingkan dengan yang tidak menutup aurat? Kononnya yang menutup aurat walaupun tidak sempurna sudah kira baik... Kenapa tidak dibandingkan dengan yang lebih sempurna dalam menutup aurat?

Itulah manusia yang banyak sangat beralasan dalam urusan dunia dibandingkan dirinya denga yang lebih baik, manakala dalam urusan agama membandingkan dirinya dengan yang paling teruk.

Tidak salah berfesyen dalam bertudung tetapi sebelum dilihat kepada aspek fesyen, adalah lebih baik dilihat aspek hukum. Mungkin ada yang berpendapat bahawa pandangan saya agak jumud. Tetapi suka saya nyatakan bahawa takut saya pada Pencipta mengatasi keinginan nafsu manusia. Cuba lihat diri anda yang sempurna kejadiannya, cantik, rambut ikal mayang, sihat dan sebagainya.

Manusia itu sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Siapa yang menjadikan manusia berpasangan, ada lelaki ada perempuan? Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT.

Dialah yang menjadikan rupa paras wanita dengan keayuan yang semula jadi, yang menjadi tarikan orang lelaki dan Dia jugalah yang memerintah agar kamu wahai wanita hendaklah menutup aurat.

Suruhan ini bukan daripada saya atau mana-mana ulama atau mufti, tetapi suruhan ini datangnya daripada Allah yang menjadikan kamu. Hairannya, manusia terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu dihitung sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan, tetapi bila disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar, suruh zakat dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – Wahai 'AhlulBait'dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)

Seorang ahli tafsir mengulas ayat ini dengan berpendapat: "Tabarruj wanita bermakna dia (wanita) meletakkan penutup (kain selendang) atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan segala perhiasannya, termasuklah rantai dilehernya." (Ibn Kathir, jld: 3, hlm: 482-483).

Manakala Abu Ubaidah berpendapat: "Tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan kecantikannya yang memungkinkan orang lelaki ghairah."(Tafsir al-Alusiy, jld: 21, hlm: 8)

Ulasan ulama dalam ayat di atas serta kaitannya dengan perhiasan di zaman jahiliah. Maksudnya sebelum kedatangan Islam orang Arab perempuan memang sudah menutupi kepala mereka.

Setelah Islam menyinari bumi, dan lokasi sinaran itu ialah Mekah. Jadi masalah sosial juga berlegar dalam persoalan masyarakat hari itu.

Selepas turunnya ayat dari surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: Dan hendaklah kami tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan terus dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan daripada kamu, hai 'ahl al-bait' dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.

Lantaran itu, wanita-wanita Islam segera menutup aurat dengan sempurna sehingga tidak mendedah rambut, leher dan segala perhiasan di leher mereka. Inilah perbezaan yan ketara antara wanita Islam zaman ini dengan wanita Islam di zaman Nabi SAW.

Generasi al-Quran ini cukup unik dan dinamik. Apabila sampai sahaja perintah Allah SWT melalui al-Quran, mereka segera menyahut tanpa sebarang bantahan dan alasan.

Sebagai balasannya, Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, yang pastinya di atas sifat tunduk dan patuh kepada perintah dan suruhan Allah SWT, mereka kelak akan dibalas dengan syurga yang tidak tergambar nikmatnya.

Hari ini macam-macam alasan diberi untuk melepaskan diri daripada perintah Allah SWT.

Dulu, zaman Nabi SAW, orang-orang Arab kuat nafsu, sebab itulah wanita zaman itu kena berkelubung, pakaian warna hitam, tutup muka dan sebagainya. Kalau betul apa yang didakwa, minta tolong kemukakan kes-kes rogol dan pencabulan yang ada pada masa itu. Itu di zaman jahiliah.

Wanita Melayu juga pada satu ketika dahulu, mungkin awal 1950an, perempuan-perempuannya berkelubung dengan kain batik, bila dengar suara lelaki lari menyorok, tidak mudah keluar rumah.

Maksudnya pergerakan dan perwatakan mereka dikawal oleh kedua-dua orang tua. Adakah pada awal tahun 1950 banyak kes rogol, pencabulan, buang anak, gugurkan janin, anak luar nikah, lari dari rumah, kanak-kanak hilang dan sebagainya?

Keruntuhan moral, budaya dan ancaman luaran yang menyebabkan segala macam bencana manusiawi yang tidak pernah berlaku di zaman jahiliah dan juga di awal kemerdekaan berlaku hari ini.

Dewasa ini orang pakai tudung sempurna pun tidak selamat, ini pula sengaja mendedahkan aurat semacam bersedia untuk dibaham.

Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT. Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan kaum lelaki akan tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan pada dirinya.

Jarang pembeli memilih kuih yang terdedah kepada lalat, asap dan kotoran. Biasanya pembeli akan memilih kuih tertutup dengan tudung saji. Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk tontonan suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan perhiasan, maka sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah.

Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut:-

KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber'T-Shirt' berlengan pendek.

KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah 'menggoda'.

KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya
(Surah An-Nur 24: Ayat Ke 31)

Kembali Kepada Allah

Dari Ibnu Umar ra katanya; Rasulullah SAW memegang bahuku lalu ia bersabda: "Hendaklah engkau berada dalam dunia seolah-olah engkau orang berdagang atau orang yang sedang melalui di jalan (pengembara)". Dan adalah Ibnu Umar ra berkata: "Jika engkau berada di waktu petang, maka janganlah engkau menunggu pagi; dan apabila engkau berada di waktu pagi, maka janganlah engkau menunggu petang. Dan gunakanlah dari sihat engkau bagi masa sakit engkau dan dari hidup engkau bagi masa mati engkau". (al-Bukhari)

Dunia adalah tempat untuk manusia beramal dalam sekian waktu yang ditentukan dan bukanlah tempat untuk bermukim, bersenang lenang sepanjang hayat kerana kedudukan seseorang itu di dunia ini adalah seperti pedagang atau pengembara yang akan pulang ke kampung halaman tempat asalnya iaitu alam akhirat yang kekal abadi.

Untuk itu, setiap amal ada waktunya di mana apabila luputnya waktu sesuatu amal sudah tentu waktu itu tidak akan berulang kembali. Oleh itu orang yang mengerti nilai waktu akan menyedari bahawa waktu itu sebenarnya adalah umurnya yang jika habisnya suatu detik waktu maka berkuranglah jangka hayatnya dan berkurang pula tempoh amalnya. Selepas itu kekecewaan dan penyesalan tidak berguna lagi.

Oleh itu seseorang yang inginkan kebahagian yang kekal abadi hendaklah memelihara waktunya daripada terbuang dengan percuma atau sebelum tiba waktu yang menghalang seperti sibuk, sakit dan sebagainya. Manusia yang mengejar dan menghabiskan masa dengan mencari "sesuatu yang tidak diciptakan oleh Allah di dunia" (kebahagiaan yang hakiki) adalah manusia yang rugi dan perbuatan yang sia-sia.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah menugaskan satu malaikat berhubung peringkat kejadian anak dalam kandungan rahim ibunya dan keadaan akan dilalui, apabila air benih itu jatuh ke dalam rahim, malaikat bertanya: "Ya Tuhanku! Air benih ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhanku! Darah seketul ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Ya Tuhanku! Daging segumpal ini akan disempurnakan kejadiannya atau tidak? Maka apabila Allah hendak sempurnakan jadinya seseorang anak, malaikat bertanya lagi: Ya Tuhanku! Adakah ia seorang (yang bernasib) celaka atau (yang bernasib) bahagia? Lelakikah atau perempuan? Bagaimana pula keadaan rezekinya dan ajalnya? (Selepas malaikat mendapat jawabnya) maka ia menulis seperti diperintahkan sedang anak itu dalam perut ibunya." (Hadis Riwayat Anas r.a)

Sebagai seorang yang beragama Islam, kita wajib mempercayai dan bersyukur terhadap kurniaan Allah. Ini kerana beriman kepada qada dan qadar merupakan rukun iman yang ke-6 dan menyangkalnya boleh mengakibatkan terbatalnya iman kita.

Sesungguhnya takdir manusia telah ditentukan sedang ia masih di dalam kandungan ibunya. Namun ini bukan alasan untuk umat Islam hanya berpeluk tubuh tanpa berusaha dan berdoa. Sebaliknya umat Islam harus menggunakan alasan ini untuk lebih kuat berusaha dan berdoa dalam mengecapi kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat.

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتاً فَأَحْيَاكُمْ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat kelak); akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat ke 28)

Tuesday, April 26, 2011

Hidup Mengikut Perintah Allah

Allah telah memerintahkan kita untuk mengikuti Al-Qur'an dan ketika kita buat seperti Nabi Muhammad saw itu, maka kita sedang mengikuti Quran. Al-Quran dan Sunnah adalah hal yang sama. Quran adalah firman Allah dan Sunnah adalah amalan Nabi saw, yang merupakan tafsiran dari Quran.

Antara Pesanan Sheikh Abdul Qadir Jailani

Allah telah memberitakan kepadamu dengan dua jihad iaitu lahir dan batin. Jihad batin adalah memerangi hawa nafsu, naluri, syaitan, taubat dari kemaksiatan dan ketergelinciran, teguh atas taubat itu, dan meninggalkan syahwat yang diharamkan.

Jihad zahir adalahmemerangi oran gkafir yang memusuhi Allah dan RasulNya saw, mematahkan pedang, tombak dan anak panah mereka, mereka membunuh dan dibunuh.

Jihad batin adalah lebih sukar daripada jihad lahir kerana jihad batin adalah sesuatu yang tetap dan berulang-ulang. Bagaimana jihad batinmu itu tidak lebih sukar dari pada jihad lahir kerana jihad batin itu adalah memotong kesenangan-kesenangan nafsu dari hal-hal yang diharamkan untuk meninggalkannya, kemudian mengikuti perintah-perintah syarak dan menjauhi larangan-Nya.

Barangsiapa yang mengikuti perintah Allah adalah dua jihad itu maka ia akan mendapatkan balasan dunia dan akhirat. Luka ditubuh orang syahid seperti terpotong pada tangan salah seorang diantaramu tiada sakit di sisinya, dan mati pada orang yang berjuang melawan nafsunya dan bertaubat dari dosa-dosanya adalah seperti orang haus yang minum air dingin.

Kaum itu (orang salih) bercita-cita agar mereka tidak kosong dari bebanan-bebanan Allah. Mereka telah mengetahui bahawa di dalam sabar terhadap bebanan-benananNya, qadha dan qadarNya terdapat kebaikan yang banyak baik dunia maupun akhirat.

Mereka menyetujui Allah dalam tindakan-tindakanNya, sekali waktu dalam bersabar dan sekali waktu dalam bersyukur. Sekali waktu dalam kedekatan dan sekali waktu dalam kejauhan. Sekali waktu dalam kelelahan dan sekali waktu dalam keenakan. Sekali waktu dalam kaya dan sekali waktu dalam kiskin. Sekali waktu pada waktu sihat dan sekali waktu pada waktu sakit.

Seluruh cita-cita mereka adalah memelihara hati mereka bersama Allah. Ini adalah cita-cita yang paling penting oleh mereka. Mereka mencita-citakan keselamatan mereka dan keselamatan makhluk bersama Khaliq. Mereka sentiasa memohon kepada Allah untuk kemaslahatan-kemaslahatan makhluk.

Seluruh keselamatan itu adalah dalam taat kepada Allah iaitu mengikuti seluruh apa yang diperintahkanNya, menjauhi dari seluruh apa yang dilarang-Nya dan sabar atas seluruh apa yang diputuskan-Nya. Barangsiapa yang mohon perkenan kepada Allah maka Dia memperkenankannya. Barangsiapa yang mentaatiNya maka seluruh makhluk taat kepadanya.

Wajib atasmu memenuhi syarat-syarat Islam. Wajib atasmu memenuhi hakikat Islam, iaitu menyerahkan diri di hadapan Allah. Lapangkanlah makhluk pada hari ini sehingga Allah akan melapangkan kamu esok dengan rahmat-Nya.

Berilah makan dengan yang mubah, bukan yang haram. Duduklah pada pintu syarak dan tetaplah berkhidmat kepadaNya. Dan kamu telah beruntung, tidakkah kamu mendengar firman Allah yang bermaksud:-

"Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia, dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah."(Al Hasyr:7)

Terimalah yang sedikit yang mantapkan jiwamu atasnya. Jika datang yang banyak dari apa yang telah ditakdirkan maka kamu ada padanya.Jika kamu puas yang sedikit maka jiwamu tidak rosak dan bahagian itu tidak lepas dari kamu.

Hasan Al Basri ra mengatakan: "Orang mukmin itu cukup denagn apa yang mencukupi anak kambing, cukup dengan tamar dan minuman air. Orang mukmin itu makan untuk menjaga kekuatan sedangkan orang munafiq itu makan untuk bersenang-senang.

Dari Luqman Al Hakim bahawasanya ia berkata kepada anaknya: "Hai anakku sebagaimana kamu sakit dan tidak mengetahui bagaimana kamu sakit, maka demikian juga kamu mati dan kamu tidak mengetahui bagaimana kamu mati. Aku memperingatkan kamu dan mencegahmu namun kamu tidak mempedulikan peringatan dan tidak mahu dicegah."

Wahai orang-orang yang ghaib dari kebaikan dan sibuk dengan keduniaan, sebentar lagi dunia akan tua padamu mencekikmu dan tidak berguna bagimu dunia yang kamu kumpulkan itu, dan juga tidak berguna kelazatan yang kamu rasakan itu, tetapi seluruhnya akan menjadi cubaan atasmu.

Sumber Text: Mengenal Diri

وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِ حَتَّى إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الأَمْرِ وَعَصَيْتُم مِّن بَعْدِ مَا أَرَاكُم مَّا تُحِبُّونَ مِنكُم مَّن يُرِيدُ الدُّنْيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ الآخِرَةَ ثُمَّ صَرَفَكُمْ عَنْهُمْ لِيَبْتَلِيَكُمْ وَلَقَدْ عَفَا عَنكُمْ وَاللّهُ ذُو فَضْلٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ
"Dan sesungguhnya Allah telah memenuhi janji-Nya kepada kamu, ketika kamu membunuh mereka dengan izin-Nya sampai pada saat kamu lemah dan berselisih dalam urusan itu dan mendurhakaiperintah (Rasul) sesudah Allah memperlihatkan kepadamu apa yang kamu sukai. Di antaramu ada orang yang menghendaki dunia dan di antara kamu ada orang yang menghendaki akhirat. Kemudian Allah memalingkan kamu dari mereka untuk menguji kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan Allah mempunyai karunia (yang dilimpahkan) atas orang-orang yang beriman"
(Surah Ali-Imran 3 : Ayat ke 152)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...