Monday, April 18, 2011

Matlamat Al-Quran Itu Jelas

Adalah menjadi arahan Allah SWT kepada seluruh Muslimin untuk mengikuti syara'. Hanya mereka yang mematuhi syara' yang akan beruntung. Keuntungan tersebut bukan sahaja di dunia bahkan juga di akhirat. Hal ini akan berlaku dalam semua suasana dan ketika sekiranya syara' dipatuhi.

Untuk mengikuti syara' perlulah kepada matlamat yang terang. Matlamat yang terang perlu berhubung dengan keimanan kepada Allah SWT. Hanya matlamat yang berhubung dengan Allah SWT yang akan membawa kita kepada kejayaan yang sejati.

Seluruh tenaga, masa, fikiran dan wang ringgit yang kita gunakan akan menjadi sia-sia sekiranya kejelasan matlamat tidak tercapai. Matlamat hidup yang tidak jelas berlaku secara berleluasa dalam reliti masyarakat kita hari ini. Membiarkan hal ini berterusan bererti kita mendedahkan masyarakat kepada kerosakan demi kerosakan.

Apakah Matlamat Sebenar Kehidupan Ini?

Mengetahui matlamat sesuatu perkara, amat penting dalam melaksanakan tugas, kerja dan ibadah setiap hari. Seorang pelajar yang faham matlamat belajar akan belajar bersungguh-sungguh. Seorang pekerja yang faham matlamat kerja, akan berusaha dalam kerjayanya. Pendek kata, orang yang jelas matlamatnya akan berusaha untuk mencapainya, merasa mudah untuk mencapainya kerana sudah jelas matlamatnya.

Terfikirkah kita sebelum ini apakah matlamat kehidupan manusia itu dijadikan? Menjadi seorang lelaki mahu pun perempuan, kecil, besar, tua, muda, miskin, kaya, remaja, dewasa dan sebagainya. Apakah matlamat hidup mereka? Sebagai muslim Al-Quran secara jelas memberitahu. Manusia tidak dijadikan sia-sia, ada matlamatnya walau di mana sekali pun kedudukan, zaman dan masa. Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' : ayat 16

"Dan (ingatlah) tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala dan yang ada di antaranya secara main-main."

Manusia yang diciptakan oleh Allah SWT sudah jelas matlamatnya seperti yang dijelaskan di dalam surah al-Baqarah ayat 30 yang bermaksud;

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat" Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi?" Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata) "Adakah Engkau ( Ya Tuhan kami) hendaklah menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dan memujiMu dan mensucikanMu. Tuhan berfirman "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya."

Manusia wajib taat dan patuh kepada Allah SWT, Rasulullah SAW dengan mengikut ajaran Islam yang terkandung di dalam al-Quran dan sunnah. Mereka hendaklah berusaha untuk meneruskan kehidupan mengikut acuan al-Quran dan sunnah. Yang jelasnya muslim adalah orang yang jelas hala tujunya menjadi hamba Allah yang berjaya mengikut peraturan sebagai khalifah di muka bumi walaupun diuji dengan pelbagai ujian dan halangan yang kadang-kadang di luar dugaan. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah ali-Imran ayat 14 yang bermaksud;

"Dihiaskan (dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak, harta benda dari emas dan perak, kuada peliharaan, dan binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan ingatlah pada sisi Allah SWT ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (Syurga)."

Memahami tuntutan Qada' dan Qadar serta lumrah kehidupan samaada susah dan senang, penyakit, adalah ujian dari Tuhan dalam mencapai kejayaan hidup sebagai seorang muslim.

Realitinya matlamat ini bermula dari rumah. Ibu bapa mahupun penjaga yang mendidik anak-anak sebenarnya orang yang menginginkan masa depan anak-anak menjadi orang yang berjaya di dunia ini dan di akhirat kelak. Oleh yang demikian, mereka sepatutnya mempunyai matlamat yanga jelas dalam mendidik generasi mereka.

Lukman al-Hakim telah berpesan kepada anaknya dengan pesanan yang disebutkan di dalam al-Quran dalam surah Lukman ayat 17-19 yang bermaksud;

"Wahai anakku, dirikanlah sembahyang dan suruhlah berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala' bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkar-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya. Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan jaganlah engkau berjalan di muka bumi dengan berlagak sombong takbur lagi membangga diri. Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai."

Marilah sentiasa meningkatkan keimanan kita dengan memahami matlamat yang sebenar kehidupan. Agama bukan sekadar ikutan(taklid), atau hanya untuk digunakan bagi sesuatu perkara seperti semasa perkahwinan, kematian dan sebagainya, sedangkan Islam meliputi seluruh kehidupan manusia. Sebagai contohnya sambutan maulidur rasul yang disambut setiap tahun bukan sahaja sambutan yang perlu dibesarkan tetapi sunnah nabi itu yang diutamakan.

Muhasabah diri dari semasa ke semasa, sejauh mana kita yang dibekalkan dengan al-Quran dan as-Sunnah ini benar-benar mengamalkan Islam sebagai cara hidup. Usah jadikan watak-watak hiburan semata-mata dalam mengajar dunia yang sementara ini sedangkan ia tidak diajarkan oleh sunnah Rasulullah SAW. Telitikanlah ajaran Islam melalui al-Quran dan hadis segala keperluan kehidupan ada di dalamnya.

Matlamat Sebenar Kejadian Manusia

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu"
(Surah Az-Zariyat 51: Ayat ke 56)

RENUNG-RENUNGKAN..DAN SELAMAT BERAMAL ^_^

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...