Ilmu adalah lawan kepada kejahilan. Dengan memiliki ilmu di dada, ia akan mengangkat darjat seseorang kepada darjat yang tinggi di sisi Allah dan juga masyarakat.
Masyarakat terutama remaja yang merupakan pewaris generasi al-quran hari ini perlu keluar dari kepompong kejahilan kerana status orang yang jahil adalah hina di sisi Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah az-Zumar ayat 9 yang bermaksud,"katakanlah: Adakah sama antara orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu pengetahuan?(tentu tidak) Hanya yang menerima peringatan ialah orang-orang yang berakal."
Jika kita merasakan diri termasuk dalam golongan yang jahil, kita perlu lakukan sesuatu supaya tidak terus-menerus berada dalam kejahilan sepanjang hayat. Setiap orang layak memilih jalan keluar dan jangan sesekali membawa status jahil itu sehingga kita mati kelak sedangkan peluang untuk menuntut ilmu terbuka luas dan tiada had sempadannya. Tiada alasan untuk kita mengatakan kita tidak tahu dan tidak pernah diberitahu akan sesuatu perkara kerana Allah memberi kita akal untuk berfikir. Apakah sepanjang hidup kita ini akan tetap berpegang pada sesuatu yang salah tanpa memperbetulkannya?
Menuntut ilmu
Untuk menghindarkan diri daripada terus berada dalam kejahilan, kita hendaklah menuntut ilmu agama. Ilmu agama ini menjadi syarat kepada penerimaan ibadat kita kepada Allah. Ia terbahagi kepada dua iaitu ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Ilmu fardu ain amat perlu ditekankan dalam diri setiap bergelar Muslim kerana ia adalah perkara yang wajib dilaksanakan malah berdosa sekiranya ditinggalkan. Ia meliputi soal aqidah, tauhid, ibadat fardu dan juga akhlak diri.
Tetapi, kita juga perlu tahu, ilmu fardu kifayah wajib dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam bagi menjaga kepentingan umat Islam yang lain sekiranya tidak ada yang melaksanakannya. Jika tiada orang yang sanggup melakukan perkara fardu kifayah tersebut, hukumnya jatuh kepada perkara fardu ain dan jika masih tiada yang mampu menyelesaikannya, semua masyarakat akan menanggung berdosa.
Fardu Ain Diajar Sejak Kecil
Suatu ketika dahulu, waktu kita di bangku sekolah, setiap minggu akan diadakan kelas fardu ain bagi melatih dan mengajar kanak-kanak seawal tujuh tahun mengenal perkara-perkara yang termasuk dalam kategori ilmu fardu ain. Begitu juga kanak-kanak dan remaja hari ini. Bukannya mereka tidak mengikuti kelas fardu ain tersebut tetapi yang hairannya mengapa apabila ditanya , mereka seolah-olah tergagap-gagap untuk memberitahunya dan terkial-kial untuk melakukannya. Sedangkan ilmu fardu ain menjadi asas dalam kehidupan kita dan sudah diajar sejak dari sekolah rendah lagi. Malahan, ramai juga yang cemerlang dalam ujian dan peperiksaan tetapi gagal untuk mengamalkannya. Itulah silapnya.
Apabila meningkat dewasa, langsung ilmu fardu ain diambil mudah dan ada yang ditinggalkan kerana menganggap ianya tidak relevan dalam kehidupan yang sentiasa 'up to date'. Tetapi akan dibeleknya semula buku-buku fardu ain lama itu, contohnya apabila ingin berkahwin. Kerana pada masa itu ia amat diperlukan untuk memastikan majlis berjalan lancar dan berjaya melepasi sebuah fasa baru dalam kehidupan.
Fardu Ain Berkait Dengan Hukum
Sedarkah kita, tanpa mengetahui perkara fardu ain, setiap amalan dan perlaksanaan berkaitan fardu yang kita lakukan tidak akan sempurna. Ini kerana, perlaksanaannya melibatkan hukum sama ada sah atau batal dan haram atau halal. Kita perlu tahu, kewajipan mempelajari ilmu fardu ain adalah semata-mata untuk memastikan amalan kita tidak sia-sia tetapi diterima oleh Allah untuk diberi ganjaran. Alangkah ruginya jika kita menunaikan solat tetapi wuduk tidak sempurna ataupun aurat terbuka sehingga menyebabkan solat kita tidak sah.
Apabila amal ibadat kita tidak diterima oleh Allah SWT, hati akan menjadi keras dan mati. Perkara dosa dan pahala sudah tidak diambil kisah malah tidak dapat merasakan dosa yang dilakukan adalah satu kesalahan sehinggalah pintu hatinya tertutup. Status jahil yang dipegang akan menyebabkan kita tidak tahu bagaimana ingin menjunjung perintah Allah SWT dan menjauhi segala larangannya. Seolah-olah keliru yang mana satu suruhan dan juga larangan. Akhirnya semua bercampur baur.
Ketahuilah, apabila kita tiada ilmu fardu ain, hidup kita tidak akan diredai dan dirahmati oleh Allah SWT. Tidak hairanlah jika jiwa kita berasa tidak tenteram dan mudah terikut untuk melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT kerana diri sudah berada jauh dari-Nya. Bagi yang bergelar ibu dan bapa, menuntut ilmu fardu ain bukanlah untuk kepentingan diri sendiri sahaja dan bukanlah untuk ditunggu hari tua untuk belajar tetapi wajib kepada anak-anak yang berada dibawah tanggungan. Mereka juga perlu belajar untuk menjadi seorang Muslim yang tahu berkaitan hukum-hakam, perintah dan larangan Allah SWT.
RENUNG-RENUNGKAN..DAN SELAMAT BERAMAL ^_^
No comments:
Post a Comment