Tuesday, January 25, 2011

Nabi Bersukan Bersama-Sama Isteri


Sukan merupakan antara cara untuk menyihatkan badan. Dengan bersukan, tubuh badan akan bergerak aktif dan cergas, seterusknya menjadikan anggota badan lebih segar dan sihat.

Islam menyeru manusia agar hidup sihat. Ekoran dari itu, Islam meletakkan asas bahawa segala aktiviti manusia pada asalnya adalah harus, melainkan jika wujud nas yang menyatakan pengharamannya. Ini bermakna semua bentuk sukan yang boleh menyihatkan badan adalah harus bahkan digalakkan, selama mana bentuk sukan itu tidak terkandung unsur-unsur yang menyalahi syariat; menyalahi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah secara qati'i, sahih dan sorih.

Justeru itulah, kita akan dapati bahawa Nabi SAW sendiri juga sering bersukan. Bermain pedang, memanah, menunggang kuda menjadi amalan nabi SAW dan para sahabat, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk menyiapkan diri dengan persediaan fizikal dan persenjataan yang dapat menggerunkan musuh-musuh Islam.

Firman Allah yang bermaksud;

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu." (Surah Al-Anfal : 60)

Sirah menunjukkan bahawa Nabi SAW, bukan sekadar bersukan atau beriadhah bersama-sama para sahabat sahaja, bahkan ada masa-masa tertentu, Baginda SAW bersukan dan beriadhah bersama isteri-isteri baginda.

Main kejar-kejar

Antara kisah Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam melakukan riadhah bersama isterinya adalah seperti yang terdapat dalam satu hadis Aisyah yang berkata;

"Nabi SAW berlumba-lumba denganku. Aku mendahului baginda. Ketika aku menjadi gemuk, Baginda berlumba-lumba denganku lagi, lalu Baginda telah mendahuluiku. Lalu baginda SAW berkata, ini sebagai balasan terhadap yang lalu."

Dalam riwayat yang lain pula Nabi (SAW) diceritakan beriadhah dengan isteri ketika Baginda dalam satu permusafiran Baginda bersama para sahabat. Isteri Baginda (SAW) Aisyah RA turut sama dalam permusafiran tersebut.

Dalam perjalanan, Nabi SAW memaklumkan kepada para sahabat agar mereka berjalan dahulu, meninggalkan Baginda dan Aisyah di belakang. Apabila para sahabat sudah berada jauh di hadapan, lalu Baginda berkata kepada Aisyah ajak berlumba-lumba. (Musnad Ahmad : 22989)

Sibuk Bukan Alasan Tidak Menggembirakan Isteri

Melihat kepada hadis ini, pasti kita akan dapat membayangkan betapa lembutnya hati nabi dalam usaha hendak gembirakan isteri-isterinya. Memandangkan Nabi SAW adalah manusia yang selalu sibuk, baginda akan mengambil segala kesempatan yang ada untuk menggembirakan isteri-isterinya. Peluang dan kesempatan yang ada ketika bermusafir itu digunakan sebaik mungkin untuk bermesra dengan isteri melalui riadhah berlumba lari.

Dari hadis ini juga, kita akan dapati, Nabi SAW tidak menjadikan tempat awam sebagai penghalang nabi SAW menyeronokkan isterinya. Bahkan, jika di tempat awam itu adalah ruang yang paling berkesan bagi nabi mahu gembirakan Isterinya, pasti dilakukan oleh Baginda SAW.

Sebagai isteri, kemesraan suami sebegini memberi kesan mendalam dalam hati dan memahat kenangan indah dalam memori. Buktinya, walaupun kejadian tersebut telah berlalu begitu lama, tapi masih berada diingatan Aisyah sehingga ke saat Aisyah meriwayatkan hadis ini.

Mudah-mudahan para suami di zaman ini mencontohi sifat mesra dan romantik Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam ini. Usahlah anggap kedudukan sebagai suami itu sebagai status yang menghalang isteri anda bergembira dan ceria walau ketika anda sibuk sekali pun.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...