Terdapat para sahabat yang apabila mendengar tentang ikhlas mereka akan menangis. Mereka berasa tidak selamat dan tidak mungkin dapat memperolehi ikhlas kerana begitu tingginya nilaian untuk mendapat sifat ikhlas.
Islam tidak membenarkan seseorang mengaku ikhlas. Sesiapa yang mengaku ikhlas walaupun sebelum ini ikhlas maka secara automatik keikhlasannya terbatal.
Contoh-contoh yang dikatakan mengaku ikhlas;
Membantu seseorang sambil berkata,
"Ambillah, saya ikhlas."
Menolong seseorang tapi pertolongannya ditolak,
"Saya tolong awak ini ikhlas tetapi sedih kerana awak menolak."
Dalam menulis surat kita selalu mengakhiri dengan tandatangan,
"Yang Ikhlas."
Tiada sesiapa yang berhak mengaku ikhlas. Cuma berusaha moga-moga jadi ikhlas dan moga-moga diterima Allah.
Erti Ikhlas
Murni, bersih, jenisnya sahaja dan tidak bercampur jenis-jenis yang lain. Tidak dinodai seperti air yang tidak bercampur dengan sabun, tepung kerana apabila sudah bercampur dengan benda lain ia sudah tidak tulen lagi.
Begitulah dalam beramal - solat, zakat, membaca al-Quran, mengajar, berdakwah, menolong, motivasi, forum, ceramah, belajar semuanya semata-mata kerana Allah; kerana suruhan-Nya, kerana keredhaan-Nya, kerana arahan-Nya, kerana mentaati-Nya dan kerana patuh pada-Nya.
Jadi, perkara di atas adalah kerana-Nya yang satu. Tujuannya hanya satu, dan didorong oleh yang satu iaitu Allah. Mengabdikan diri kerana Allah dan tidak dicampur atau bercampur selain Allah. Itulah ikhlas, dorongannya hanya satu.
Sekiranya niat atau dorongannya telah tercampur atau terselit niat-niat yang lain selain Allah seperti riak, megah, glamor, pangkat, takut orang tidak suka, undi, uji kemampuan, hendak berlawan, hendakkan piala, hadiah, kerana kawan - maka keikhlasannya telah ternoda.
Untuk ikhlas, sebenarnya amat susah sekali terutama yang ada kaitan kepentingan umum atau orang ramai yakni yang terdedah kepada pandangan umum seperti berdakwah, mengajar, gotong-royong, forum, upacara memberi hadiah; lebih-lebih lagi orang yang tidak memikirkan hati lalu hati dibiar dan terbiar.
Khususul Nafs
Kepentingan diri seperti ingin popular, disedari atau tidak kerana kurang menyuluh hati. Awal-awal lagi nawaitu (niat) telah rosak seperti membuat rumah di atas lumpur.
Ada tiga jenis kerosakan yang berlaku pada tiga (3) jenis kedudukan:
- awal
- pertengahan
- akhir
Kerosakan awal contohnya seperti berdakwah. Sebelum memberi ceramah, hati kecilnya berkata ;
"Inilah masanya nak jadi popular."
"Aku akan jadi terkenal."
" Dengan ceramah ini dapatlah duit poket."
Ada juga yang berniat untuk menghentam seseorang atau golongan tertentu sebelum berceramah, akibatnya rosaklah ikhlasnya ibarat orang yang melukis di atas air.
Kerosakan pertengahan pula contohnya niat untuk berceramah sudah baik tetapi sewaktu berceramah, ada pendengar yang angguk-angguk atau ada yang menangis kerana mendengar ceramah yang memberi kesan itu hingga hati kecil kita berkata ;
"Hebat juga aku hingga ada orang boleh terima ceramah ini dan ada pula yang menangis."
Kerosakan akhir pula contohnya niat dan sewaktu berceramah tidak ada apa-apa yang rosak, berjalan dengan baik tetapi sewaktu balik dari berceramah ada kawan yang datang bersama di dalam kereta berkata ;
"Hebat betul ceramah ustaz tadi hingga ada yang menangis."
Waktu itu maka datanglah rasa riak hingga lupa semuanya itu datang dari Allah jua. Sepatutnya ia merasa malu kerana ini semua bukan dari dirinya tetapi hakikatnya dari Allah. Orang begitu ibarat membangunkan rumah, tiba-tiba apabila siap sahaja rumah itu runtuh menyembah bumi.
Orang ramai yang mendengar ceramah tersebut juga tidak berubah sebab hati sudah cacat. Mereka memuji kita, tetapi tetap tidak berubah sebab mempunyai rasa riak. Sifat takwa sudah ternafi.
Oleh itu buatlah kerja-kerja dengan penuh tawadhuk, takut dan cemas samada diterima amalan kita atau ditolak.
No comments:
Post a Comment