Tuesday, July 13, 2010

Remajaku, tudungmu bukan pasport berbuat kemungkaran Kongsi


Seorang sahabat bercerita tentang seorang gadis remaja yang beruniform sekolah dan bertudung ayu sekali. Namun demi sahaja gadis itu melangkah keluar dari pagar sekolah, tudungnya disingkap. Rambutnya yang berwarna 'oren' terserlah.

Oh remajaku! Kenapa singkapkan tudungmu? Kemudian jawabmu, “Kena la pakai tudung. Kalau tidak kantoi la. Cikgu mesti tahu bab rambut aku yang 'oren' ini."

Ada sahabat yang lain pula berkata, “Ramai gadis bertudung terlibat dengan perzinaan.” Haruskah kenyataan ini dinafikan? Haruskah kita marah? Haruskah kita menyalahkan tudung yang menutupi kepalamu.

Oh remajaku! Kenapa tanggalkan tudungmu demi cinta dan kekasih? Kemudian jawabmu, “Ala..tudung ni kan fesyen saja. Semua orang pun pakai. Lagipun aku pakai sebab 'boyfen' aku yang suruh.” Memang katamu tidak boleh dinafikan. Hari ini tudung dipakai bukan untuk menutup aurat. Tudung dikenakan dengan baju yang ketat. Tudung lilit dipadankan dengan baju kurung yang jarang. Tudung singkat dikenakan dengan t-shirt singkat dan seluar jeans yang ketat. Tudung bagaikan hiasan dan fesyen semata-mata.

Remajaku, ambillah tudungmu dan renungkan sejenak betapa Allah sangat sayangkan dirimu. Sesungguhnya sebaik-baik perhiasan di dunia ialah wanita yang solehah.

Kerana kasihnya Allah taala kepada kita, maka Allah memberikan panduan yang jelas tentang aurat kita dalam al-Quran menerusi ayat hijab iaitu ayat 30 dan 31 surah an-Nur yang bermaksud:

30. "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.

31. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan (kemaluan) mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka….." sehingga akhir terjemahan ayat ini.

“Dunia ini adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu remajaku, dikongsikan beberapa peringatan untuk bekalan kita bersama:

1. Tudungmu bukan untuk berfesyen semata-mata. Gunakan tudungmu untuk menutup auratmu agar dirimu selamat dan dihormati. Tudung jika sekadar sebagai fesyen, sifatnya bermusim dan membawa kemudaratan.

2. Tudungmu bukan pasport membuat kemungkaran. Usahlah gunakan tudungmu untuk menutup kesalahan. Bukan untuk menutup rambut yang diwarnakan agar tidak dimarahi guru. Atau menutup kemungkaran lain agar tidak dimarahi ibumu.

3. Tudungmu bukan uniform semata-mata. Walaupun tidak dinafikan, ketika di alam persekolahan, tudung menjadi sebahagian uniform di sesetengah sekolah. Namun hayatilah hikmah di sebalik pemakaian tudung. Jika ia hanya dianggap sebagai uniform, betapa ruginya kita kerana rambut kita adalah sebahagian daripada aurat. Pakailah apabila tiba masanya demi menyempurnakan penutupan aurat daripada lelaki yang bukan muhrim kita.

4. Tudung bukan aksesori semata-mata. Ia dipakai sebagai pelengkap agar seorang gadis bertambah ayu atau seorang wanita bertambah anggun. Kelak yang menjadikan tudung sebagai aksesori semata, pagi dipakai, petang dibuka. Hari ini disukai, hari esok dilupakan.

Sesungguhnya wahai remajaku, mari kita jadikan tudung kita istimewa dan pembeza. Istimewa kerana ia akan menjadikan aurat kita sempurna seperti yang diperintahkan oleh Allah. Pembeza kerana ia mampu menjadikan pemakainya malu untuk berbuat kemungkaran. Maka ia akan membezakan antara yang memakai dengan yang tidak memakainya!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...