Dalam memberikan pendapat tentang cinta, Imam al-Ghazali dalam bukunya Kimia as-Sa'adah (Rahsia Kebahagiaan) mendefinisikan cinta sebagai "Satu kecenderungan yang membawa kepada perasaan yang menyenangkan. Ia adalah tarikan pemikiran, kesudian dan kecenderungan kepada yang disukai.”
Manakali ilmuan tersohor, Profesor Dr Hamka dalam memberikan pendapat tentang cinta menyatakan bahawa, "Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanah yang berlainan menerimanya.
Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, kedustaan, penipuan, langkah serong dan lain-lain perkara tercela. Tetapi jika ia jatuh ke tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji."
Begitu indah ungkapan cinta diterjemahkan oleh dua insan mulia ini, Imam al-Ghazali dan Profesor Dr Hamka. Namun bagaimana pula tafsiran cinta oleh remaja secara umumnya. Adakah ia selari dengan ungkapan yang diberikan para ulama dan cerdik pandai, atau menepati kehendak agama dan adat? Adakah ia mengambil kira antara kebaikan dengan kemudaratan?
Antara cinta dengan C.I.N.T.A
Remaja dan cinta bagaikan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Ketika di ambang usia remajalah, cinta mula dikenali. Semuanya berlaku apabila seorang insan yang dahulunya kanak-kanak kini mengalami perubahan dari sudut fizikal, mental, emosi, sosial dan moral. Inilah perubahan yang membawa seorang insan ke alam yang penuh mencabar iaitu alam remaja.
Ketika menjadi salah seorang panelis forum remaja dan cinta di sebuah kolej di Negeri Sembilan baru-baru ini, Ustaz Wan Aminuddin Haji Wan Abdullah berkongsi tentang C.I.N.T.A. Dalam ceria beliau menterjemahkan C.I.N.T.A. sebagai "Cuma Ingin Nak Test Aje".
Maka atas tafsiran inilah cinta yang suci menjadi mimpi ngeri bagi sesetengah remaja. Buktinya ialah apabila bertambahnya kes-kes perzinaan, kehamilan luar nikah, pembuangan bayi secara berleluasa dan pelbagai lagi penyakit sosial dalam kalangan remaja yang menjadikan cinta sebagai "C.I.N.T.A".
Cinta Suci Cinta Sejati
Cinta bukan sesuatu yang keji. Tidak pernah ia dimusuhi atau dibenci. Namun, hanya cinta yang suci murni yang mengandungi ketenangan dan keindahan. Maka ingin dikongsikan di sini secebis keindahan dan kelebihan cinta yang suci dan murni untuk sama-sama dihayati. Antaranya:
1. Tokoh-tokoh agama juga mengiktiraf kesucian dan keperluan cinta
Tiada agama yang memusuhi cinta. Sebab itu kebanyakan tokoh agama mengajak kepada cinta dan kebaikan. Berikut adalah antara ucapan tokoh-tokoh berikut tentang cinta:
* CINTAILAH sesama manusia, seperti engkau mencintai dirimu sendiri – Nabi Muhammad s.a.w.
* Jangan menangis kerana gagal dalam PERCINTAAN, sebab manusia akan meninggalkan semua yang dicintainya - Buddha
* Apabila kita bersungguh-sungguh ingin MENCINTAI, kita perlu belajar memaafkan – Mother Teresa
* Ketika anda diserang oleh musuh, taklukinya dengan CINTA – Mahatma Ghandi
2. Hakikat cinta abadi
Jika benar kita faham tentang cinta, tanamkanlah dalam jiwa kita lima kecintaan hakiki iaitu:
* Cinta kepada Pencipta
* Cinta kepada Nabi dan Rasul
* Cinta kepada ibu bapa
* Cinta kepada ummah
* Cinta kepada kecemerlangan
3. Cinta perlukan keutamaan
Sebagai insan yang bijak, kita wajib tahu cinta yang mana harus diutamakan. Jika kita seorang remaja, cinta yang manakah harus kita utamakan?
Pada kekasih atau Tuhan? Lupakah kita bahawa yang menjadikan dan memberikan segala-galanya kepada kita adalah Tuhan, sedangkan kita tidak pernah berterima kasih dan mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita?
Pada kekasih atau Rasul s.a.w.? Sedarkah kita bahawa sebab cinta Rasulullah s.a.w. kepada kitalah, kita hari ini menerima kenikmatan sebagai Muslim? Bukan sedikit usaha dan pengorbanan Rasulullah demi umat manusia, namun berapa ramaikah antara kita yang mengenali baginda, apatah lagi mencintai junjungan besar Rasulullah s.a.w.?
Pada kekasih atau ibu bapa? Pada kekasih yang baru dikenal beberapa purnama atau pada ibu bapa yang memelihara kita penuh cinta dan kasih sayang sejak kita dilahirkan? Tidak tertulis dan terbanding pengorbanan mereka. Sayang seribu kali sayang, manusia terutamanya golongan remaja sering melukakan hati ibu bapa demi cinta kepada seorang kekasih.
Pada kekasih atau kecemerlangan? Ketika usia remaja, cinta pada ilmu adalah lebih utama. Kesungguhan mengejar kecemerlangan akan membuka ruang kepada cinta-cinta yang seterusnya.
Jangan sesekali ‘kantoi’ dalam kehidupan disebabkan percintaan!
No comments:
Post a Comment