Saturday, June 1, 2013

Wanita Pertama Menghuni Syurga

Assalamualaikum Warahmatullah.. Alhamdulillah kerana Allah memberi saya ruang dan peluang untuk update entry blog saya pada kali ini. Rasanya dah lama kita tidak bersua.

Dalam kesempatan ini, saya ingin berkongsi satu kisah yang saya ambil dari page iluvislam. Jom sama-sama kita baca dan muhasabah diri dengan membaca kisah ini, khas saya tujukan untuk para wanita Islam.jom kita sama-sama baca kisah ini.. ^_^


Rasulullah s.a.w pernah memberitahu puteri kesayangannya Fatimah, bahawa beliau bukanlah wanita pertama yang akan masuk ke syurga. Hal itu sangat membuatkan Fatimah berasa dukacita dan cemburu lalu beliau pun bertanya kepada Rasulullah apakah amalan wanita tersebut sehingga beliau layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Rasulullah s.a.w memberitahu kepada puterinya itu supaya beliau pergi ke rumah wanita itu dan melihat sendiri amalan wanita tersebut.
Lalu, Fatimah pun bersiap-siap untuk pergi ke rumah wanita yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu. Pada kali pertama kedatangannya ke rumah wanita yang bernama Siti Muti'ah itu, Fatimah tidak dibenarkan masuk kerana suami wanita tersebut tiada di rumah dan beliau tidak mendapat keizinan daripada suaminya untuk membenarkan tetamu masuk.

Maka, Fatimah pulang kembali ke rumahnya dan akan datang semula ke rumah tersebut pada keesokan harinya. Pada hari berikutnya, Fatimah datang kembali dengan membawa dua orang puteranya, Hassan dan Hussin. Malang lagi menimpa Fatimah kerana Siti Muti'ah tidak membenarkan Fatimah masuk ke rumahnya kerana beliau hanya meminta izin dari suaminya supaya Fatimah seorang sahaja yang boleh masuk ke rumahnya manakala Hassan dan Hussin tidak boleh masuk tanpa kebenaran suaminya. Sekali lagi Fatimah pulang dengan perasaan hampa kerana tidak dapat melihat amalan wanita tersebut.

Pada hari yang ketiga barulah Fatimah diizinkan masuk ke dalam rumah Siti Muti'ah. Pada pandangan Fatimah setelah pertemuannya dengan Siti Muti'ah, tiada apa-apa yang istimewa pada wanita tersebut yang melayakkan beliau menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga. Sedang asyik Fatimah berbual dengan Siti Muti'ah, tiba-tiba Siti Muti'ah bangun dari duduknya dan segera bersiap-siap membuatkan Fatimah kehairanan. Rupa-rupanya wanita tersebut menyiapkan dirinya untuk menyambut kepulangan suaminya.

Sewaktu menyambut kepulangan suaminya, Siti Muti'ah menyediakan air dan menghidangkan sedikit makanan untuk suaminya. Beliau juga dilihat menyediakan sebuah tongkat yang akan digunakan oleh suaminya bagi menghukum Siti Muti'ah sekiranya didapati beliau melakukan kesalahan sepanjang pemergian suaminya. Siti Muti'ah juga memakai pakaian yang menarik untuk menghiburkan suaminya.

Setelah melihat adegan itu, Fatimah pulang dengan perasaan yang cukup kagum dan terharu dengan layanan yang sangat istimewa yang diberikan oleh Siti Muti'ah terhadap suaminya. Fatimah terus mendapatkan ayahandanya Rasulullah s.a.w dan menceritakan tentang peristiwa yang dilihatnya di rumah Siti Muti'ah. Dengan penuh rasa rendah diri, Fatimah memberitahu kepada Rasulullah bahawa sememangnya Siti Muti'ah sememangnya layak untuk menjadi wanita pertama yang masuk ke syurga kerana ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya itu. Wallahu'alam

~ Dipetik dari Artikel Iluvislam

~RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL~

Saturday, December 31, 2011

Takrifan Gagal : Orang Hebat VS Orang Biasa

Itulah antara keluhan yang sering kita dengar apabila apabila kenyataan yang diharapkan bertukar menjadi malapetaka. Pastinya ketidaksampaian harapan atau ringkasnya gagal, baik dalam apa jua pekerjaan mahupun sebagai pelajar mencetuskan pelbagai perasaan.

Kecewa. Marah. Bengang. Sedih. Putus asa. Paling memeritkan apabila segala wang, kudrat, masa dilaburkan namun keputusannya bukan memihak kepada kita. Semuanya terasa segala pelaburan itu bagaikan sia-sia sahaja.

Namun, apa sebenarnya erti gagal?

Kenapa ada mereka yang mampu bangun dengan gemilangnya walaupun sebelumnya gagal?

Kenapa ramai lagi mereka yang gagal, langsung tidak terbangun selepas kejatuhan mereka?

Kedua-dua golongan ini gagal dan dilanda keperitan yang amat sangat, namun apakah yang membezakan dua golongan ini?

Tuah? Usaha? Kebetulan? Banyak faktor menyumbang kepada kebangkitan semula orang yang hebat daripada kegagalan.

Antara faktor yang terbesar bagi mereka ialah takrifan gagal. Mereka menjadi semakin hebat selepas setiap kegagalan kerana mereka memahami dan melihat makna gagal lebih hebat daripada orang biasa.

Orang biasa mentakrifkan kegagalan sebagai ketidaksampaian hasrat dan impian yang dicitakan.

Hurm, adakah benar?

Namun, pentakrifan gagal oleh orang hebat ternyata berlainan dan lebih hebat. Orang hebat melihat kegagalan sebagai maklum balas tentang perkara yang tidak akan membawa mereka ke arah kehebatan.

Renung sejenak kata-kata Thomas Edison yang gagal 1000 kali dalam mencipta mentol pertama di dunia.

"Saya bukannya gagal 1000 kali, tetapi saya menemui 1000 cara yang tidak akan menghasilkan mentol".

Keputusannya?

Terciptalah mentol lampu pertama di dunia. Jika tidak kerana semangat beliau, mungkin mentol belum tercipta, dan mungkin kita masih menggunakan lampu minyak tanah sehingga sekarang.

Setiap kali ditimpa kegagalan, orang hebat melihatnya sebagai jalan atau tindakan yang tidak akan membawanya mengecapi impiannya. Justeru, mereka tidak akan mengulangi perkara dan tindakan yang sama di masa hadapan. Yang betul diteruskan, yang salah dihindarkan.

Lantaran itu, mereka semakin bijak mengatur langkah mengorak jalan ke arah kejayaan dengan hanya melakukan perkara yang betul dan hebat sahaja. Itulah yang dimaksudkan dengan kegagalan sebagai maklum balas atau "feedback".

Melihat kegagalan daripada sudut pandang positif menjadi nadi utama kebangkitan orang hebat. Biarpun terkesan emosinya, kuasa positif nyata lebih dominan untuk melonjak kembali semangat mereka untuk terus berusaha menggapai impian mereka.

Berbanding orang biasa yang melihat kegagalan sebagai penamat kepada segala usaha mereka selama ini. Merasakan segalanya sudah musnah, mereka seakan takut untuk bangun kembali.

Orang hebat hanya melihat diri mereka sebagai gagal jika mereka memutuskan untuk tidak merealisasikan impian mereka. Apapun terjadi, segalanya dijadikan maklum balas positif, dan tiada apa yang dapat memutuskan mereka dengan impian mereka kecuali diri mereka sendiri dan takdir Allah S.W.T.

Kegagalan di tangan anda. Jika anda putuskan sebagai kegagalan, maka anda memang gagal. Namun, ingatlah, membina impian bukannya mudah.

Rasulullah S.A.W sekalipun memerlukan tempoh bertahun-tahun untuk membuka kembali Kota Mekah biarpun dilanda pelbagai ujian dan kekalahan. Usah pernah putus asa dengan diri sendiri dan rahmat Allah S.W.T. Selamat berjaya dan sukses selalu!

Hustle up and be great!


~RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL~

Sunday, November 13, 2011

Munajat Di Ambang Peperiksaan


Segala pujian hanya pada-Mu Ya Allah
Selawat dan salam pada Rasulullah

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Pada malam yang penuh kedamaian
Kami menadah tangan mohon dikabulkan
Agar setiap impian menjadi satu kenyataan

Berikanlah kesihatan
Lapangkan pemikiran
Fokuskan penumpuan
Jauhkan khayalan

يَا اَللهُ
Jika hadir namanya tangisan
Biarlah ianya di permulaan
Sebagai pencetus keazaman
Bagi mengukir kejayaan

Jika hadir namanya tangisan
Biarlah juga di penghabisan
Bukan sebagai penyesalan
Tapi.. tanda kegembiraan

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Kini di ambang peperiksaan
Mohon dijauhkan kami dari kemaksiatan
Kerana ianya akan menghilangkan
Setiap ilmu dalam hafalan

يَا اَللهُ
Peperiksaan kian menjelang
Mohon ditunjukkan kami jalan
Semoga dapat segala jawapan
Setiap soalan yang mendatang

يَا اَللهُ
Peperiksaan hampir di hadapan
Mohon dijauhkan kami dari debaran
Khuatir ianya memberi kesan
Dalam dewan tempat ujian

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Perjalanan masih kabur di hadapan
tunjukkan hidayah kecemerlangan
Mudah-mudahan ianya memberi rangsangan
Pada kami yang menaruh harapan

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Ukirkanlah kejayaan
Atas usaha yang berterusan
Moga dapat memberi kegembiraan
Pada ibu bapa yang mengharapkan

Andai pencapaian tidak menggalakkan
Kami menerima dengan kerelaan
Mungkin di sana hikmah pemberian
Untuk melangkah hebat menjadi insan terbilang

اَللَّهُمَّ يَا اَللهُ
Ya Zal Jalali Wal Ikram
Kami banyak berdosa
Terutama pada ibu dan bapa
Kerana kami mereka tercela
Dek perbuatan yang sia-sia

Kami banyak berdosa
Terutama pada guru tercinta
Kerana kami mereka sengsara
Dek perbuatan main-main belaka

Kami banyak berdosa
Terutama pada rakan sebaya
Kerana kami mereka menderita
Dek perbuatan suka-suka sahaja

Oleh itu Ya Allah
Ampunkan dosa kami semuanya
Ampunkan juga dosa guru dan ibu bapa kami
Dalam doa ingatan sentiasa
Untuk kejayaan kita bersama


~RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL~

Tuesday, October 4, 2011

Adakah Istilah 'Ringan-Ringan' Dalam Dosa?


Seiring dengan usaha kita membina kekuatan iman bersulam taqwa, wujud pula penghasut paling bahaya iaitu syaitan. Ia tidak pernah berputus asa membisikkan keraguan ke dalam hati kita. Di samping mengaburi mata kita dengan tipu dayanya. Untuk itu, kita perlu kenal pasti laluan syaitan ketika memperdayakan akidah, kepercayaan, pegangan dan keyakinan kita.

Apabila kita amati puncanya, dapatlah diketahui bahawa hasutan syaitan itu banyak menyusup melalui pandangan dan renungan mata!

Kenapa pula pandangan mata perlu dipersalahkan?

Bahaya Panahan Mata Syaitan

Sesungguhnya pengaruh penglihatan itu sangat kuat.

Kuat sangat ke?
Memang kuat!

Kerana ia dikaitkan dengan desakan nafsu. Sebab itulah Rasulullah mengumpamakan pandangan mata seperti anak panah beracun iblis untuk menggoda manusia. Setiap masa pandangan mata mesti dijaga. Sama ada terhadap mereka yang menutup aurat mahupun yang tidak menutup aurat.

Telah berlaku di zaman Rasulullah, ketika Al-Fadhl bin Abas menunggang unta Rasulullah dalam perjalanan dari Muzdhalifah ke Mina, mereka bertembung dengan beberapa wanita yang menaiki unta. Al-Fadhl memandang ke arah wanita itu lalu Rasulullah memegang kepala Al-Fadhl dan memalingkannya ke arah lain.

Begitu sekali larangan yang Rasulullah maksudkan. Jika pandangan itu dibolehkan tanpa batasan, sudah tentu Rasulullah biarkan saja perlakuan Al-Fadhl.

Rasulullah juga pernah bersabda kepada Saidina Ali :

"Wahai Ali, janganlah engkau susuli satu pandangan dengan satu pandangan lagi, kerana yang pertama menjadi bahagianmu dan yang kedua bukan lagi menjadi bahagianmu (dosa atasmu)." (HR Ahmad, Al-Tirmidzi dan Abu Daud)

Jadi?

"Jika mata sentiasa dikawal, sudah tentu hati akan jadi tenang. Mudahlah melaksanakan ketaatan dan beribadah kepada Allah. Sebaliknya, mata yang dibiarkan MELIAR dan tidak dijaga akan mengotori jiwa dan merosakkan hati hingga menjerumuskan kepada kemungkaran."

Urusan mengawal pandangan ini tidak hanya di kalangan lelaki sahaja. Dituntut sama sahaja buat perempuan juga. Malahan perlu berlaku kerjasama kedua-dua pihak. Tidak satu pihak menjaga tatatusila, sedangkan satu pihak lagi menggoda. Perkara ini mesti diberi perhatian serius!

Ibnu Abas pernah berkata :

"Kedudukan syaitan dalam diri orang laki-laki itu ada tiga tempat iaitu, pada pandangannya, pada hatinya dan pada ingatannya. Manakala kedudukan syaitan dalam diri wanita juga ada tiga iaitu pada lirikan matanya, pada hatinya dan pada kelemahannya."

Pandangan Yang Tidak Sengaja Bagaimana Pula?

Rasulullah ketika ditanya mengenai pandangan yang tidak disengajakan atau secara tiba-tiba, baginda memerintahkan supaya mengalih pandangan dan mengelak daripada mengulanginya lagi. Kesan pandangan kedua akan lebih buruk kerana iblis mengambil kesempatan menambahkan racun hasutannya.

Rasulullah juga ada bersabda :

"Pandangan mata itu laksana anak panah iblis. Barang siapa menahan pandangannya dari keindahan wanita, maka Allah mewariskan kelazatan di dalam hatinya yang dia dapat rasakan hingga dia bertemu Allah."

Jelingan dan kenyitan mata akan mempelawa hati mendorong perlakuan lebih berani.

Bagaimana ye?

Bersentuhan berlapik, menginjak kepada tidak berlapik. Kemudian berpegangan tangan dan berdua-duaan di tempat terang dan juga sunyi boleh mengundang berlakunya maksiat. Sentiasalah memelihara diri kita daripada melakukan perbuatan yang dimurkai Allah.

Pastikan orang lain tidak menanggung dosa atau terdorong untuk turut melakukan dosa. Jika kamu tidak menggoda, pasti orang lain tidak ternoda. Jagalah pakaian ketat dan cara pergaulan kamu. Tepati maksud firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 2 :

"Dan tolong-menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan dan taqwa. Dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah sesungguhnya Allah sangat berat seksa-Nya."

Pergaulan Yang Tidak Dijaga

Dengan batas-batas pergaulan itu kita dapat mengawal diri daripada perlakuan yang memalukan dan membahayakan kehormatan. Pergaulan yang tidak dijaga akan menimbulkan fitnah seperti pandangan buruk dan rasa cemburu orang yang memandang.

Kemesraan bergurau senda dan bergelak ketawa antara lelaki dan wanita bukan muhrim akan diambil peluang oleh syaitan untuk menjerumuskan kita kepada perbuatan yang tidak disukai oleh Allah. Jika keluar berdua-duaan lebih-lebih lagi di tempat sunyi dan tersembunyi akan mengundang pihak ketiga iaitu syaitan. Di sini syaitan berpeluang membisikkan kata-kata jahat.

Islam sama sekali tidak mengongkong umatnya! Bahkan Islam adalah agama yang paling selamat. Justeru Islam telah mengatur sebaik-baik batasan supaya jangan timbul bibit-bibit yang mendorong kepada perlakuan sumbang dan zina.

Dari itu, ingatilah amaran Nabi Muhammad kepada wanita dan lelaki bukan muhrim yang tidak menjaga batas pergaulan.

"Sesungguhnya Allah telah menetapkan atas diri anak Adam bahagiannya daripada zina. Dia mengetahui yang demikian itu dan tanpa dimungkiri :

  • Mata itu berupaya berzina dan zinanya adalah pandangan.
  • Lidah itu berupaya berzina dan zinanya adalah perkataan.
  • Kaki itu berupaya berzina dan zina adalah ayunan langkah.
  • Tangan itu mampu berzina dan zinanya adalah tangkapan keras.
  • Hati itu berupaya berkeinginan dan berangan-angan.
  • Sedangkan kemaluan membenarkan atau mendustakan yang demikian itu."

(HR Al-Bukhari, Muslim, An-Nasa'i dan Abu Daud)

Berhati-Hatilah Sahabatku!

Laraskan hati kalian di landasan kebenaran. Sesungguhnya hati yang terpelihara dari menjurus kepada sebarang keburukan sentiasa mendorong pemiliknya kepada keredhaan Ilahi. Akhirnya layak beroleh kebahagiaan hakiki lagi abadi.

Tidak ada istilah "ringan-ringan" dalam soal dosa. Dan tidak ada istilah "ringan-ringan" dalam berzina. Setiap perbuatan dosa adalah berat di sisi Allah. Dosa kecil yang diulang-ulang akan bertompok menjadi besar.

Wahai kedua mata, kau nikmati pandangan lalu kau susupkan kepahitan ke dalam hati. Hatilah yang memaksakan kehendaknya, kerana hati dan mata tidak tunduk kepada Pencipta.

~RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL~

Monday, October 3, 2011

Muslimah Seperti Pohon Semalu

"Cuba tengok pokok ini. Apa nama pokok ini?" Faris Haikal cuba menguji minda anak muridnya.

"Pokok semalu." Semua serentak menjawab.

"Wah! Pandai adik-adik ini. Siapa tahu apa kelebihan pokok semalu?" Faris Haikal tersenyum melihat karenah anak-anak yatim itu. Semuanya bersemangat untuk mendengar syarahan daripadanya.

"Hmm. Susahlah soalan itu. Oh,ye. Zaki rasa, mungkin sebab ia pemalu. Dulu arwah mak pernah tunjuk pokok ni pada Zaki." Zaki dengan beriya menjawab soalan gurunya itu.

"Hehe...Aduhai...comel sungguh adik Zaki ini. Betul juga jawapan itu. Untuk pengetahuan semua, identiti utama pokok semalu atau nama saintifiknya 'Mimosa Pudica' ini ialah daunnya akan menguncup serta terkulai apabila disentuh dan akan kembang semula selepas beberapa minit. Apa yang boleh kita kaitkan dengan pokok ini? Boleh bagi contoh, Siddiq?"

Faris Haikal terus mengutarakan soalannya kepada Siddiq, memandangkan dia seolah-olah tidak memberikan perhatian. Mungkin kerana umurnya lebih tua dari adik-adik Darul Izzah yang lain. Tingkatan lima. Sangat remaja.

"Hmm...Bagi saya. Pokok semalu ni macam perempuan!" Semua terus mengalihkan mata tepat pada wajah Siddiq. Hairan dengan jawapan itu.

"Wah, bagus jawapan itu. Cuba Siddiq terangkan." Faris Haikal teruja dengan jawapan anak muda itu. Mungkin dia sedang cuba memahami sesuatu tentang dunia kini.

"Yelah, perempuan seharusnya ada sifat malu dalam diri mereka. Pokok semalu ini kalau kita tengok, apabila kita sentuh, ia tertutup. Ini menunjukkan ia nak melindungi dirinya. Tapi, perempuan zaman sekarang tidak tahu malu!" Bukan main marah dan bertegas cara Siddiq menjawab soalan itu. Mungkin pernah mengalami sesuatu dalam hidupnya yang berkaitan dengan wanita. Mungkin.

"Betul! Pokok semalu ini pokok perempuan. Orang perempuan yang pakai tudung, menutup aurat dengan sempurna dan ada sifat malu tidak akan membenarkan dirinya disentuh. Kalau orang nak sentuh, dia akan menutup dirinya." Faris Haikal mengukir senyuman. Adik-adik Darul Izzah pula mengangguk-anggukan kepala isyarat memahami penjelasan itu.

"Oo..tapi, kalau pokok semalu ini sudah tutup tapi orang ingin memegang juga macam mana?" Aiman dari tadi diam, tiba-tiba bersuara. Faris Haikal tersenyum.

"Tangan orang itu akan terluka sebab pokok semalu ada duri!" Faris Haikal menangkis hujah Aiman.

"Jadi, kalau orang itu cabut juga pokok ni?" Aiman seperti mahu melontar provokasi.

"Dia akan dihukum Allah! Tangan yang mencabut itu akan menerima seksaan-Nya!" Tegas jawapan Faris Haikal. Semua terdiam. Terkejut dan takut dengan jawapan itu. Aiman segera mendepa tangannya. Tidak jadi untuk mencabut pokok semalu yang sudah mahu digenggamnya.

Mereka semua setuju dengan jawapan yang diberikan. Ringkas. Padat dengan pengajaran yang bermanfaat. Kelas hari ini berakhir dengan penuh pengertian. Masing-masing berfikir tentang ilmu alam. Sunnatullah di dunia ini pasti mempunyai hikmah yang amat bermakna buat manusia sejagat.

Peliharalah aurat kita wahai muslimah, pelihara ia dengan sebaiknya.

~RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL~

Friday, September 30, 2011

Uwais Al-Qarni, Menjadi Sebutan Penduduk Langit

Pada zaman Nabi Muhammad S.A.W, ada seorang pemuda bermata biru, rambutnya merah, pundaknya lapang panjang, berpenampilan cukup tampan.

Kulitnya kemerah-merahan. Dagunya menempel di dada kerana selalu melihat pada tempat sujudnya. Tangan kanannya menumpang pada tangan kirinya.

Ahli membaca al-Quran dan selalu menangis, pakaiannya hanya dua helai dan sudah kusut yang satu untuk penutup badan dan yang satunya digunakannya sebagai selendang. Tiada orang yang menghiraukan, tidak terkenal dalam kalangan manusia,namun sangat terkenal di antara penduduk langit.

Tatkala datangnya hari Kiamat, dan tatkala semua ahli ibadah diseru untuk memasuki Syurga, dia justeru dipanggil agar berhenti dahulu seketika dan disuruh memberi syafa'atnya.

Ternyata Allah memberi izin padanya untuk memberi syafa'at bagi sejumlah bilangan qabilah Robi'ah dan qabilah Mudhor, semua dimasukkan ke Syurga dan tiada seorang pun ketinggalan dengan izin-Nya.

Dia adalah 'Uwais al-Qarni' siapalah dia pada mata manusia...

Tidak banyak yang mengenalnya, apatah lagi mengambil tahu akan hidupnya. Banyak suara-suara yang mentertawakan dirinya, mengolok-olok dan mempermainkan hatinya.

Tidak kurang juga yang menuduhnya sebagai seorang yang membujuk, seorang pencuri serta berbagai macam umpatan demi umpatan, celaan demi celaan daripada manusia.

Suatu ketika, seorang fuqoha' negeri Kuffah, datang dan ingin duduk bersamanya. Orang itu memberinya dua helai pakaian sebagai hadiah. Namun, hadiah pakaian tadi tidak diterima lalu dikembalikan semula kepadanya. Uwais berkata:

"Aku khuatir, nanti orang akan menuduh aku, dari mana aku mendapatkan pakaian itu? Kalau tidak daripada membujuk pasti daripada mencuri."

Uwais telah lama menjadi yatim. Beliau tidak mempunyai sanak saudara, kecuali hanya ibunya yang telah tua renta dan lumpuh tubuh badannya. Hanya penglihatan kabur yang masih tersisa.

Bagi menampung kehidupannya sehari-hari, Uwais bekerja sebagai pengembala kambing. Upah yang diterimanya hanya cukup-cukup untuk menampung keperluan hariannya bersama ibunya. Apabila ada wang berlebihan, Uwais menggunakannya bagi membantu tetangganya yang hidup miskin dan serba kekurangan.

Kesibukannya sebagai pengembala dan merawat ibunya yang lumpuh dan buta, tidak mempengaruhi kegigihan ibadahnya. Dia tetap melakukan puasa di siang hari dan bermunajat di malam harinya.

Uwais al-Qarni telah memeluk Islam ketika seruan Nabi Muhammad S.A.W tiba ke negeri Yaman. Seruan Rasulullah telah mengetuk pintu hati mereka untuk menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, yang tidak ada sekutu bagi-Nya.

Islam mendidik setiap pemeluknya agar berakhlak luhur. Peraturan-peraturan yang terdapat di dalamnya menarik hati Uwais. Apabila seruan Islam datang di negeri Yaman, ia segera memeluknya, kerana selama ini hati Uwais selalu merindukan datangnya kebenaran.

Banyak tetangganya yang telah memeluk Islam, pergi ke Madinah untuk mendengarkan ajaran Nabi Muhammad S.A.W secara langsung. Sekembalinya di Yaman, mereka memperbaharui rumah tangga mereka dengan cara kehidupan Islam.

Alangkah sedihnya hati Uwais apabila melihat setiap tetangganya yang baru datang dari Madinah. Mereka itu telah bertamu dan bertemu dengan kekasih Allah penghulu para Nabi, sedang dia sendiri belum berkesempatan.

Kecintaannya kepada Rasulullah menumbuhkan kerinduan yang kuat untuk bertemu dengan sang kekasih. Namun apakan daya, dia tidak punya bekal yang cukup untuk ke Madinah. Lebih dia beratkan adalah ibunya yang sedang sakit dan perlu dirawat. Siapa yang akan merawat ibunya sepanjang ketiadaannya nanti?

Diceritakan ketika terjadi perang Uhud Rasulullah S.A.W mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini sampai ke pengetahuan Uwais.

Dia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihatnya.

Hari berganti dan musim berlalu, dan kerinduan yang tidak terbendung dan hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendam lagi. Uwais merenungkan diri dan bertanya dalam hati, "Bilakah ia dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dengan dekat?"

Bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan perhatian daripadanya dan tidak sanggup meninggalkan ibunya sendiri. Hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah.

Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya. Dia meluahkan isi hatinya dan memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan untuk pergi menziarahi Nabi S.A.W di Madinah.

Sang ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya. Beliau amat faham hati nurani anaknya, Uwais dan berkata,

"Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang."

Dengan rasa gembira dia berkemas untuk berangkat. Dia tidak lupa untuk menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada tetangganya agar dapat menemani ibunya selama mana dia pergi.

Sesudah siap segala persediaan, Uwais mencium sang ibu. Maka berangkatlah Uwais menuju Madinah yang berjarak lebih kurang empat ratus kilometer dari Yaman.

Medan yang begitu panas dilaluinya. Dia tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, gurun pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, serta begitu dingin di malam hari. Semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya paras baginda Nabi S.A.W yang selama ini dirinduinya.

Tibalah Uwais al-Qarni di kota Madinah. Segera ia menuju ke rumah Nabi S.A.W, diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah sayyidatina 'Aisyah R.A sambil menjawab salam Uwais.

Segera sahaja Uwais menanyakan Nabi yang ingin dijumpainya. Namun ternyata baginda tidak berada di rumah melainkan berada di medan perang. Betapa kecewa hati sang perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Nabi S.A.W dari medan perang.

Bilakah beliau pulang? Sedangkan masih terngiang di telinga pesan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia cepat pulang ke Yaman.

"Engkau harus lekas pulang."

Atas ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Nabi S.A.W.

Dia akhirnya dengan terpaksa memohon untuk pulang semula kepada sayyidatina 'Aisyah R.A ke negerinya. Dia hanya menitipkan salamnya untuk Nabi S.A.W dan melangkah pulang dengan hati yang pilu.

Sepulangnya dari medan perang, Nabi S.A.W langsung menanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Nabi Muhammad S.A.W menjelaskan bahawa Uwais al-Qarni adalah anak yang taat kepada ibunya. Ia adalah penghuni langit dan sangat terkenal di langit.

Mendengar perkataan baginda Rasulullah S.A.W, sayyidatina 'Aisyah R.A dan para sahabatnya terpegun.

Menurut sayyidatina 'Aisyah R.A memang benar ada yang mencari Nabi S.A.W dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan sakit-sakitan sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Rasulullah S.A.W bersabda: "Kalau kalian ingin berjumpa dengan dia (Uwais al-Qarni), perhatikanlah, ia mempunyai tanda putih di tengah-tengah telapak tangannya."

Sesudah itu Rasulullah S.A.W, memandang kepada sayyidina Ali K.W dan sayyidina Umar R.A dan bersabda:

"Suatu ketika, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah doa dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi."

Tahun terus berjalan, dan tidak lama kemudian Nabi S.A.W wafat, hinggalah sampai waktu khalifah Sayyidina Abu Bakar as-Shiddiq R.A telah digantikan dengan Khalifah Umar R.A.

Suatu ketika, khalifah Umar teringat akan sabda Nabi S.A.W tentang Uwais al-Qarni, sang penghuni langit. Beliau segera mengingatkan kepada sayyidina Ali K.W untuk mencarinya bersama.

Sejak itu, setiap ada kafilah yang datang dari Yaman, mereka berdua selalu bertanya tentang Uwais al-Qarni, apakah ia turut bersama mereka. Di antara kafilah-kafilah itu ada yang merasa hairan, apakah sebenarnya yang terjadi sampai ia dicari oleh beliau berdua.

Rombongan kafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka. Suatu ketika, Uwais al-Qarni turut bersama rombongan kafilah menuju kota Madinah.

Melihat ada rombongan kafilah yang datang dari Yaman, segera khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W mendatangi mereka dan menanyakan apakah Uwais turut bersama mereka.

Rombongan itu mengatakan bahawa ia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di perbatasan kota. Mendengar jawapan itu, beliau berdua bergegas pergi menemui Uwais al-Qarni.

Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Khalifah Umar R.A dan sayyidina Ali K.W memberi salam. Namun rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah mengakhiri solatnya, Uwais menjawab salam kedua tamu agung tersebut sambil bersalaman.

Sewaktu berjabat tangan, Khalifah Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk
membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais,
sebagaimana pernah disabdakan oleh baginda Nabi S.A.W.

Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut,

"Siapakah nama saudara?"

"Abdullah." Jawab Uwais.

Mendengar jawapan itu, kedua sahabat pun tertawa dan mengatakan,

"Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?"

Uwais kemudian berkata "Nama saya Uwais al-Qarni."

Dalam pembicaraan mereka, diketahuilah bahwa ibu Uwais telah meninggal dunia.
Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan kafilah dagang saat itu. Akhirnya, Khalifah Umar dan sayyidina Ali K.W. memohon agar Uwais berkenan mendoakan untuk mereka.

Uwais enggan dan dia berkata kepada khalifah,

"Sayalah yang harus meminta doa daripada kalian."

Mendengar perkataan Uwais, Khalifah berkata,

"Kami datang ke sini untuk mohon doa dan istighfar daripada anda."

Karena desakan kedua sahabat ini, Uwais al-Qarni akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdoa dan membacakan istighfar.

Setelah itu Khalifah Umar R.A berjanji untuk menyumbangkan wang negara daripada Baitulmal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. Segera sahaja Uwais menolak dengan halus dengan berkata,

"Hamba mohon supaya hari ini saja hamba diketahui orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang fakir ini tidak diketahui orang lagi."

Setelah kejadian itu, nama Uwais kembali tenggelam dan tidak terdengar beritanya.

Namun, ada seorang lelaki pernah bertemu dan dibantu oleh Uwais. Ketika itu kami berada di atas kapal menuju ke tanah Arab bersama para pedagang. Tanpa disangka-sangka angin taufan berhembus dengan kencang.

Akibatnya, hempasan ombak menghentam kapal kami sehingga air laut masuk ke dalam kapal dan menyebabkan kapal semakin berat. Pada saat itu, kami melihat seorang laki-laki yang mengenakan selimut berbulu di pojok kapal yang kami tumpangi, lalu kami memanggilnya.

Lelaki itu keluar daripada kapal dan melakukan solat di atas air. Betapa terkejutnya kami melihat kejadian itu.

"Wahai waliyullah, tolonglah kami!" Namun, lelaki itu tidak menoleh. Lalu kami berseru lagi,

"Demi Zat yang telah memberimu kekuatan beribadah, tolonglah kami!"

Lelaki itu menoleh kepada kami dan berkata,

"Apa yang terjadi?"

"Tidakkah engkau melihat bahawa kapal dihembus angin dan dihentam ombak?" Tanya kami.

"Dekatkanlah diri kalian pada Allah!" Katanya.

"Kami telah melakukannya."

"Keluarlah kalian daripada kapal dengan membaca Bismillahirrahmaanirrahiim!"

Kami pun keluar daripada kapal satu persatu dan berkumpul. Pada saat itu jumlah kami lima ratus lebih. Sungguh ajaib, kami semua tidak tenggelam, sedangkan perahu kami serta isinya tenggelam ke dasar laut.

Lalu orang itu berkata pada kami,

"Tidak apalah harta kalian menjadi korban, asalkan kalian semua selamat."

"Demi Allah, kami ingin tahu, siapakah nama Tuan?" Tanya kami.

"Uwais al-Qorni." Jawabnya dengan singkat.

Kemudian kami berkata lagi kepadanya,

"Sesungguhnya harta yang ada di kapal tersebut adalah milik orang-orang fakir di Madinah yang dikirim oleh orang Mesir."

"Jika Allah mengembalikan harta kalian. Apakah kalian akan membahagi-bahagikannya kepada orang-orang fakir di Madinah?" Tanyanya.

"Ya!" Jawab kami.

Orang itu pun melaksanakan solat dua rakaat di atas air, lalu berdoa. Setelah Uwais al-Qarni mengucap salam, tiba-tiba kapal itu muncul ke permukaan air, lalu kami menumpanginya dan meneruskan perjalanan. Setibanya di Madinah, kami membahagi-bahagikan seluruh harta kepada orang-orang fakir di Madinah, tiada satu pun yang tertinggal.

Beberapa waktu kemudian, tersiar khabar Uwais al-Qarni telah pulang ke rahmatullah. Anehnya, pada saat dia akan dimandikan tiba-tiba sudah banyak orang yang berebut untuk memandikannya. Dan ketika dibawa ke tempat pembaringan untuk dikafan, di sana sudah ada orang-orang yang menunggu untuk mengkafankannya.

Demikian juga ketika orang pergi hendak menggali kuburnya. Di sana ternyata sudah ada orang-orang yang menggali kuburnya hingga selesai. Ketika usungan dibawa menuju ke perkuburan, luar biasa banyaknya orang yang berebutan untuk mengusungnya.

Syeikh Abdullah bin Salamah menjelaskan,

"Ketika aku ikut menguruskan jenazahnya hingga aku pulang daripada menghantarkan jenazahnya, lalu aku ingin untuk kembali ke kubur tersebut untuk memberi tanda pada kuburnya, akan tetapi sudah tak terlihat ada bekas di kuburnya."

(Syeikh Abdullah bin Salamah adalah orang yang pernah ikut berperang bersama Uwais al-Qarni pada masa pemerintahan sayyidina Umar R.A.)

Pemergian Uwais al-Qarni telah menggemparkan masyarakat kota Yaman. Banyak terjadi hal-hal yang amat menghairankan. Sedemikian banyaknya orang yang tidak kenal datang untuk mengurus jenazah dan pengebumiannya, padahal Uwais adalah seorang fakir yang tidak dihiraukan orang.

Sejak dia dimandikan hingga jenazahnya hendak diturunkan ke dalam kubur, di situ selalu ada orang-orang yang telah siap melaksanakannya terlebih dahulu. Penduduk kota Yaman tercengang.

Mereka saling bertanya-tanya "Siapakah sebenarnya engkau wahai Uwais al-Qarni? Bukankah Uwais yang kita kenal, hanyalah seorang fakir yang tidak memiliki apa-apa? Kerjanya hanyalah sebagai penggembala?"

"Namun, ketika hari wafatmu, engkau telah menggemparkan penduduk Yaman dengan hadirnya manusia-manusia asing yang tidak pernah kami kenali. Mereka datang dalam jumlah sedemikian banyaknya."

Agaknya mereka adalah para malaikat yang diturunkan ke bumi, hanya untuk mengurus jenazah dan pemakamannya. Baru saat itulah penduduk Yaman mengetahuinya siapa Uwais al-Qarni.

"Dialah Uwais al-Qarni, tidak terkenal di bumi tapi sangat terkenal di langit."

~RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL~

Sebagai Peringatan => Batas Pergaulan Lelaki Dan Perempuan

Pergaulan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram pada prinsipnya tidak dilarang Islam. Akan tetapi ia hendaklah berlaku di dalam lingkungan batasan-batasan yang telah ditetapkan.

Berikut kami paparkan di antara batassan pergaulan lelaki dan wanita yang bukan mahram yang di gariskan oleh Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam fatwa Mu'asyirah :

1. Menahan pandangan dari dua belah pihak.

Maksudnya tidak boleh melihat aurat, tidak boleh melihat dengan pandangan syahwat dan tidak memandang lama tanpa ada sebarang keperluan. Firman Allah yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka ......" (Surah al-Nur:30-31)

2. Pihak wanita hendaklah memakai pakaian yang sopan menurut syara', iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuhnya selain dari wajah/muka dan tapak tangannya. Tidak boleh memakai pakaian yang nipis dan yang menampakkan sosok badannya.

Firman Allah yang bermaksud:

"....dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka...." (Surah al-Nur : 31)

Pakaian tersebut juga dapat membezakan diantara wanita yang baik dan wanita yang tidak baik.

3. Hendaklah menjaga adab-adab sebagai seorang muslimah dalam semua keadaan, terutama apabila bergaul dengan lelaki:

  1. Perkataan - elakkan daripada menggunakan perkataan yang merayu, menggoda dan membangkitkan rangsangan.
  2. Berjalan - jangan memancing pandangan orang.
  3. Pergerakan - tidak melenggang-lenggok.

4. Elak dari memakai bau-bauan yang wangi dan warna-warna yang menarik perhatian.

5. Jangan berdua-duaan diantara lelaki dan wanita tanpa disertai oleh mahram.

6. Pergaulan itu di dalam batas-batas keperluan sahaja, tidak berlebih-lebihan.


Berikut pula adalah batasan-batsan yang dinyatakan oleh Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah:

1. Khalwah - perempuan dan lelaki berdua-duaan disuatu tempat yang tidak ada orang yang nampak.

2. Perhiasan wanita - wanita tidak menutupi apa yang Allah perintah ke atas tubuhnya, atau memakai minyak wangi, perhiasan barangan kemas atau percakapan yang boleh menarik minat lelaki ke arah perkara-perkara yang tidak baik atau perasaan mereka.

3. Sentuhan fizikal - bersentuh lelaki dan perempuan.

Menurut Majlis Fatwa Eropah bahawa jika 3 perkara ini dapat dielakkan, maka tidak ada bantahan bagi mereka menyertai apa-apa majlis terebut.

Syiekh Muhammad al-Munajjid juga ada mengariskan beberapa batasan2 yang tertentu dalam pergaulan tersebut, diantaranya :

1. Elakkan dari berkata-kata perkara yang diluar topik perbincangan.

2. Tidak membuat lawak atau melembutkan suara.

3. Tidak bertanya mengenai perkara peribadi seperti umur dan seumpamanya.

4. Berhenti bercakap jika berlaku keinginan di dalam hati.

Kesimpulannya, lelaki dan wanita bukan mahram dibenarkan bergaul dengan mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh Islam. Pertemuan tersebut hanya berlaku berdasarkan keperluan, contohnya : keperluan belajar, berdakwah, merawat pesakit dan seumpanya.

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Tuesday, September 20, 2011

Gua Tempurung -> Menyingkap Keindahan Ciptaan Allah SWT

Assalamualaikum waramatullah ana ucapkan kepada semua sahabat-sahabat blog dan kepada semua pengunjung blog ni yang sudi singgah-singgah kejap kat blog yang tak seberapa ni.. Alhamdulillah..ana bersyukur kepada Allah kerana dengan berkat keizinan daripada-Nya ana dapat menulis dalam blog ni.. ~ALHAMDULILLAH~

Di sini..ana nak kongsikan serba sedikit tentang satu program yang ana ikuti pada hari SABTU lepas (17 Sept 2011) yang dianjurkan oleh Rakan Pusat Islam PSAS iaitu Program Bina Diri Menyingkap Jejak Sufi Dan Rehlah Perdana.. Panjang kan nama program ni?? hehehe.. Kalo nak tau kenapa panjang sangat..tanya la Pengarah Program..

Macam-macam laluan, onak, duri, ranjau dan macam-macam lagi la yang kami semua telah lalui..
Segalanya ada diceritakan dalam gambar-gambar ni.. Tengoklah ye.. Malas nak cite panjang-panjang.. ^_^

Ni masa baru sampai.. Sebelum masuk dalam gua.. Masing-masing nak ade gambar..
huhuhu... Posing and control macho je.. ^_^

Masing-masing tengah meninjau keindahan ciptaan Allah SWT yang Maha Besar..
Macam-macam yang ada dalam ni.. Indah-indah semuanya.. ~SUBHANALLAH~

Menggelongsor di atas batu kapur pada ketinggian 9 meter.. Mula-mula semua kecut..
Tambah-tambah lagi muslimat..kesian diorang..sampai ade yang nangis-nangis nak klua balik ikut pintu masuk tadi. Tapi akhirnya berjaya jugak turun pada ketinggian ni..

Lihatlah betapa cantiknya ciptaan Allah SWT. Manusia pun tak boleh nak wat ciptaan yang macam ni punya indah..setiap bentuk stalettide untuk mencapai panjang seinci, mengambil masa 100 hingga 300 tahun untuk dihasilkan secara semulajadi.. Indahnya ciptaan Allah..

Antara kesukaran semasa masuk dalam gua ni..kena merangkak dan jalan dalam keadaan bongkok je.. Naik lenguh-lenugh jugak la tulang belakang ni.. ^_^

Dalam air ni.. Sebab merangkak.. huhu.. Sampai makan torchlight..
tak nak bagi benda alah tu rosak n masuk air..

Yang ni.. Masa dah nak sampai ke pintu keluar.. Masing-masing dah basah semuanya..
Perjalanan yang menarik..

Dah sampai keluar gua..
~ALHAMDULILLAH~

Tu lah die serba sedikit gambar yang ana boleh masukkan dan ceritakan serba sedikit tentang apa yang kami dah buat.. Alhamdulillah.. Banyak yang kami dapat.. Kelebihan melihat dan mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita sebagai hamba-Nya.. Tak dapat ana nak ungkapkan dengan kata-kata.. Indah sangat-sangat.. ~SUBHANALLAH~

Semoga berjumpa lagi wahai sahabat-sahabat sekalian.. ^_^

~SEMOGA HARI INI LEBIH BAIK DARI SEMALAM~

Tuesday, September 13, 2011

Ciri-Ciri Wanita Solehah

Tidak banyak syarat yang dikenakan oleh Islam untuk seseorang wanita menerima gelaran solehah, dan seterusnya menerima pahala syurga yang penuh kenikmatan dari Allah s.w.t.

Mereka hanya perlu memenuhi 2 syarat iaitu :

1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya
2. Taat kepada suami

Perincian dari dua syarat di atas adalah sebagai berikut :

1. Taat kepada Allah dan Rasul-Nya

Bagaimana yang dikatakan taat kepada Allah s.w.t. ?

- Mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. melebihi dari segala-galanya.
- Wajib menutup aurat
- Tidak berhias dan berperangai seperti wanita jahiliah
- Tidak bermusafir atau bersama dengan lelaki dewasa kecuali ada mahram bersamanya
- Sering membantu lelaki dalam perkara kebenaran, kebajikan dan taqwa
- Berbuat baik kepada ibu & bapa
- Sentiasa bersedekah baik dalam keadaan susah ataupun senang
- Tidak berkhalwat dengan lelaki dewasa
- Bersikap baik terhadap tetangga

2. Taat kepada suami

- Memelihara kewajipan terhadap suami
- Sentiasa menyenangkan suami
- Menjaga kehormatan diri dan harta suaminya selama suami tiada di rumah
- Tidak bermasam muka di hadapan suami
- Tidak menolak ajakan suami untuk tidur
- Tidak keluar tanpa izin suami
- Tidak meninggikan suara melebihi suara suami
- Tidak membantah suaminya dalam kebenaran
- Tidak menerima tamu yang dibenci suaminya
- Sentiasa memelihara diri, kebersihan & kecantikannya serta rumah tangga

Faktor Yang Merendahkan Martabat Wanita

Sebenarnya puncak rendahnya martabat wanita adalah dari faktor dalaman. Bukanlah faktor luaran atau yang berbentuk material sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh para pejuang hak-hak palsu wanita.

Faktor-faktor tersebut ialah:

1) Lupa mengingat Allah.

Kerana terlalu sibuk dengan tugas dan kegiatan luar atau memelihara anak-anak, maka tidak hairanlah jika banyak wanita yang tidak menyedari bahawa dirinya telah lalai dari mengingat Allah. Dan saat kelalaian ini pada hakikatnya merupakan saat yang paling berbahaya bagi diri mereka, di mana syaitan akan mengarahkan hawa nafsu agar memainkan peranannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:

" Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya."

Sabda Rasulullah s.a.w.: ertinya:
"Tidak sempurna iman seseorang dari kamu, sehingga dia merasa cenderung kepada apa yang telah aku sampaikan." (Riwayat Tarmizi)

Mengingati Allah s.w.t. bukan saja dengan berzikir, tetapi termasuklah menghadiri majlis-majlis ilmu.

2) Mudah tertipu dengan keindahan dunia.

Keindahan dunia dan kemewahannya memang banyak menjebak wanita ke perangkapnya. Bukan itu saja, malahan syaitan dengan mudah memperalatkannya untuk menarik kaum lelaki agar sama-sama bergelumang dengan dosa dan noda. Tidak sedikit yang sanggup durhaka kepada Allah s.w.t. hanya kerana kenikmatan dunia yang terlalu sedikit.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An'am: ertinya:

" Dan tidaklah penghidupan dunia ini melainkan permainan dan kelalaian dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa, oleh kerana itu tidakkah kamu berfikir."

3) Mudah terpedaya dengan syahwat.

4) Lemah iman.

5) Bersikap suka menunjuk-nunjuk.

Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan; perhiasan dunia yang terbaik adalah wanita yang solehah.

Wednesday, August 24, 2011

Rahsia Khusyuk Dalam Sembahyang


Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Wahai Aba Abdurrahman, bagaimanakah caranya tuan solat?"

Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin."

Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?"

Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air. Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara :-

1. bertaubat

2. menyesali dosa yang dilakukan

3. tidak tergila-gilakan dunia

4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')

5. tinggalkan sifat berbangga

6. tinggalkan sifat khianat dan menipu

7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun."

Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik bila dibandingkan dengan Hatim.

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Tuesday, August 23, 2011

Jom Layan Nasyid - UNIC ; Binna Bil Huda


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..

Alhamdulillah..bersua lagi kita pada hari ini..bersyukur pada Allah..kerana dengan limpah kurnia dan keizinannya kita dapat bersua lagi..

dalam masa yang ada ni..rasenye teringin la plak nak kongsikan lagi satu lagu nasyid yang agak sedap didengar..berentak selawat..banyak lagu-lagu yang berentak selawat ni..tapi..rasanya yang ini mudah untuk di ikuti bersama..ada lirik yang saya sertakan untuk sama-sama kita berselawat kepada kekasih kita..dialah Rasulullah s.a.w

jadi uktuk kali ini..saya nak berkongsi lagu nasyid yang bertajuk Binna Bil Huda yang dinyanyikan oleh UNIC..




semoga dengan kehadiran pos ini..kita dapat sama-sama menambah pahala dengan berselawat keatasnya..insya-Allah

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Koleksi Doa: Mohon Diberikan Rezeki Tatkala Kesempitan


"Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semua itu tersurat di dalam kitab (Loh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat) yang berkenaan."
- Surah Hud:6


Surah Hud Ayat 6

وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ إِلَّا عَلَى اللَّهِ رِزْقُهَا وَيَعْلَمُ مُسْتَقَرَّهَا وَمُسْتَوْدَعَهَا ۚ كُلٌّ فِي كِتَابٍ مُبِينٍ {6}

Keterangan ayat:

Menurut Hadis riwayat al-Hakim dan al-Tirmizi daripada Zaid bin Aslam r.a, beberapa orang sahabat Nabi daripada keluarga al-Asy'ariyyin yang baru sampai daripada perjalanan berhijrah merasa lapar. Mereka mengutuskan seorang dari kalangan mereka untuk mendapatkan makanan daripada Nabi S.A.W.

Apabila para utusan kaum tersebut tiba di rumah baginda Rasulullah S.A.W, beliau mendengar baginda Rasulullah S.A.W membacakan ayat ke-6 daripada surah Hud ini. Utusan tersebut pulang semula kepada keluarganya dan tidak jadi meminta makanan daripada Rasulullah kerana berasa yakin dengan doa yang dibaca oleh Rasulullah.

Setibanya beliau kepada kaum keluarganya tanpa diketahui kaum keluarganya , datanglah dua orang lelaki membawa roti dan daging untuk mereka. Walaupun mereka telah menikmati makanan tersebut sepuas-puasnya masih banyak lagi baki yang tnggal. Akhirnya mereka meminta agar diberikan kepada Rasulullah S.A.W untuk diagihkan kepada orang lain yang memerlukan makanan.

Selepas itu mereka bertemu dengan Nabi dan mengucapkan terima kasih. Rasulullah S.A.W menafikan penghantaran makanan itu. Sahabat yang merupakan utusan keluarga tersebut akhirnya membuat pengakuan yang dia tidak meminta makanan daripada Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah S.A.W kemudiannya menyatakan itulah dia rezeki Allah yang Allah janjikan buat makhluk-Nya.

(Tafsir al-Qurtubi, al-Durrul Manthur, tafsir ayat ke-6 surah Hud)

Alhamdulillah, maka marilah sama-sama kita amalkan doa ini dan jadikanlah ia doa amalan harian agar kita sentiasa dilimpahi rezeki Allah S.W.T terutama ketika kesempitan. Tetapi perlu juga ingat bahawa doa semata-mata tanpa usaha dan tawakal adalah tidak berguna. Wallahualam.

Sumber rujukan: Buku 101 doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran oleh Ustaz Haji Zahazan Mohamed

~ RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL ~

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...