Showing posts with label Senda. Show all posts
Showing posts with label Senda. Show all posts

Friday, April 29, 2011

Seloka - Facebook Oh Facebook

Facebook oh Facebook…

Engkau datang ke dalam hidup insan penuh dengan sensasi,

Semua orang cakap pasal dirimu setiap hari,

Yang dewasa, remaja dan kanak-kanak pun tak terkecuali,

Malah para pemimpin mempromosi dirimu ke seluruh negara dan negeri,

Facebook sebagai medium bersosial terkini.

Facebook oh Facebook…

Bukan setakat itu sahaja,

Malah ramai ulama berbincang baik dan buruknya,

Samada memberikan manfaat atau memudharat sifatnya,

Ibarat pisau yang memotong makanan atau meluka manusia,

Ia berbalik pada niat dan cara si pengguna.

Facebook oh Facebook…

Engkau dibuka manusia hampir setiap waktu,

Ada yang berdakwah, ada yang merapu,

Ada yang berukhuwwah, ada yang jadi seteru,

Dulu hanya di depan komputer manusia mengadapmu,

Kini dalam telefon bimbit ke sana ke sini asyik denganmu.

Facebook oh Facebook…

Banyak aib manusia telah engkau dedahkan,

Aurat si gadis dan wanita menjadi tontonan,

Masalah rumahtangga habis ditelanjangkan,

Hilanglah malu, tergadailah maruah ramai insan,

Zaman fitnah semakin jelas kelihatan.

Facebook oh Facebook…

Akal dan nafsu selalu berperang tatkala menggunakanmu,

Kaum Adam dan Hawa berbual kurang malu,

Ada yang nakal terus tersangkut melulu,

Syaitan ketawa kerana ‘ikan dah masuk bubu’,

Gejala sosial ganda beribu-ribu.

Facebook oh Facebook…

Banyak rahsia dan cerita manusia telah terdedah,

“Hari ni aku makan di restoran Mak Kiah”,

“Oh, aku sangat rindukan si Milah”,

“Alamak, bulu hidung aku panjang sebelah”,

“Fuyyo, dahsyatnya kereta orang jiran sebelah”,

“Ah, aku kesedihan hari ini kerana dimarahi mak dan abah”,

“Cit, kucing tu berak lagi…aarghhh!”

“Best, hari ni RM50 aku sedekah”

Macam-macam gelagat manusia terkisah,

Ada yang betul caranya dan ada yang salah.

Facebook oh Facebook…

Engkau beri juga ruang untuk kongsi tips dan juga nasihat,

Supaya terpapar hal bermanfaat untuk dunia dan akhirat,

Mengingatkan manusia yang leka dan selalu tak ingat,

Kerana sedar ia adalah tuntutan syariat,

Menjadi bekalan hasanah, membaiki diri dan masyarakat.

Facebook oh Facebook…

Keasyikan terhadapmu membuatkan ramai gian,

Walaupun niat di hati nak berdakwah dan buat kebajikan,

Ada yang sampai anak dan isteri dilupakan,

Mereka lupa itulah permata hati dan warisan,

Dakwah yang paling utama dan mesti didahulukan.

Facebook oh Facebook…

Engkau membuatkan manusia selalu sibuk dengan Facebook,

Tengah berbual dengan kawan di gerai, orang berFacebook,

Tengah makan dengan anak dan isteri, sempat lagi berFacebook,

Tengah mesyuarat pun ada orang berFacebook,

Tengah berbincang dengan mak ayah pun, tangan menaip di Facebook,

Tengah pensyarah memberi ilmu, aik sempat lagi Facebook?

Aduh, kenapa begitu sekali wahai Facebook?

Ramai orang tidak lagi di alam nyata, mereka asyik di alam Facebook,

Makan: Facebook, minum: Facebook, bermain: Facebook, berjalan: Facebook…

Facebook…Facebook…Facebook!

Facebook oh Facebook…

Engkau kini semakin dahsyat,

Memberi kesan baik dan buruk pada masyarakat,

Terpulang pada kami untuk memanfaatkan atau ditimpa mudharat,

Mudah-mudah engkau akan menjadi saksiku di akhirat,

Bahawa aku telah menggunakanmu untuk berbuat taat.


RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL.. ^_^

Tuesday, January 25, 2011

Nabi Bersukan Bersama-Sama Isteri


Sukan merupakan antara cara untuk menyihatkan badan. Dengan bersukan, tubuh badan akan bergerak aktif dan cergas, seterusknya menjadikan anggota badan lebih segar dan sihat.

Islam menyeru manusia agar hidup sihat. Ekoran dari itu, Islam meletakkan asas bahawa segala aktiviti manusia pada asalnya adalah harus, melainkan jika wujud nas yang menyatakan pengharamannya. Ini bermakna semua bentuk sukan yang boleh menyihatkan badan adalah harus bahkan digalakkan, selama mana bentuk sukan itu tidak terkandung unsur-unsur yang menyalahi syariat; menyalahi kandungan Al-Quran dan As-Sunnah secara qati'i, sahih dan sorih.

Justeru itulah, kita akan dapati bahawa Nabi SAW sendiri juga sering bersukan. Bermain pedang, memanah, menunggang kuda menjadi amalan nabi SAW dan para sahabat, lebih-lebih lagi dengan tujuan untuk menyiapkan diri dengan persediaan fizikal dan persenjataan yang dapat menggerunkan musuh-musuh Islam.

Firman Allah yang bermaksud;

"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu." (Surah Al-Anfal : 60)

Sirah menunjukkan bahawa Nabi SAW, bukan sekadar bersukan atau beriadhah bersama-sama para sahabat sahaja, bahkan ada masa-masa tertentu, Baginda SAW bersukan dan beriadhah bersama isteri-isteri baginda.

Main kejar-kejar

Antara kisah Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam melakukan riadhah bersama isterinya adalah seperti yang terdapat dalam satu hadis Aisyah yang berkata;

"Nabi SAW berlumba-lumba denganku. Aku mendahului baginda. Ketika aku menjadi gemuk, Baginda berlumba-lumba denganku lagi, lalu Baginda telah mendahuluiku. Lalu baginda SAW berkata, ini sebagai balasan terhadap yang lalu."

Dalam riwayat yang lain pula Nabi (SAW) diceritakan beriadhah dengan isteri ketika Baginda dalam satu permusafiran Baginda bersama para sahabat. Isteri Baginda (SAW) Aisyah RA turut sama dalam permusafiran tersebut.

Dalam perjalanan, Nabi SAW memaklumkan kepada para sahabat agar mereka berjalan dahulu, meninggalkan Baginda dan Aisyah di belakang. Apabila para sahabat sudah berada jauh di hadapan, lalu Baginda berkata kepada Aisyah ajak berlumba-lumba. (Musnad Ahmad : 22989)

Sibuk Bukan Alasan Tidak Menggembirakan Isteri

Melihat kepada hadis ini, pasti kita akan dapat membayangkan betapa lembutnya hati nabi dalam usaha hendak gembirakan isteri-isterinya. Memandangkan Nabi SAW adalah manusia yang selalu sibuk, baginda akan mengambil segala kesempatan yang ada untuk menggembirakan isteri-isterinya. Peluang dan kesempatan yang ada ketika bermusafir itu digunakan sebaik mungkin untuk bermesra dengan isteri melalui riadhah berlumba lari.

Dari hadis ini juga, kita akan dapati, Nabi SAW tidak menjadikan tempat awam sebagai penghalang nabi SAW menyeronokkan isterinya. Bahkan, jika di tempat awam itu adalah ruang yang paling berkesan bagi nabi mahu gembirakan Isterinya, pasti dilakukan oleh Baginda SAW.

Sebagai isteri, kemesraan suami sebegini memberi kesan mendalam dalam hati dan memahat kenangan indah dalam memori. Buktinya, walaupun kejadian tersebut telah berlalu begitu lama, tapi masih berada diingatan Aisyah sehingga ke saat Aisyah meriwayatkan hadis ini.

Mudah-mudahan para suami di zaman ini mencontohi sifat mesra dan romantik Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam ini. Usahlah anggap kedudukan sebagai suami itu sebagai status yang menghalang isteri anda bergembira dan ceria walau ketika anda sibuk sekali pun.

Sunday, January 23, 2011

Gurau dan Senda Rasulullah s.a.w

Rasulullah SAW bergaul dengan semua orang. Baginda menerima hamba, orang buta, dan anak-anak. Baginda bergurau dengan anak kecil, bermain-main dengan mereka, bersenda gurau dengan orang tua. Akan tetapi Baginda tidak berkata kecuali yang benar saja.

Suatu hari seorang perempuan datang kepada beliau lalu berkata,

"Ya Rasulullah! Naikkan saya ke atas unta", katanya.

"Aku akan naikkan engkau ke atas anak unta", kata Rasulullah SAW.

"Ia tidak mampu", kata perempuan itu.

"Tidak, aku akan naikkan engkau ke atas anak unta".

"Ia tidak mampu".

Para sahabat yang berada di situ berkata,

"bukankah unta itu juga anak unta?"

Datang seorang perempuan lain, dia memberitahu Rasulullah SAW,

"Ya Rasulullah, suamiku jatuh sakit. Dia memanggilmu".

"Semoga suamimu yang dalam matanya putih", kata Rasulullah SAW.

Perempuan itu kembali ke rumahnya. Dan dia pun membuka mata suaminya. Suaminya bertanya dengan keheranan, "kenapa kamu ini?".

"Rasulullah memberitahu bahwa dalam matamu putih", kata istrinya menerangkan. "Bukankah semua mata ada warna putih?" kata suaminya.

Seorang perempuan lain berkata kepada Rasulullah SAW,

"Ya Rasulullah, doakanlah kepada Allah agar aku dimasukkan ke dalam syurga". "Wahai ummi fulan, syurga tidak dimasuki oleh orang tua".

Perempuan itu lalu menangis.

Rasulullah menjelaskan, "tidakkah kamu membaca firman Allah ini,

Serta kami telah menciptakan isteri-isteri mereka dengan ciptaan istimewa, serta kami jadikan mereka senantiasa perawan (yang tidak pernah disentuh), yang tetap mencintai jodohnya, serta yang sebaya umurnya".

Para sahabat Rasulullah SAW suka tertawa tapi iman di dalam hati mereka bagai gunung yang teguh. Na'im adalah seorang sahabat yang paling suka bergurau dan tertawa. Mendengar kata-kata dan melihat gelagatnya, Rasulullah turut tersenyum.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...