Showing posts with label Islam. Show all posts
Showing posts with label Islam. Show all posts

Wednesday, June 8, 2011

Rahsia Sujud : Perkembangan Otak


Persatuan Islam Kebangsaan Malaysia (MICNA) Jordan mengenal pasti sesiapa yang tidak menunaikan sembahyang maka otaknya tidak dapat menerima darah secukupnya untuk berfungsi secara sempurna.

Jurucakap MICNA Jordan berkata, ini bererti darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan ketika seseorang itu sujud ketika solat.

Di dalam Majalah Buletin Bulanan MICNA, jurucakap persatuan ini membuat kenyataan bahawa;

"Darah akan memasuki bahagian urat tersebut mengikut kadar solat yang telah diwajibkan oleh Islam".

Ini diakui sendiri oleh seorang doktor neurologi di Amerika Syarikat yang telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban di dalam penyelidikannya itu. Doktor tersebut mendapati dalam kajiannya urat pada saraf manusia memerlukan darah untuk beberapa sukatan tertentu sahaja.

Doktor neurologi tersebut tertarik untuk memeluk Islam semasa membuat kajian saraf yang dilakukan, iaitu terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia tidak dimasuki darah walaupun sepatutnya setiap inci otak manusia memerlukan darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.

Kini doktor tersebut memeluk Islam dan beliau telah membuka sebuah klinik yang bertemakan "Perubatan melalui- Al-Quran". Beliau juga membuat ubat-ubatan berdasarkan kajian melalui Al-Quran dan Hadis Nabawi. Di antara kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black Seed).

Manusia yang tidak bersembahyang apatah lagi yang bukan Islam, walaupun akal mereka berfungsi secara normal tetapi sebenarnya mereka akan hilang pertimbangan apabila membuat keputusan secara normal.

Justeru itu, tidak hairan ada di antara manusia kadang-kadang tidak segan silu untuk melakukan perkara bertentangan dengan fitrah kejadiannya walaupun akal mereka mengetahui perkara yang akan dilakukan adalah salah.

"Ini kerana otak mereka tidak boleh mempertimbangkannya secara normal."

Saturday, May 21, 2011

3 Elemen Utama Gerakan Islam (Jemaah)

Sesebuah gerakan Islam (jemaah Islam) mengandungi 3 elemen utama:

1. Tarbiyah dan Perkaderan (pembinaan dan pembentukan)
2. Dakwah (penerangan)
3. Siasah (politik, percaturan)

Saya cuba huraikan satu persatu dengan ringkas untuk kefahaman bersama :

1. Tarbiyah dan Perkaderan (Recruitment)

Ini merupakan aset penting supaya jemaah komited dan istiqamah dengan perjuangan. Tarbiyah dan perkaderan menjadi nadi kepada sesebuah gerakan Islam.

Tarbiyah menekankan 3 aspek utama:

a. aqidah benar
b. fikrah yang syumul sesyumul Islam
c. syakhsiyah yang soleh, berakhlak

Perkaderan pula fungsinya untuk membina:

a. kepimpinan berkarisma dan berwibawa
b. organisasi mantap dan hebat
c. tindakan strategik dan berkesan

Perjalanan ini memerlukan kepada Lajnah Tarbiyah yang dipertanggungjawabkan untuk memegang manhaj (perkaderan) dan menjana kesinambungan beragama (tarbiyah).

2. Dakwah

Berlandaskan kepada perintah Allah kita melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan dalaman dan kemahiran untuk melaksanakan tugas dakwah. Maka perlu kepada jemaah untuk mewujudkan atau menguasai proksi yang sesuai demi membumikan tugas dakwah ini.

3. Siasah/Percaturan

Jemaah meletakkan politik Islam (siasah syari'yyah) sebagai kenderaan yang sentiasa meletakkan Islam di atas. Hal ini supaya Islam itu praktikal; tidak sekadar retorik di atas kertas putih. Percaturan yang baik menatijahkan perjalanan tarbiyah dan perkaderan yang baik.

Begitu juga dakwah; ia dapat berjalan dengan lancar.

Siasah yang baik sentiasa melonjakkan Islam berada di atas seperti yang terukir pada tinta sejarah Baginda di mana Nabi SAW sentiasa menonjolkan kekuatan kaum muslimin di persada bangsa Arab. Ini memerlukan percaturan yang konfiden, istiqamah, dan berstrategik.

Thursday, May 19, 2011

Menutup Aurat Itu Seksi?!

Apabila menyebut tentang menutup aurat, maka si penyebut biasa dikaitkan dengan gelaran ustaz, orang alim, orang agama dan sebagainya. Ia seolah menjadi satu frasa yang khusus untuk orang alim sahaja seolah-olah menyebut tentang sesuatu yang diajar didalam agama itu milik orang alim dan bukannya orang Islam.

Aurat dan seksi adalah dua perkataan yang mempunyai banyak hubungan dalam kebanyakan artikel dan penulisan seluruh dunia. Menyebut tentang aurat, pastinya perkataan seksi adalah lawan baginya. Begitu juga apabila menyebut tentang seksi, sudah pasti ia adalah perkara yang membuka aurat. Saya tidak boleh menafikan perkara tersebut. Itulah adalah perkara yang sekian lama bermain di benak semua orang.

Tapi pernahkah anda terfikir bahawa menutup aurat itu seksi? Bagaimana pula menutup aurat boleh menjadi seksi? Bukankah menutup aurat itu bererti menghilang status seksi?

Disinilah ingin saya sampaikan satu skop pandangan seksi terhadap mereka yang menutup aurat dan sebenarnya seksi inilah yang banyak menarik perhatian ramai lelaki tidak kira sama ada mereka mempunyai iman atau lelaki dari golongan 'buaya darat'.

Didalam kajian psikologi, lelaki sebenarnya mempunyai nafsu fantasi lebih kepada wanita yang menutup tubuh berbanding yang membuka dan mendedahkan aurat. Mengapa ia terjadi sedemikian?

Ini adalah kerana sesuatu yang sukar dilihat,tersembunyi atau diperolehi adalah sesuatu yang berharga. Kerana itu kebanyakan blog atau web yang menggunakan topik wanita muslim bertelanjang sering mendapat respon daripada lelaki bukan Islam dari seluruh dunia. Tetapi selalu yang dipaparkan ialah gambar daripada model yang berpakaian ala Islam kerana hakikatnya wanita muslim sejati tidak akan berbuat demikian.

Cuba kita singkap betapa komuniti yang sudah tegar dan agak biasa dengan situasi wanita yang membuka aurat menganggap wanita muslim mempunyai aset yang bernilai kerana menyimpan keindahan kecantikan fizikalnya hanya kepada yang berhak.

Ia sebenarnya adalah konsep nilai yang ada pada amalan itu sehingga amalan menutup aurat yang samasekali berlawanan dengan seksi itu, dianggap seksi pada kelasnya yang tersendiri.

Lelaki barat atau bukan Islam sebenarnya manusia biasa seperti lelaki Islam. Mereka punyai nafsu dan perasaan. Nafsu mungkin menyeronokkan mereka melihat gadis-gadis mereka berpakaian seksi tetapi jauh di sudut hati ada perasaan cemburu bila gadis yang sudah menjadi kekasih atau isteri dipuji orang kerana keseksiannya.

Konsep Islamophobia sebenarnya banyak menutup mulut lelaki bukan Islam di seluruh dunia mengakui bahawa wanita muslim adalah wanita yang paling seksi di dunia. Ini adalah kerana amalan menutup aurat itu begitu istimewa kepada pemilik wanita itu iaitu suaminya kerana hanya dia seorang yang berhak menikmati keseksian isterinya.

Sedar atau tidak, seksi yang ditafsirkan pada mata kepala sedia ada adalah hanya satu perkara yang menarik perhatian berasaskan nafsu. Berbeza dengan seksi dalam ertikata Islam iaitu menarik perhatian seorang lelaki kepada perempuan itu dalam ertikata yang lebih meluas meliputi maruah, ketaatan, kesungguhan memelihara aurat, memelihara kecantikan untuk hanya yang berhak dan sebagainya.

Tiada bezanya tentang perempuan yang menutup aurat dan membuka aurat dari segi fizikal. Mereka tetap berambut, bertangan, mempunyai mata yang cantik, kulit yang tersendiri dan sebagainya. Kecantikan itu tetap sama, sama ada mereka menutup atau membuka aurat. Tetapi nilai itu yang membezakan mereka. Menutup aurat memang susah dan bukannya perkara mudah. Jauh di sudut hati wanita menutup aurat itu, ingin menayangkan kecantikan mereka kerana wanita seksi sering mendapat perhatian. Kerana itulah melawan nafsu dan keadaan itu adalah susah. Kerana itulah juga wanita menutup aurat itu sebenarnya melatih diri menjadi seorang yang sabar, berpendirian, tabah, bermaruah dan tekun kerana kesungguhan melaksanakan perintah Allah ini serta melawan kehendak nafsu sendiri dan nafsu orang lain.

Allah itu Maha Bijaksana. Apabila seorang gadis terlalu cetek pemikirannya mengeluarkan kenyataan sukar untuk menarik perhatian lelaki sekiranya berselubung berbanding memperlihatkan sedikit kecantikan wanita, maka mereka tidak dapat melihat, tarikan itu umpama gula yang menjemput semut. Habis gula semut pun hilang.

Berkasih-kasihan adalah perkara yang datang dengan tanggungjawab. Apabila tarikan yang diberi memperlihatkan tanggungjawab seorang wanita memelihara kecantikan diri dan agama, maka umpan itu ikannya ialah seorang lelaki yang mahukan pasangan yang bertanggungjawab menjaga maruah dan kecantikan keluarga.

Menutup aurat hakikatnya adalah iklan terbaik bagi wanita untuk memperoleh lelaki sedemikian rupa. Soal sikap adalah perkara kedua. Ada yang mengatakan tidak semua wanita membuka aurat itu jahat. Itu adalah hakikat yang benar.

Membuka aurat bukan menggambarkan seorang itu jahat kerana tidak kurang wanita yang menutup aurat yang berhati busuk. Itu adalah soal hati. Tetapi seorang wanita yang baik hati dan menutup aurat itu lebih dipandang mulia kerana mempunyai pakej yang lebih lengkap.

Sepertimana makanan yang terhidang di atas meja tidak bertudung saji, ada kemungkinan lalat datang menyinggah. Pada pandangan mata, mungkin makanan itu telah dicemari lalat. Berbeza dari makanan yang bertudung saji, akan memberikan lebih keyakinan kepada orang untuk menjamahnya.

Usahlah dibangkitkan persoalan adakah wanita menutup aurat itu semua baik, kerana hakikatnya mereka telah membuat kebaikan dengan mentaati perintah Allah.

Tanyalah diri, mengapa aku boleh berbuat baik kepada manusia tetapi sukar untuk berbuat baik kepada Tuhan. Samalah juga jika kita melanggar lampu merah di jalanraya.Bukan semua yang melanggar lampu itu jahat dan bukan semua yang mengikut peraturan itu baik. Namun melanggar peraturan itu tetap satu perkara yang salah. Wallahu'alam.

Monday, April 25, 2011

Kepentingan Usrah


Apabila kita menyebut wasilah atau kaedah kita bekerja, terdapat unsur-unsur yang perlu difahami antaranya ialah wa'I (sedar) dan waqi'I (realistic). Kita hendaklah sedar bahawa kita ialah pendakwah dan bukannya penghukum atau qadhi. Tugas kita adalah untuk berusaha semaksimum mungkin untuk memanggil dan mengajak, bukan untuk berebut mahupun memaksa. Dalam hal ini, dua wasilah kita gunakan, iaitu wasilah umum dan wasilah khusus.

Dalam wasilah umum, tugas kita adalah untuk menyampaikan Islam kepada umum dengan dakwah sama ada dengan lisan, tulisan mahupun dengan qudwah hasanah (contoh teladan yang baik). Kita hendaklah menerangkan apa itu Islam yang syamil (menyeluruh) dan apa itu aqidah yang benar. Kesemuanya ini perlu kembali kepada pentafsiran al-Quran dan al-Sunnah oleh ahlinya dan bukan yang diabstrakkan oleh ahli fikir semata-mata.

Kita mengadakan majlis ilmu, majlis masyarakat dengan unsur-unsur Islam dan majlis-majlis lain yang boleh kita sampaikan mesej Islam. Marhalah ini dikenali sebagai marhalah al-ta'rif (pengenalan) yang kandungan utamanya ialah Islam dan iman, bukannya perkumpulan. Hanya apabila telah diyakini bahawa mad'u (sasaran dakwah) dapat menerima konsep Islam sebagai al-Din yang syamil barulah dipindahkan usaha kita kepada wasilah khusus.

Dalam wasilah khusus, konsep 'amal jama'i ialah unsur yang ditekankan dan di sinilah bermulanya kepentingan usrah sebagai satu unit terpenting dalam gerakan. Dalam wasilah ini ada dua marhalah yang perlu dilalui iaitu takwin (pembentukan) dan tanfiz (pelaksanaan).

Dalam marhalah al-takwin, unsur-unsur yang telah dikenal pasti dan yang dapat menerima konsep yang telah dijelaskan tadi hendaklah dipupuk dengan satu canaian seperti yang disebut oleh Sheikh Sa'id Hawwa sebagai nizam al-da'wah yang berbentuk sufi pada rohnya dan ketenteraan dalam amalannya, yang syiarnya ialah perintah dan taat.

Ikhwah hendaklah melatih diri untuk sentiasa berada dalam keadaan peka dan bersedia menerima arahan dan tanggungjawab kerja. Marhalah inilah yang dikenali sebagai tajnid untuk membentuk satu barisan kader yang telah mempunyai satu tasawur yang jelas terhadap Islam dan matlamat perjuangan. Di sini beberapa pengorbanan diperlukan dan pengorbanan akan merupakan sebab kepada peningkatan iman dan Islam kita kerana proses pencernaan akan berlaku dan beberapa ujian akan mula dirasakan.

Marhalah al-tanfiz, marhalah kedua, ialah marhalah sebenar yang akan menguji komitmen kita terhadap segala teori yang telah kita jalani. Dalam marhalah ini kita akan benar-benar berada di tengah-tengah medan juang dan di sinilah batas yang akan menguji keikhlasan kita kepada Allah Aza Wa Jalla.

Banyak orang yang boleh berteori dan banyak orang pula yang boleh menyatakan Islam itu syamil dan kamil tetapi belum tentu yang banyak itu akan sanggup menanggung berbagai-bagai mehnah dan ibtila' (tribulasi dan ujian) yang akan berada di hadapannya.

Konsep Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam akan terbukti kalau kita berani membenarkan dan membawa Islam itu ke tengah-tengah medan tanpa mengira sebarang halangan yang didatangkan oleh manusia sama ada harta, kedudukan, pangkat, nama dan sebagainya.

USRAH SEBAGAI TUNJANG DALAM TARBIAH HARAKIAH

Proses tarbiah Islamiah adalah satu proses pendidikan dan pembentukan yang bukan semata-mata satu proses pembelajaran ilmu.

Usrah yang berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna keluarga, merupakan satu medan untuk ahlinya bersama-sama menjalani satu proses pembentukan yang dibina di atas semangat al-ukhuwwah al-Islamiyah. Proses pembentukan itu bermakna makna penekanan dan perbincangan dalam usrah mencakupi satu bidang yang luas dan menyeluruh. Penekanan itu ialah terhadap unsur-unsur yang akan melahirkan peningkatan dalam kefahaman dan penghayatan Islam sebagai sistem yang syamil wa mutakamil (lengkap lagi melengkapi). Penekanan itu akan melahirkan semangat juang dan ketahanan secara berjamaah.

Dengan demikian haruslah diingatkan bahawa usrah hendaklah merupakan satu kelompok pendidikan yang akan melahirkan 'amilin (para pekerja) dan bukannya sekadar mufakkirin (golongan yang berfikir) walaupun kita tidak menafikan kepentingan orang-orang yang berfikir.

Usrah sebagai unit terpenting dalam gerakan Islam memerlukan satu bentuk penyusunan yang rapi kerana kita meyakini bahawa kebenaran yang tidak disusun rapi akan di atasI oleh kebatilan yang kemas. Sehubungan itu, organisasi usrah di setiap peringkat hendaklah diawasi sepanjang masa agar pelaksanaannya yang berkesan akan menguntungkan Islam dan jamaah.

PENTADBIRAN USRAH

Setiap naqib hendaklah memastikan agar perjalanan usrahnya diatur rapi dan kemas--jangan sampai ke peringkat yang boleh membosankan ahli-ahli usrah. Dalam hubungan ini, isi usrah janganlah dijumudkan dengan hanya membaca teks dan menghafal. Sebaliknya, pelaksanaan usrah hendaklah dipelbagaikan bertepatan dengan ciri tarbiah yang menekankan setiap aspek Islam. Kepelbagaian boleh dilakukan dalam bentuk pembacaan, perbincangan, rehlah (perkelahan), riadah (sukan), majlis qiamullail dan sebagainya.

  • Usrah mempunyai beberapa ciri yang membezakannya daripada nizam al-tarbiyah yang lain dan antara ciri tersebut ialah:
  • Usrah bersifat mutawasil (berterusan): Sesuatu pembentukan yang bersifat sekali sekala atau terputus-putus tidak akan dapat mencapai kesan yang diharapkan. Ciri ini akan membantu proses perkembangan dan penghayatan secara yang lebih berkesan.
  • Usrah merangkumi semua ahli sama ada pengikut, pekerja mahupun pemimpin. Pastikan tidak ada ahli yang terlepas daripada program tarbiah.
  • Dirancang dengan rapi dari semua sudut. Dilaksanakan secara bersungguh-sungguh oleh nuqaba' dan ahli.

Antara ciri keberkesanan sesuatu usrah ialah apabila persoalan di bawah ini ditanya, jawapannya dapat diberikan dengan sempurna:

  • Sejauh mana peningkatan ahli dalam penghayatan Islam? Sejauh mana konsep al-ta'awum (bekerjasama) di kalangan ahli dalam membantu proses penghayatan Islam? Sejauh mana ikatan dibentuk? Sejauh mana pula pelaksanaan ikatan itu dalam bentuk amalan?

Akhirnya marilah kita sama-sama membaharui syahadah perjuangan kita dengan mengulangi ucapan Allahu rabbuna (Allah tuhan kami), al-Rasul za'imuna (Rasul pemimpin kami), al-Quran dusturuna (al-Qur'an perlembagaan kami), al-jihad sabiluna (jihad jalan kami) dan al-maut fi sabilillah asma amanina (mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi kami).

Sesungguhnya Islam tidak berhajat kepada kita tetapi kitalah yang berhajat kepada Islam dan hajat ini tidak akan dapat dipenuhi kalau keindahan dan kesyumulan Islam itu hanya kita teorikan dan tidak dicernakan dalam amalan dan perbuatan kita.

Dipetik dan diubah suai daripada risalah "Usrah dan Kepentingannya dalam Tarbiah Islamiah" oleh Lajnah Tarbiah dan Latihan Kepimpinan Pusat.

Sumber Text: Al-Wasilah dan Kepentingan Usrah Dalam Tarbiah

وَأَوْفُواْ بِالْعَهْدِ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْؤُولاً
...Dan penuhilah perjanjian dan sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.
(Surah Al-Isra' 17: Ayat Ke 34)

Monday, November 8, 2010

APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM? (Bahagian 2)

Bahagian kedua: Apa ertinya saya menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam?


Saya mestilah hidup untuk Islam

Terdapat 3 golongan manusia:

1. manusia yang hidup untuk dunia (komunis dan yang sewaktu dengannya)

2. golongan yang sesat antara dunia dan akhirat (golongan ramai0

3. manusia yang menganggap dunia sebagai ladang akhirat (mukmin sebenar)


Bagaimana cara saya hidup untuk Islam?

1. Saya tahu matlamat hidup- iaitu untuk mengabdikan diri kepada Tuhan

2. Saya faham nilai dunia- tak sampai sebelah sayap nyamuk dan lebih hina daripada bangkai anak kambing

3. Saya yakin dengan maut

4. Saya mesti berusaha atas ilmu-ilmu agama

5. Saya faham hakikat jahilliyah- supaya mudah menghindarinya


Sifat-sifat orang yang hidup untuk Islam

1. Praktikkan islam, bukan sekadar cakap dan berangan-angan

2. Mencari penyelesaian yang teliti sesuatu yang mendatangkan maslahat kepada Islam

3. berbangga dengan Allah

4. bekerjasama dengan jemaah Islam


Gerakan Islam, tanggungjawab, ciri-ciri dan persediaan

Tanggungjawab gerakan Islam

1. berusaha menjadikan semua manusia sebagai abdi kepada Tuhan

2. hapuskan penjajahan dan saki-bakinya ( dari segi pemikiran dan falsafah)

3. hapuskan saki-baki bidaah dan khurafat

4. yakin bahawa Islam itu dan hukumnya bersifat syumul

5. yakin akan kaedah asas Islam iaitu mengesakan Allah

6. Yakin bahawa Islam sajalah sumber kekuatan asasi kebangkitan umat

7. menganggap kufur segala sikap memperjuangkan sistem kapitalis, sosialis, komunis dan lain-lain system buatan manusia

8. tegak menghadapi arus taghut (tamadun kebendaan, kemajuan hawa nafsu & kemewahan)

9. berusaha mewujudkan sistem-sistem berikut dalam kehidupan umat Islam:

a. sistem pertahanan dalam negeri

b. sistem hubungan antarabangsa

c. sistem kehakiman yang amali

d. sistem pertahanan dan ketenteraan yang dapat menggerakkan rakyat

e. sistem ekonomi yang dapat memberi kebebasan terhadap kekayaan, harta, kerajaan dan individu

f. sistem pelajaran dan kebudayaan yang menghapuskan kejahilan (bukan kebodohan)

g. sistem keluarga dan rumahtangga yang membina

h. sistem yang mengatur cara hidup individu

i. menghidupkan roh-roh dan semnagat yang dapat mengusai semua peringkat masyarakat



j) membina individu, rumahtangga, bangsa dan kerajaan Islam

Ciri-ciri prinsip gerakan Islam

1. Gerakan Rabbani- segala-galanya bersumberkan Islam dan Al Quran. Golongan atasan terlebih dahulu tunduk kepada syariat sebelum golongan bawah

2. gerakan yang tersendiri- bukan hidup dengan idea yang diimport

3. gerakan yang membawa kemajuan- gerakan Islamlah yang paling mampu menyelesaikan permasalahan hidup manusia berbanding gerakan lain

4. gerakan yang syumul- tidak terbatas untuk membaiki satu-satu bahagian sahaja

5. menjauhi perselisihan dalam masalah fekah- mesti faham bahawa perselisihan memang tidak dapat dielakkan

Ciri-ciri harakah gerakan Islam

1. Jauhi daripada dipengaruhi pemerintah dan ahli politik- supaya tidak digunakan

2. bertolak ansur kerana perjuangannya panjang. Ada 3 peringkat:

a. taarif- sebarkan

b. takwin- pilih mereka yang layak

c. tanfiz- perlaksanaan

3. Utamakan amal dan banyakkan penghasilan daripada propaganda dan penerangan

4. Siasah Panjang Nafas- tidak patah di tengah jalan dan tidak tergesa-gesa untuk mencapai hasil sebelum masanya

5. seru Islam secara lantang tetapi menjaga hal-hal kerahsiaan

6. Uzlah nafsiah, bukan jasadiah- uzlah dalaman diri, bukannya mengasingkan diri

7. Faham bahawa matlamat tidak menghalalkan cara

Persediaan gerakan Islam

Seperti orang-orang terdahulu, kita hendaklah beriman kepada:

a. Allah, pertolongan dan bantuan-Nya

b. Manhaj (method) Ilahi, keistimewaan dan kesesuaiannya

c. Persaudaraan, hak-hak persaudaraan dan kesuciannya

d. Lumayannya balasan Allah

e. Yakin bahawa kita adalah pilihan Tuhan untuk memperjuangkan agamanya

Saya mestilah mengetahui cara-cara beramal dengan Islam dan kenapa mesti dalam gerakan Islam.
1. kena tahu mengapa saya menganggotai gerakan Islam- secara kebetulan atau hasil kajian & penelitian?

2. tahu cara-cara bergerak dalam gerakan Islam

3. Tahu dan faham bahawa gerakan islamlah yang terbaik

Pelbagai trend gerakan Islam:
1. gerakan yang bersifat kerohanian

2. bersifat kebudayaan dan ilmu

3. bersifat amal kebajikan

4. bersifat siasah

Saya mestilah mengetahui sejauh mana ertinya saya menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam

Penggabungan akidah

- jangan bergabung secara melulu atas semangat saja tetapi hendaklah atas dasar kefahaman

Penggabungan masa depan

Masa depan saya adalah bergabung dengan masa depan gerakan

Cubaan-cubaan terhadap pejuang:
1. terdedah kepada pelbagai bentuk godaan, pujukan seperti harta, pangkat, kedudukan dll

2. terdedah kepada ugutan, tekanan, siksaan dll

Saya mestilah mengetahui pemusatan amal Islam

Posisi yang dapat menjamin kejayaan Islam:

1. matlamat yang jelas

2. jalan yang terang

3. dan beriltizam dengan kedua-duanya

Petunjuk-petunjuk di sepanjang jalan yang diikuti Nabi:

1. pengisytiharan ubudian kepada Allah

2. mewujudkan satu kelompok bergerak yang diikat dengan aqidah dan keimanan kepada Allah

3. menentang jahilliyah habis-habisan

Saya mestilah mematuhi syarat-syarat anggota & bai’ah

-Berusaha menambah bilangan ahli dalam jemaah tetapi mementingkan kualiti

Rukun bai’ah:

1. Faham

2. Ikhlas

3. Amal

4. Jihad

5. Korban

6. Taat

7. Tetap pendirian

8. Tajarrud- ikhlas terhadap fikrah yang didokong

9. Persaudaraan

10. Thiqah

Kewajipan Al-Alk Muslim:

1. Tilawah Al Quran sebulan sekali khatam (tidak lebih satu bulan dan tidak kurang 3 hari)

2. Mendalami ilmu Al Quran- sekurang-kurangnya baca buku ‘Humatul Islam’ dan hafaz 40 hadith Imam Nawawi

3. Jaga kesihatan

4. Jangan lebih minum the, kopi dan lain-lain yang merangsang dan jangan merokok

5. Jaga kebersihan dalam semua perkara

6. Jangan berdusta

7. Tunaikan janji

8. Berani & luas pandangan

9. Serius pada tempat-tempat yang perlu serius

10. malu dan sensitive dengan persekitaran

11. Adil

12. Khidmat kerana Allah

13. Pemaaf

14. Berdakwah melalui media

15. Melakukan kerja-kerja iktisad walaupun hasilnya sedikit tanpa mengira darjat dan kekayaan kita

16. Tidak utamakan jawatan kerajaan

17. Kemaskan usaha

18. Tahu menjaga hak-hak orang lain

19. Jauhi perjuadian dan sumber haram

20. Jauhi riba

21. Beli barangan keluaran Islam

22. Keluarkan zakat

23. Simpan sedikit pendapatan untuk kecemasan

24. Gantikan budaya asing dengan budaya Islam dalam kehidupan

25. Pulaukan mahkamah yang tidak Islamik. Pulaukan media, perhimpunan, kumpulan dan sebagainya yang bertentangan dengan fikrah islam

26. Selalu ingatkan Allah dan Hari Akhirat

27. Sentiasa dalam keadaan suci (berwuduk)

28. Utamakan solat berjemaah

29. Tunaikan puasa dan haji

30. Sentiasa pasang niat untuk berjihad, mati syahid dan membuat persediaan untuknya setakat kemampuan

31. Selalu beristighfar, jauhi dosa-dosa kecil dan perkara-perkara syubhat. Juga selalu muhasabah diri

32. kawal nafsu

33. Jauhi arak, dadah dan lain-lain

34. Jauhi rakan-rakan yang rosak dan tempat-tempat maksiat

35. Perangi tempat-tempat hiburan

36. Kenali anggota-anggota ikhwan serapat yang boleh

37. Putuskan hubungan dengan mana-mana pertubuhan dan perhimpunan yang tiada kaitan terutamanya apabila diarahkan berbuat demikian

38. Berdakwah di mana sahaja

Kewajipan dan tanggungjawab ukhuwwah:

1. Persaudaraan mestilah dapat membawa kepada Allah

2. Persaudaraan perlukan kerjasama dan persefahaman

3. Persaudaraan hendaklah ada kerjasama di bidang kebendeaan iaitu mereka yang ada membantu mereka yang tiada

4. Persaudaraan merupakan tanggungjawab (tunaikan hak-hak saudara)

5. Persaudaraan dalam Islam itu mesra (indah)

6. Persaudaraan juga adalah keghairahan dan kesetiaan

APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM? (Bahagian 1)

Ringkasan buku APA ERTINYA SAYA MENGANUT ISLAM oleh Fathi Yakan

Buku ini terbahagi kepada 2 bahagian:

1) Sifat-sifat yang mesti ada pada setiap Muslim

2) Kewajipan beramal untuk Islam dan kewajipan menggabungkan diri dalam harakah Islamiah




Bahagian pertama: Sifat- sifat yang mesti ada pada setiap Muslim

Saya mestilah:

þ Muslim dari segi aqidah

þ Muslim dari segi ibadah

þ Muslim dari segi akhlak

þ Muslim dari segi keluarga

þ Dapat menguasai diri saya

þ Yakin masa depan Islam yang gemilang


Muslim dari segi aqidah

Untuk menjadikan aqidah saya benar-benar diiktiraf sebagai aqidah seorang Muslim, saya mestilah:

1) Yakin bahawa Tuhanlah yang mencipta alam ini

2) Yakin bahawa alam ini diciptakan dengan tujuan tertentu

3) Yakin dengan para Rasul

4) Yakin bahawa matlamat hidup manusia dalamkehidupan di dunia ini ialah untuk mengenal Allah, taat dan mengabdikan diri kepada-Nya

5) Yakin dengan syurga dan neraka

6) Yakin bahawa setiap yang baik dan buruk itu berlaku atas kehendak Allah

7) Yakin bahawa syariat dan undang-undang Allah adalah mutlak- tidak boleh dipertikai

8) Ambil tahu Asma ul Husna

9) Berfikir tentang makhluk ciptaan Allah, bukan berfikir tentang zat Allah

10) Ambil tahu ayat-ayat Al Quran yang menunjukkan sifat-sifat dan kesempurnaan Allah

11) Yakin bahawa pendapat para salafus soleh lebih utama untuk diikuti

12) Mengabdikan diri hanya kepada Allah

13) Takut semata-mata kepada Allah

14) Sentiasa berusaha untuk mengingati Allah dalam keadaan diam ataupun bersuara

15) Mencintai Allah

16) Bertawakkal dalam segala perkara

17) Bersyukur

18) Selalu bertaubat

19) Sentiasa dalam keadaan bermurakabah terhadap Allah


Muslim dari segi ibadah

Untuk menjadikan saya seorang Muslim dalam seluruh peribadatan, saya mestilah:

1) Ihsan dalam beribadah

2) Khusyuk & serius dalam beribadah

3) Menghadirkan diri dan hati di hadapan Allah ketika beribadat

4) Berlumba-lumba dalam beribadah

5) Usaha atas qiamullail

6) Usaha atas tilawah Al Quran (terutamanya pada waktu fajar)

7) Amalkan doa dalam setiap pekerjaan


Muslim dari segi akhlak

Saya mestilah:

1) Jauhi perkara haram dan tinggalkan perkara syubhat

2) Memelihara mata

3) Memelihara lidah

4) Malu

5) Lemah-lembut & sabar

6) Jujur

7) Tawaduk

8) Bersangka baik

9) Pemurah

10) Menjadi kudwah hasanah bagi orang lain di mana segala tindak-tanduknya menjadi terjemahan terhadap semua prinsip-prinsip Islam (apabila terpandang dirinya, mendengar percakapannya dan melihat gerak-gerinya, kita akan terus teringatkan Allah dan Islam)


Muslim dari segi keluarga

Tanggungjawab sebelum berkeluarga:

1) Perkahwinan saya mestilah kerana Allah

2) perkhawinan saya bertujuan menjaga dir dan menjaga hubungan dengan Allah

3) saya mestilah bijak memilih isteri (dan isteri-isteri)

4) saya mestilah pilih isteri yang beragama

5) saya mestilah tidak menyanggah mana-mana perkara di atas


Tanggungjawab sesudah berumahtangga:

1) baik dan mesra terhadap isteri

2) jalin hubungan dalam segala hal untuk dilakukan bersama-sama, tidak terbatas kepada hubungan syahwat sahaja

3) jaga hubungan supaya mengikut batas-batas syarak (jangan queen-control)


Tanggungjawab bersama mendidik anak:

1) anasir pertama yang dapat menjamin terlaksananya tarbiah Islamiah kepada anak-anak ialah dengan melaksanakan perkahwinan mengikut adab-adab perkahwinan yang ditunjukkan Islam. (Anak-anak yang bermasalah biasanya lahir daripada perkahwinan yang tidak mengikut adab-adab Islam seperti tujuan perkahwinan, cara perkahwinan, majlis perkahwinan dan sebagainya)


Saya mestilah dapat menguasai diri

3 golongan manusia dalam menghadapi pertarungan jiwa:

1) manusia yang ditewaskan oleh hawa nafsu. Dia tunduk kepada dunia dan kekal dengan keduniaan

2) manusia yang berusaha lawan nafsu. Ada kala menang dan ada kala tewas

3) manusia yang maksum- para Rasul & nabi


Sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa:

þ Hati

þ Akal


Tanda-tanda jiwa yang tewas

þ Dia mudah melakukan kejahatan

þ Dia dikuasai penyakit was-was


Kubu pertahanan daripada godaan syaitan

1) Redha dengan apa yang dapat

2) Selalu ingatkan mati

3) Yakin bahawa segala kenikmatan adalah sementara

4) Selalu bersyukur dan takut akan balasan Tuhan

5) Ambil tahu apa dia hak-hak orang lain

6) Qanaah

7) Ikhlas

8) Yakin bahawa segala yang dimiliki tidak kekal

9) Tawaduk

10) Tidak mengharapkan manusia

Tambahan:

1. menjaga makan dan minum

2. selalu tilawah, zikir dan istighfar

3. tenang dalam segala urusan


Saya mestilah yakin masa depan Islam yang gemilang

Saya mesti yakin bahawa segala manhaj ciptaan manusia (seperti segala bentuk isme) sebenarnya memiliki pelbagai kelemahan.


Thursday, November 4, 2010

Cinta Sejati Seorang Ibu Terhadap Anak-anaknya

Wanita itu sudah tua, namun semangat perjuangannya tetap menyala seperti wanita yang masih muda. Setiap tutur kata yang dikeluarkannya selalu menjadi pendorong dan bualan orang disekitarnya. Maklumlah, ia memang seorang penyair dua zaman, maka tidak kurang pula bercakap dalam bentuk syair. Al-Khansa bin Amru, demikianlah nama wanita itu. Dia merupakan wanita yang terkenal cantik dan pandai di kalangan orang Arab. Dia pernah bersyair mengenang kematian saudaranya yang bernama Sakhr :

"Setiap mega terbit, dia mengingatkan aku pada Sakhr, malang. Aku pula masih teringatkan dia setiap mega hilang dii ufuk barat Kalaulah tidak kerana terlalu ramai orang menangis di sampingku ke atas mayat-mayat mereka, nescaya aku bunuh diriku."

Setelah Khansa memeluk Islam, keberanian dan kepandaiannya bersyair telah digunakan untuk menyemarakkan semangat para pejuang Islam. Ia mempunyai empat orang putera yang kesemuanya diajar ilmu bersyair dna dididik berjuang dengan berani. Kemudian puteranya itu telah diserahkan untuk berjuang demi kemenangan dan kepentingan Islam. Khansa telah mengajar anaknya sejak kecil lagi agar jangan takut menghadapi peperangan dan cabaran.

Pada tahun 14 Hijrah, Khalifah Umar Ibnul Khattab menyediakan satu pasukan tempur untuk menentang Farsi. Semua Islam dari berbagai kabilah telah dikerahkan untuk menuju ke medan perang, maka terkumpullah seramai 41,000 orang tentera. Khansa telah mengerahkan keempat-empat puteranya agar ikut mengangkat senjata dalam perang suci itu. Khansa sendiri juga ikut ke medan perang dalam kumpulan pasukan wanita yang bertugas merawat dan menaikkan semangat pejuan tentera Islam.

Dengarlah nasihat Khansa kepada putera-puteranya yang sebentar lagi akan ke medan perang, "Wahai anak-anakku! Kamu telah memilih Islam dengan rela hati. Kemudian kamu berhijrah dengan sukarela pula. Demi Allah, yang tiada tuhan selain Dia, sesungguhnya kamu sekalian adalah putera-putera dari seorang lelaki dan seorang wanita. Aku tidak pernah mengkhianati ayahmu, aku tidak pernah memburuk-burukkan saudara-maramu, aku tidak pernah merendahkan keturuna kamu, dan aku tidak pernah mengubah perhubungan kamu. Kamu telah tahu pahala yang disediakan oleh Allah kepada kaum muslimin dalam memerangi kaum kafir itu. Ketahuilah bahawasaya kampung yang kekal itu lebih baik daripada kampung yang binasa."

Kemudian Khansa membacakan satu ayat dari surah Ali Imran yang bermaksud, "Wahai orang yang beriman! Sabarlah, dan sempurnakanlah kesabaran itu, dan teguhkanlah kedudukan kamu, dan patuhlah kepada Allah, moga-moga menjadi orang yang beruntung." Putera-putera Khansa tertunduk khusyuk mendengar nasihat bonda yang disayanginya.

Seterusnya Khansa berkata, "Jika kalian bangun esok pagi, insya Allah dalam keadaan selamat, maka keluarlah untuk berperang dengan musuh kamu. Gunakanlah semua pengalamanmu dan mohonlah pertolongan dari Allah. Jika kamu melihat api pertempuran semakin hebat dan kamu dikelilingi oleh api peperangan yang sedang bergejolak, masuklah akmu ke dalamnya. Dan dapatkanlah puncanya ketika terjadi perlagaan pertempurannya, semoga kamu akan berjaya mendapat balasan di kampung yang abadi, dan tempat tinggal yang kekal."

Subuh esoknya semua tentera Islam sudah berada di tikar sembahyang masing-masing untuk mengerjakan perintah Allah iaitu solat Subuh, kemudian berdoa moga-moga Allah memberikan mereka kemenangan atau syurga. Kemudian Saad bin Abu Waqas panglima besar Islam telah memberikan arahan agar bersiap-sedia sebaik sahaja semboyan perang berbunyi. Perang satu lawan satu pun bermula dua hari. Pada hari ketiga bermulalah pertempuran besar-besaran. 41,000 orang tentera Islam melawan tentera Farsi yang berjumlah 200,000 orang. Pasukan Islam mendapat tentangan hebat, namun mereka tetap yakin akan pertolongan Allah .

Putera-putera Khansa maju untuk merebut peluang memasuki syurga. Berkat dorongan dan nasihat dari bondanya, mereka tidak sedikit pun berasa takut. Sambil mengibas-ngibaskan pedang, salah seorang dari mereka bersyair,

"Hai saudara-saudaraku! Ibu tua kita yang banyak pengalaman itu, telah memanggil kita semalam dan membekalkan nasihat. Semua mutiara yang keluar dari mulutnya bernas dan berfaedah. Insya Allah akan kita buktikan sedikit masa lagi."

Kemudian ia maju menetak setiap musuh yang datang. Seterusnya disusul pula oleh anak kedua maju dan menentang setiap musuh yang mencabar. Dengan semangat yang berapi-api ia bersyair,

"Demi Allah! Kami tidak akan melanggar nasihat dari ibu tua kami Nasihatnya wajib ditaati dengan ikhlas dan rela hati Segeralah bertempur, segeralah bertarung dan menggempur mush-musuh bersama-sama Sehingga kau lihat keluarga Kaisar musnah."

Anak Khansa yang ketiga pula segera melompat dengan beraninya dan bersyair,

"Sungguh ibu tua kami kuat keazamannya, tetap tegas tidak goncang Beliau telah menggalakkan kita agar bertindak cekap dan berakal cemerlang Itulah nasihat seorang ibu tua yang mengambil berat terhadap anak-anaknya sendiri Mari! Segera memasuki medan tempur dan segeralah untuk mempertahankan diri Dapatkan kemenangan yang bakal membawakegembiraan di dalam hati Atau tempuhlah kematian yang bakal mewarisi kehidupan yang abadi."

Akhir sekali anak keempat menghunus pedang dan melompat menyusul abang-abangnya. Untuk menaikkan semangatnya ia pun bersyair,

"Bukanlah aku putera Khansa', bukanlah aku anak jantan Dan bukanlah pula kerana 'Amru yang pujiannya sudah lama terkenal Kalau aku tidak membuat tentera asing yang berkelompok-kelompok itu terjunam ke jurang bahay, dan musnah mangsa oleh senjataku."

Bergelutlah keempat-empat putera Khansa dengan tekad bulat untuk mendapatkan syurga diiringi oleh doa munajat bondanya yang berada di garis belakang. Pertempuran terus hebat. Tentera Islam pada mulanya kebingungan dan kacau kerana pada mulanya tentera Farsi menggunakan tentera bergajah di barisan hadapan, sementara tentera berjalan kaki berlindung di belakang binatang tahan lasak itu. Namun tentera Islam dapat mencederakan gajah-gajah itu dengan memanah mata dan bahagian-bahagian lainnya. Gajah yang cedera itu marah dengan menghempaskan tuan yang menungganginya, memijak-mijak tentera Farsi yang lannya. Kesempatan ini digunakan oleh pihak Islam untuk memusnahkan mereka. Panglima perang bermahkota Farsi dapat dipenggal kepalanya, akhirnya mereka lari lintang-pukang menyeberangi sungai dan dipanah oleh pasukan Islam hingga air sungai menjadi merah. Pasukan Farsi kalah teruk, dari 200,000 tenteranya hanya sebahagian kecil sahaja yang dapat menyelamatkan diri.

Umat Islam lega. Kini mereka mengumpul dan mengira tentera Islam yang gugur. Ternyata yang beruntung menemui syahid di medan Kadisia itu berjumlah lebih kurang 7,000 orang. Dan daripada 7,000 orang syuhada itu terbujur empat orang adik-beradik Khansa. Seketika itu juga ramailah tentera Islam yang datang menemui Khansa memberitahukan bahawa keempat-empat anaknya telah menemui syahid. Al-Khansa menerima berita itu dengan tenang, gembira dan hati tidak bergoncang. Al-Khansa terus memuji Allah dengan ucapan,

"Segala puji bagi Allah, yang telah memuliakanku dengan mensyahidkan mereka, dan aku mengahrapkan darii Tuhanku, agar Dia mengumpulkan aku dengan mereka di tempat tinggal yang kekal dengan rahmat-Nya!"

Al-Khansa kembali semula ke Madinah bersama para perajurit yang masih hidup dengan meninggalkan mayat-mayat puteranya di medan pertempuran Kadisia. Dari peristiwa peperanan itu pula wanita penyair ini mendapat gelaran kehormatan 'Ummu syuhada yang ertinya ibu kepada orang-orang yang mati syahid."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...