Showing posts with label Aurat. Show all posts
Showing posts with label Aurat. Show all posts

Thursday, May 19, 2011

Menutup Aurat Itu Seksi?!

Apabila menyebut tentang menutup aurat, maka si penyebut biasa dikaitkan dengan gelaran ustaz, orang alim, orang agama dan sebagainya. Ia seolah menjadi satu frasa yang khusus untuk orang alim sahaja seolah-olah menyebut tentang sesuatu yang diajar didalam agama itu milik orang alim dan bukannya orang Islam.

Aurat dan seksi adalah dua perkataan yang mempunyai banyak hubungan dalam kebanyakan artikel dan penulisan seluruh dunia. Menyebut tentang aurat, pastinya perkataan seksi adalah lawan baginya. Begitu juga apabila menyebut tentang seksi, sudah pasti ia adalah perkara yang membuka aurat. Saya tidak boleh menafikan perkara tersebut. Itulah adalah perkara yang sekian lama bermain di benak semua orang.

Tapi pernahkah anda terfikir bahawa menutup aurat itu seksi? Bagaimana pula menutup aurat boleh menjadi seksi? Bukankah menutup aurat itu bererti menghilang status seksi?

Disinilah ingin saya sampaikan satu skop pandangan seksi terhadap mereka yang menutup aurat dan sebenarnya seksi inilah yang banyak menarik perhatian ramai lelaki tidak kira sama ada mereka mempunyai iman atau lelaki dari golongan 'buaya darat'.

Didalam kajian psikologi, lelaki sebenarnya mempunyai nafsu fantasi lebih kepada wanita yang menutup tubuh berbanding yang membuka dan mendedahkan aurat. Mengapa ia terjadi sedemikian?

Ini adalah kerana sesuatu yang sukar dilihat,tersembunyi atau diperolehi adalah sesuatu yang berharga. Kerana itu kebanyakan blog atau web yang menggunakan topik wanita muslim bertelanjang sering mendapat respon daripada lelaki bukan Islam dari seluruh dunia. Tetapi selalu yang dipaparkan ialah gambar daripada model yang berpakaian ala Islam kerana hakikatnya wanita muslim sejati tidak akan berbuat demikian.

Cuba kita singkap betapa komuniti yang sudah tegar dan agak biasa dengan situasi wanita yang membuka aurat menganggap wanita muslim mempunyai aset yang bernilai kerana menyimpan keindahan kecantikan fizikalnya hanya kepada yang berhak.

Ia sebenarnya adalah konsep nilai yang ada pada amalan itu sehingga amalan menutup aurat yang samasekali berlawanan dengan seksi itu, dianggap seksi pada kelasnya yang tersendiri.

Lelaki barat atau bukan Islam sebenarnya manusia biasa seperti lelaki Islam. Mereka punyai nafsu dan perasaan. Nafsu mungkin menyeronokkan mereka melihat gadis-gadis mereka berpakaian seksi tetapi jauh di sudut hati ada perasaan cemburu bila gadis yang sudah menjadi kekasih atau isteri dipuji orang kerana keseksiannya.

Konsep Islamophobia sebenarnya banyak menutup mulut lelaki bukan Islam di seluruh dunia mengakui bahawa wanita muslim adalah wanita yang paling seksi di dunia. Ini adalah kerana amalan menutup aurat itu begitu istimewa kepada pemilik wanita itu iaitu suaminya kerana hanya dia seorang yang berhak menikmati keseksian isterinya.

Sedar atau tidak, seksi yang ditafsirkan pada mata kepala sedia ada adalah hanya satu perkara yang menarik perhatian berasaskan nafsu. Berbeza dengan seksi dalam ertikata Islam iaitu menarik perhatian seorang lelaki kepada perempuan itu dalam ertikata yang lebih meluas meliputi maruah, ketaatan, kesungguhan memelihara aurat, memelihara kecantikan untuk hanya yang berhak dan sebagainya.

Tiada bezanya tentang perempuan yang menutup aurat dan membuka aurat dari segi fizikal. Mereka tetap berambut, bertangan, mempunyai mata yang cantik, kulit yang tersendiri dan sebagainya. Kecantikan itu tetap sama, sama ada mereka menutup atau membuka aurat. Tetapi nilai itu yang membezakan mereka. Menutup aurat memang susah dan bukannya perkara mudah. Jauh di sudut hati wanita menutup aurat itu, ingin menayangkan kecantikan mereka kerana wanita seksi sering mendapat perhatian. Kerana itulah melawan nafsu dan keadaan itu adalah susah. Kerana itulah juga wanita menutup aurat itu sebenarnya melatih diri menjadi seorang yang sabar, berpendirian, tabah, bermaruah dan tekun kerana kesungguhan melaksanakan perintah Allah ini serta melawan kehendak nafsu sendiri dan nafsu orang lain.

Allah itu Maha Bijaksana. Apabila seorang gadis terlalu cetek pemikirannya mengeluarkan kenyataan sukar untuk menarik perhatian lelaki sekiranya berselubung berbanding memperlihatkan sedikit kecantikan wanita, maka mereka tidak dapat melihat, tarikan itu umpama gula yang menjemput semut. Habis gula semut pun hilang.

Berkasih-kasihan adalah perkara yang datang dengan tanggungjawab. Apabila tarikan yang diberi memperlihatkan tanggungjawab seorang wanita memelihara kecantikan diri dan agama, maka umpan itu ikannya ialah seorang lelaki yang mahukan pasangan yang bertanggungjawab menjaga maruah dan kecantikan keluarga.

Menutup aurat hakikatnya adalah iklan terbaik bagi wanita untuk memperoleh lelaki sedemikian rupa. Soal sikap adalah perkara kedua. Ada yang mengatakan tidak semua wanita membuka aurat itu jahat. Itu adalah hakikat yang benar.

Membuka aurat bukan menggambarkan seorang itu jahat kerana tidak kurang wanita yang menutup aurat yang berhati busuk. Itu adalah soal hati. Tetapi seorang wanita yang baik hati dan menutup aurat itu lebih dipandang mulia kerana mempunyai pakej yang lebih lengkap.

Sepertimana makanan yang terhidang di atas meja tidak bertudung saji, ada kemungkinan lalat datang menyinggah. Pada pandangan mata, mungkin makanan itu telah dicemari lalat. Berbeza dari makanan yang bertudung saji, akan memberikan lebih keyakinan kepada orang untuk menjamahnya.

Usahlah dibangkitkan persoalan adakah wanita menutup aurat itu semua baik, kerana hakikatnya mereka telah membuat kebaikan dengan mentaati perintah Allah.

Tanyalah diri, mengapa aku boleh berbuat baik kepada manusia tetapi sukar untuk berbuat baik kepada Tuhan. Samalah juga jika kita melanggar lampu merah di jalanraya.Bukan semua yang melanggar lampu itu jahat dan bukan semua yang mengikut peraturan itu baik. Namun melanggar peraturan itu tetap satu perkara yang salah. Wallahu'alam.

Wednesday, April 27, 2011

Menutup Aurat atau Melapik Kain?

MENUTUP aurat untuk wanita-wanita Islam Muslimah adalah wajib tapi ramai yang masih tidak menutup aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut Islam. Malah ada yang seakan-akan memperagakan fesyen seolah-olah mempersendakan hukum atau syariat Islam. Bolehkah ustaz memberikan nas-nas dari al-Quran ataupun rujukan hadis yang menjelaskan balasan bagi wanita Islam yang tidak menutup aurat.

Menutup Perkara yang Memalukan atau Sudah Hilang Malu?

JAWAPAN DALAM kamus Lisan al-Arab karangan Ibn Manzur menjelaskan makna tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan perhiasan serta kecantikannya kepada lelaki. (Ibnu Manzur, Lisan al-Arab, jld:3, hlm:33). Ini bermaksud apa sahaja perbuatan seorang wanita dalam menghiasi wajahnya serta tubuhnya supaya dilihat oleh orang lelaki dan ia termasuk juga memperagakan fesyen pakaian.

Dalam persoalan ini anda boleh lihat adanya tiga kategori wanita. Yang pertama, menutup aurat dengan sempurna. Kedua, menutup aurat tetapi tidak sempurna dan ketiga, langsung tidak menutup aurat.

Kumpulan pertama

Menutup aurat dengan sempurna kerana dia sedar bahawa itu adalah perintah Allah SWT. Menyedari bahawa hukum menutup aurat itu wajib serta memahami cara yang betul dalam menutup aurat.

Kumpulan kedua menutup aurat, tetapi tidak sempurna. Kategori ini mutakhir ini cukup banyak.

Menutup aurat bukan sekadar melilit sehelai kain di atas kepala tetapi memelihara kecantikan diri daripada diperagakan kepada orang awam. Kadang-kadang kepala ditutup dengan tudung tetapi pada masa yang sama potongan tubuh badan dipertonton kepada orang.

Hakikatnya, pemahaman masyarakat wanita Muslim dalam persoalan menutup aurat masih cetek. Ungkapan "Daripada tak tutup langsung lebih baik tutup." Kata-kata ini, tampak baik, semacam positif, pada hakikatnya suatu yang dangkal.

Kenapa perlu dibandingkan dengan yang tidak menutup aurat? Kononnya yang menutup aurat walaupun tidak sempurna sudah kira baik... Kenapa tidak dibandingkan dengan yang lebih sempurna dalam menutup aurat?

Itulah manusia yang banyak sangat beralasan dalam urusan dunia dibandingkan dirinya denga yang lebih baik, manakala dalam urusan agama membandingkan dirinya dengan yang paling teruk.

Tidak salah berfesyen dalam bertudung tetapi sebelum dilihat kepada aspek fesyen, adalah lebih baik dilihat aspek hukum. Mungkin ada yang berpendapat bahawa pandangan saya agak jumud. Tetapi suka saya nyatakan bahawa takut saya pada Pencipta mengatasi keinginan nafsu manusia. Cuba lihat diri anda yang sempurna kejadiannya, cantik, rambut ikal mayang, sihat dan sebagainya.

Manusia itu sempurna tidak kira lelaki mahupun perempuan. Siapa yang menjadikan manusia berpasangan, ada lelaki ada perempuan? Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah Allah SWT.

Dialah yang menjadikan rupa paras wanita dengan keayuan yang semula jadi, yang menjadi tarikan orang lelaki dan Dia jugalah yang memerintah agar kamu wahai wanita hendaklah menutup aurat.

Suruhan ini bukan daripada saya atau mana-mana ulama atau mufti, tetapi suruhan ini datangnya daripada Allah yang menjadikan kamu. Hairannya, manusia terima semua yang diberi oleh Pencipta seperti makan, minum, kesihatan, rezeki dan macam-macam lagi kalau mahu dihitung sudah pasti manusia tidak dapat menghitungnya nikmat tuhan, tetapi bila disuruh menutup aurat dia ingkar, suruh solat dia ingkar, suruh zakat dia ingkar dan banyak lagi keingkaran yang dilakukan oleh manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – Wahai 'AhlulBait'dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji). (al-Ahzab: 33)

Seorang ahli tafsir mengulas ayat ini dengan berpendapat: "Tabarruj wanita bermakna dia (wanita) meletakkan penutup (kain selendang) atas kepalanya dan tidak mengikatnya sehingga boleh dilihat leher dan segala perhiasannya, termasuklah rantai dilehernya." (Ibn Kathir, jld: 3, hlm: 482-483).

Manakala Abu Ubaidah berpendapat: "Tabarruj bermaksud seorang wanita menampakkan kecantikannya yang memungkinkan orang lelaki ghairah."(Tafsir al-Alusiy, jld: 21, hlm: 8)

Ulasan ulama dalam ayat di atas serta kaitannya dengan perhiasan di zaman jahiliah. Maksudnya sebelum kedatangan Islam orang Arab perempuan memang sudah menutupi kepala mereka.

Setelah Islam menyinari bumi, dan lokasi sinaran itu ialah Mekah. Jadi masalah sosial juga berlegar dalam persoalan masyarakat hari itu.

Selepas turunnya ayat dari surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: Dan hendaklah kami tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliah yang dahulu dan terus dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan daripada kamu, hai 'ahl al-bait' dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.

Lantaran itu, wanita-wanita Islam segera menutup aurat dengan sempurna sehingga tidak mendedah rambut, leher dan segala perhiasan di leher mereka. Inilah perbezaan yan ketara antara wanita Islam zaman ini dengan wanita Islam di zaman Nabi SAW.

Generasi al-Quran ini cukup unik dan dinamik. Apabila sampai sahaja perintah Allah SWT melalui al-Quran, mereka segera menyahut tanpa sebarang bantahan dan alasan.

Sebagai balasannya, Allah SWT menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat, yang pastinya di atas sifat tunduk dan patuh kepada perintah dan suruhan Allah SWT, mereka kelak akan dibalas dengan syurga yang tidak tergambar nikmatnya.

Hari ini macam-macam alasan diberi untuk melepaskan diri daripada perintah Allah SWT.

Dulu, zaman Nabi SAW, orang-orang Arab kuat nafsu, sebab itulah wanita zaman itu kena berkelubung, pakaian warna hitam, tutup muka dan sebagainya. Kalau betul apa yang didakwa, minta tolong kemukakan kes-kes rogol dan pencabulan yang ada pada masa itu. Itu di zaman jahiliah.

Wanita Melayu juga pada satu ketika dahulu, mungkin awal 1950an, perempuan-perempuannya berkelubung dengan kain batik, bila dengar suara lelaki lari menyorok, tidak mudah keluar rumah.

Maksudnya pergerakan dan perwatakan mereka dikawal oleh kedua-dua orang tua. Adakah pada awal tahun 1950 banyak kes rogol, pencabulan, buang anak, gugurkan janin, anak luar nikah, lari dari rumah, kanak-kanak hilang dan sebagainya?

Keruntuhan moral, budaya dan ancaman luaran yang menyebabkan segala macam bencana manusiawi yang tidak pernah berlaku di zaman jahiliah dan juga di awal kemerdekaan berlaku hari ini.

Dewasa ini orang pakai tudung sempurna pun tidak selamat, ini pula sengaja mendedahkan aurat semacam bersedia untuk dibaham.

Kecantikan seorang wanita terletak pada sejauh mana ketaatannya kepada Allah SWT. Adalah suatu yang salah kalau orang perempuan merasakan kaum lelaki akan tertawan dengan rupa parasnya semata-mata tanpa melihat kepada unsur-unsur keagamaan pada dirinya.

Jarang pembeli memilih kuih yang terdedah kepada lalat, asap dan kotoran. Biasanya pembeli akan memilih kuih tertutup dengan tudung saji. Kecantikan dan rupa paras yang Allah SWT berikan adalah untuk tontonan suami bukannya untuk orang lain. Dunia dipenuhi dengan perhiasan, maka sebaik-baik perhiasannya ialah wanita solehah.

Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?. Jawabnya seperti berikut:-

KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber'T-Shirt' berlengan pendek.

KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah 'menggoda'.

KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya
(Surah An-Nur 24: Ayat Ke 31)

Saturday, April 23, 2011

NAS dan Dalil Aurat - bertudung

Berikut adalah perkara2 yang sering berlaku dihadapan mata kita..Cara tidak betul dalam pengamalan menutup aurat:-

1.Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

2.Bertudung tetapi ber‘T-Shirt’ berlengan pendek.

3.Bertudung - tetapi tudungnya singkat, atas paras dada menampakkan bonjolan buah dada

4.Bertudung tetapi baju kebarungnya atau kebaya terbelah kainnya.

5.Bertudung tetapi seluarnya ketat dan menampakkan bentuk badan

6.Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda’.

7.Bertudung tetapi Kemeja pun singkat dan ketat, kain kemeja itu tidak pun menutup atau dilabuhkan sehingga menutup bahagian kemaluan depan atau belakang seluar.(kalaulah zip seluar terbuka mesti dapat diketahui oleh orang)

8.Bertudung tetapi Berbaju T-Shirt dan berlengan pendek menampakkan lengan dan sikunya yang sesetengahnya lengan berbulu.

9.Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

10.Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

11.Bertudung tetapi ber seluar jeans,cukup ramai wanita memakai seluar jeans sekalipun ianya ketat, menampakkan bentuk tubuh badan, dan mengikut shape potongan kaki.

12.Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

13.Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh diihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

14.Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.

15.Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.

Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali. Asasnya adalah dari firman Allah SWT: ertinya :

“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU... MENDEDAHAKN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR.” (an-Nur: 31)

Pengertian khumur (tudung), iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedang apa yang disebut ‘juyub’ kata jama’ (bentuk plural) dari kata jaibun, yaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian/baju.

Setiap perempuan Islam wajib menutup kepalanya dengan tudung dan bahagian dadanya termasuk juga leher, sehingga semua tempat-tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari perkara yang memungkinkan dilihat oleh orang-orang yang jahat hatinya.

Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kepada orang-orang perempuan supaya menyembunyikan perhiasan tersebut dan melarang untuk dinampak-nampakkan. Allah tidak memberikan pengecualian, melainkan apa yang terzahir. Oleh karena itu para ulama... kemudian berbeza pendapat tentang erti apa terzahir itu serta ukurannya.

Misalnya sahabat besar Nabi seperti Ibnu Abbas r.a, ia berkata dalam menafsirkan apa yang terzahir itu adalah : celak dan cincin.

Yang berpendapat seperti ini ialah sahabat Anas Bin Malik. Justeru, harus dilihat celak dan cincin wanita, bererti boleh dilihatnya juga kedua tempatnya pemakaiannya, iaitu muka dan kedua tapak tangan. Demikianlah apa yang ditegaskan oleh ulama Tabien seperti Said bin Jubair, ‘Atha’, Auza’i dan lain-lain.

Bagaimanapun Ummul Mukminin Aisyah r.a, Qatadah dan lain-lain menisbatkan gelang sebagai perhiasan yang boleh dilihat. Dengan demikian, maka tempat letak gelang iaitu di pergelangan tangan adalah dibolehkan jika tiada fitnah. Tetapi berkenaan batasnya dari pergelangan sampai ke siku, masih diperselisihkan. Seeloknya di jauhi dari mendedahkannya.

Menurut Syeikh Al-Qaradawi juga, ini tidak sama dengan make-up dan cat-cat yang biasa dipakai oleh perempuan-perempuan zaman sekarang untuk memakai gincu dan bedak merah di pipi serta kuku. Make-up ini semua termasuk berlebih-lebihan yang sangat tidak baik, yang tidak boleh dipakai kecuali di dalam rumah. Sebab perempuan-perempuan sekarang memakai itu semua di luar rumah, adalah untuk menarik perhatian laki-laki. Jadi jelas hukumnya adalah haram.

“Dan hendaknya mereka itu tidak menampak-nampakkan aurat dan perhiasannya kecuali terhadap suami atau ayahnya.” (an-Nur: 31)

Kesemua jenis berpakaian yang disebut tadi adalah diharamkan secara sepakat seluruh Ulama Islam. Pengarahan ini tertuju kepada perempuan-perempuan mu’minah, dimana mereka dilarang keras membuka atau menampakkan perhiasannya yang seharusnya ...disembunyikan, misalnya: perhiasan telinga (anting-anting), perhiasan rambut (sanggul); perhiasan leher (rantai), perhiasan dada (belahan dadanya) dan perhiasan kaki (betis dan gelang kaki). Semuanya ini tidak boleh dinampakkan kepada laki-laki lain. Mereka hanya boleh melihat muka dan kedua tapak tangan yang memang ada rukhsah untuk dinampakkan.

Amat jelas dari dalil al-Quran dan al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga nampak kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat menampakkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti: buah dada, paha, dan sebagainya.

Dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang... (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Riwayat Muslim)

Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi)

‘Bukhtun’ adalah salah satu macam daripada unta yang mempunyai kelasa (punuk) besar; rambut orang-orang perempuan seperti punuk unta tersebut karena rambutnya ditarik ke atas.

Disebalik keghaiban ini, seolah-olah Rasulullah melihat apa yang terjadi di zaman sekarang ini yang kini diwujudkan dalam bentuk dandanan rambut, dengan pelbagai macam bentuk dalam salon-salon kecantikan, lebih parah pula apabila kaum lelaki pula yang bekerja di salon seperti ini

Larangan Nipis

Saidatina Aisyah r.a meriwayatkan, saudaranya iaitu Asma’ binti Abu Bakar pernah masuk di rumah Nabi dengan berpakaian jarang sehingga tampak kulitnya. Kemudian baginda SAW berpaling dan mengatakan:

“Hai Asma’! Sesungguhnya seorang perempuan apabila sudah haidh (cukup umurnya), tidak patut diperlihatkan tubuhnya itu, melainkan ini dan ini — sambil ia menunjuk muka dan dua tapak tangannya.” (Riwayat Abu Daud)

Walaupun terdapat perawi lemah dari hadis, tetapi diperkuat dengan hadis-hadis lain yang membolehkan melihat muka dan dua tapak tangan ketika diyakini tidak akan membawa fitnah.

Dr Yusof Al-Qaradawi menegaskan bahawa melihat secara normal kepada wanita atau lelaki, kepada selain aurat, selama tidak dilakukan dengan syahwat dan berulang-ulang, hukumnya adalah halal. (Al-Halal Wal Haram Fil Islam)

Diriwayatkan dalam sebuah Hadith :-

يرحم الله المتسرولات

Ertinya : Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) (Riwayat Al-‘Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Um...mal, no 41245)

Menurut Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi SAW memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respond Rasulllah SAW memuji dan menyebut hadith di atas. ( Al-Bayan wa At-Ta’rif, Ibn Hamzah al-Husyani, 3/ 252, no 1831)

Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tidak berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam ilmu Usul Fiqh.

Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki. Samada menyanyi mahupun bernasyid. Tiada dakwah yag sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaj ia berada di atas pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya..kita tidak tahu dimanakah mata lelaki itu memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun penasyid wanita itu sedang mendendangkan lagu ketuhanan.

Larangan ini datang dari Firman Allah SWT : “Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit.” (al-Ahzab: 32)

Tuesday, April 19, 2011

Bukan Terlupa Tetapi Pura-Pura Lupa

Apabila kita melihat manusia pada zaman kini, sudah banyak yang lari dari landasan yang benar. Ramai yang mula mengambil jalan singkat ke neraka sedangkan bilangan yang mengambil jalan yang diredhai oleh Allah SWT amatlah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang mengambil jalan singkat ke neraka ini.

Wahai kawan sekalian sedarkah anda,
Maksiat yang berleluasa di sana-sini,
Batas pergaulan pula tidak dijaga,
Pegangan agama entah ke mana?

Begitulah ibaratnya mereka yang bergelar Islam hanya pada namanya yang indah tertulis ‘Binti’ dan ‘Bin’ namun perangainya tidak seindah itu. Inilah hakikatnya yang pahit. Sekiranya kita pergi ke mana-mana pusat membeli-belah, sudah tentu kita akan melihat si pembuat dosa ini bermaharajalela.

Ada yang tudungnya terbang,
Ada yang berpegang-pegangan,
Ada yang dirinya ditayang-tayang,
Sedihnya apabila agama tidak dipegang.

Kaum hawa terutamanya, sudah kian hilang rasa malunya. Tegar mendedahkan aurat di sana-sini. Seolah-olah perkara tersebut adalah perkara yang diredhai Allah. Apabila ditanyakan kepada mereka, "Bilakah akan terbuka hatimu untuk bertudung?". Pasti kebanyakan mereka akan menjawab seperti ini:

  • "Alaa...esok lusalah saya insaf!"
  • "Tudung itu harus dipakai dengan ikhlas,mana boleh paksa-paksa? Belum dapat petunjuk lagi, insyaAllah suatu hari nantilah."
  • "Suka hati akulah bila aku nak pakai tudung. Orang yang pakai tudung lagi teruk perangainya daripada aku, jangan sibuk nak tegur akulah."
  • "Kau jangan nak lecture aku. Aku tahulah apa yang betul atau tak!"

Itulah kebanyakan jawapan dan alasan yang kita dengar daripada anak-anak gadis kita sekarang. Mari kita kaji pula tafsiran Surah An-Nur ayat ke-31.

Katakanlah kepada wanita yang beriman:Hendaklah mereka menahan pandangannya,dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya,kecuali yang (biasa) nampak daripadanya.Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya,kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka,atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka,atau putra-putra suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putra-putra saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita.Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. [Surah An-Nur: 31]

Sudah terang lagi bersuluh bahawa kaum hawa diwajibkan oleh Allah SWT untuk menutup aurat mereka. Tetapi mereka yang tidak tahu malu kepada Allah masih berani mengatakan bahawa mereka belum ’insaf’ untuk menutup aurat mereka.

Wahai kaum hawa yang sudah hilang dari jalan yang benar, insaflah sementara pintu taubat Allah masih terbuka. Andai ajalmu tiba pada hari esok, semuanya sudah terlambat. Ingatlah!

Menutup aurat itu bukanlah kehendak sama ada kita mahu atau tidak, tetapi ia merupakan kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Di antara punca utama mengapa kes-kes rogol kian berleluasa adalah kerana kaum wanita yang suka menayangkan tubuh mereka yang kononnya seksi, hot, dan pelbagai lagi istilah untuk menggambarkan betapa hebatnya badan mereka itu. Malah, ramai menyalahkan kaum lelaki kerana terlalu miang.

Persepsi ini salah! Lelaki, kalau tidak ada apa-apa yang menaikkan syahwatnya, nescaya lelaki tidak akan bertindak sedemikian. Wanita kini yang sibuk berdandan terleka dan sibuk mengejar kecantikan duniawi sedangkan mereka lupa bahawa kecantikan yang paling diredhai Allah ialah kecantikan menutup aurat.

Buat kaum adam pula, bukankah Allah telah berfirman di dalam Surah An-Nur, ayat ke-30 yang bermaksud:

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.

Jelas bahawa lelaki juga harus memelihara pandangan mereka dari perkara-perkara yang boleh mengundang maksiat. Namun,mereka lupa, atau pura-pura lupa. Yang lebih memalukan adalah ada yang tidak mengetahui tentang perkara tersebut.

Berpakaian terkoyak sini sana,
Berseluar sendat nampak susuk badannya,
Lelaki pula naik syahwatnya,
Hingga maksiat kian berleluasa.

Beginilah yang terjadi apabila kaum wanita ingkar perintah Allah SWT. Dosanya bukan sahaja kerana dia tidak menutup aurat, tetapi dosanya berlipat ganda apabila dipandang oleh lelaki sehingga timbul syahwatnya. Lelaki pula, dosanya bukan sahaja kerana melihat aurat si wanita, namun dosanya pasti berlipat ganda sekiranya lelaki itu berjaya memujuk sehingga hilanglah ’mahkota’ wanita tersebut.

Kemudian,berdosa pula mereka yang membuang bayi luar nikah. Semuanya bermula kerana ingkar menutup aurat dan ingkar menjaga pandangan.

Bukan sahaja soal aurat menjadi persoalan zaman ini,malah soal batas pergaulan menjadi isu yang panas.

“Hai sayang...I rindu dengan you, nanti kita dating kat tempat biasa ye.”

Manusia yang kemaruk cinta sebegini amatlah mudah untuk digoda syaitan untuk melakukan maksiat. Memang tidak hairan kerana di dalam masyarakat kita kini, budaya couple dianggap sebagai perkara biasa. Betapa salahnya mereka. Allah telah memerintahkan kaum lelaki dan wanita agar menjaga pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka.

Allah tidak pernah menyuruh kita untuk bercouple, berpegang-pegangan dan bermesra-mesraan. Betapa manusia kini berpura-pura lupa. Sehinggakan ada yang sanggup berkorban segala-galanya demi si dia yang dicintai.

Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu bukanlah hubungan pernikahan yang sah?

Untuk apa wahai kawan, sekiranya hubunganmu itu dilandaskan oleh nafsu dan kehendak hati yang dibisik oleh syaitan?

Sekiranya mengadakan hubungan terlarang sebelum perkahwinan itu baik kononnya, fikirkanlah mengapa Allah menyuruh kita agar menjaga kehormatan dan pandangan kita?

Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang lebih baik untuk kita. Cintailah Allah terlebih dahulu, nescaya kamu tidak akan hilang arah. Apabila si wanita dan lelaki berdua-duaan, mereka lupa bahawa pihak ketiga adalah syaitan. Orang yang bercinta begitu khusyuk menuturkan kata-kata cinta, sehinggakan mereka tertinggal solat dan meninggalkan pegangan agama mereka, semuanya kerana mereka tunduk kepada nafsu dan bisikan syaitan.

Malulah kepada Allah SWT,
Contohilah Rasulullah SAW,
Jauhilah maksiat.

Jagalah pandanganmu,
Peliharalah auratmu,
Wahai anak-anak Adam,
Janganlah berpura-pura lupa,
Kerana mungkin sahaja ajalmu esok.

Sunday, January 23, 2011

Anggun Pesona Aurat Terpelihara

Pernahkah kita terfikir, mengapa Islam mensyariatkan wanita menutup dan menjaga aurat mereka? Betapa Islam hadir untuk memartabatkan kaum wanita, tetapi wanita sendiri tidak menyedari hakikat itu.

Jika dibandingkan wanita Islam dengan bukan Islam, wanita Islam begitu bertuah kerana telah disyariatkan untuk menutup aurat. Cuba lihat wanita barat yang meluncur di atas ais dengan hanya memakai bikini atau mungkin tanpa berpakaian. Merekalah yang sebenarnya telah didiskriminasikan. Menjadi tatapan setiap manusia yang memandang tanpa sekelumit pun perasaan malu. Maruah yang perlu dijaga dipertontonkan sewenang-wenangnya tanpa timbul perasaan bersalah. Seolah-olah tidak bernilainya mereka di mata masyarakat.

Sedarkah anda wahai wanita bahawa Islam telah menerangkan dengan jelas kepada kita, siapakah yang selayaknya melihat aurat kita di dalam al-Quran.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." [Surah An-Nur: 31]

Konklusinya dengan lebih mudah, mahram seorang wanita, yang boleh melihat auratnya ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan. Ia merangkumi;

  1. Bapa kandung
  2. Bapa mertua
  3. Bapa susuan
  4. Anak kandung
  5. Anak tiri (yakni anak suami)
  6. Anak susuan
  7. Saudara lelaki kandung
  8. Saudara lelaki susuan
  9. Anak saudara lelaki
  10. Bapa saudara

Namun wanita kini, mereka sendiri dengan sesuka hati mendedahkan aurat dan mahkota mereka tanpa rasa berdosa kepada yang bukan mahram. Malah lebih parah lagi, lelaki yang seharusnya menjadi pelindung dan pembimbing kepada kaum wanita membiarkan sahaja isteri, anak, adik, sahabat dan saudara mereka mendedahkan aurat.

Tidakkah kaum lelaki ini merasa tercabar dan cemburu melihat wanita yang di bawah tanggungjawab mereka yang sepatutnya hanya mereka melihat aurat mereka tetapi, sebaliknya lelaki lain juga mendapat HAK yang sama?

Dimana istimewanya lelaki yang bergelar suami berbanding dengan lelaki lain di luar sana yang mendapat HAK yang sama dengannya? Apakah mereka merasa biasa dengan situasi itu? Sungguh rugi dan dayuslah mereka.

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Surah Al-Ahzab:59]

Dan tahukah anda lelaki, bahawa ada empat golongan lelaki yang akan ditarik wanita ke neraka kelak andai mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka..

01.Ayahnya

Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji, dan sebagainya. Dia membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup hanya memberi kemewahan dunia saja maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

02.Suaminya

Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di luar rumah, menghias diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan muhrim. Apabila suami berdiam diri walaupun dia seorang alim, misalnya solat tidak lalai, puasa tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya kelak.

03.Abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggung jawab menjaga wanita jatuh ke bahu abang-abangnya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya saja, sementara adik perempuannya dibiarkan melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan sang adiknya di akhirat nanti.

04.Anak lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati ibu perihal tindak-tanduk yang menyimpang dari Islam. Bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, membuka aurat, dan lain sebagainya maka anak lelaki itu akan ikut ditanya serta diminta pertangungjawabannya di akhirat kelak.

Jadi bersediakah anda kaum lelaki untuk ditarik ke neraka oleh anak, isteri, adik dan ibu anda? Oleh itu, laksanakanlah tanggungjawab anda bagi memastikan wanita-wanita ini tidak menarik anda ke neraka tetapi memimpin anda ke Jannah.

Kita pula sebagai kaum wanita seharusnya menjaga martabat kita selaku wanita yang mana sudah jelas Islam memandang tinggi martabat wanita. Nah, apalagi yang kita mahu, syurga terbentang sedia, masih neraka yang didamba? Sungguh rugi dan celakalah jika demikian rupa.

Wallahu'alam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...