Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Saturday, December 31, 2011

Takrifan Gagal : Orang Hebat VS Orang Biasa

Itulah antara keluhan yang sering kita dengar apabila apabila kenyataan yang diharapkan bertukar menjadi malapetaka. Pastinya ketidaksampaian harapan atau ringkasnya gagal, baik dalam apa jua pekerjaan mahupun sebagai pelajar mencetuskan pelbagai perasaan.

Kecewa. Marah. Bengang. Sedih. Putus asa. Paling memeritkan apabila segala wang, kudrat, masa dilaburkan namun keputusannya bukan memihak kepada kita. Semuanya terasa segala pelaburan itu bagaikan sia-sia sahaja.

Namun, apa sebenarnya erti gagal?

Kenapa ada mereka yang mampu bangun dengan gemilangnya walaupun sebelumnya gagal?

Kenapa ramai lagi mereka yang gagal, langsung tidak terbangun selepas kejatuhan mereka?

Kedua-dua golongan ini gagal dan dilanda keperitan yang amat sangat, namun apakah yang membezakan dua golongan ini?

Tuah? Usaha? Kebetulan? Banyak faktor menyumbang kepada kebangkitan semula orang yang hebat daripada kegagalan.

Antara faktor yang terbesar bagi mereka ialah takrifan gagal. Mereka menjadi semakin hebat selepas setiap kegagalan kerana mereka memahami dan melihat makna gagal lebih hebat daripada orang biasa.

Orang biasa mentakrifkan kegagalan sebagai ketidaksampaian hasrat dan impian yang dicitakan.

Hurm, adakah benar?

Namun, pentakrifan gagal oleh orang hebat ternyata berlainan dan lebih hebat. Orang hebat melihat kegagalan sebagai maklum balas tentang perkara yang tidak akan membawa mereka ke arah kehebatan.

Renung sejenak kata-kata Thomas Edison yang gagal 1000 kali dalam mencipta mentol pertama di dunia.

"Saya bukannya gagal 1000 kali, tetapi saya menemui 1000 cara yang tidak akan menghasilkan mentol".

Keputusannya?

Terciptalah mentol lampu pertama di dunia. Jika tidak kerana semangat beliau, mungkin mentol belum tercipta, dan mungkin kita masih menggunakan lampu minyak tanah sehingga sekarang.

Setiap kali ditimpa kegagalan, orang hebat melihatnya sebagai jalan atau tindakan yang tidak akan membawanya mengecapi impiannya. Justeru, mereka tidak akan mengulangi perkara dan tindakan yang sama di masa hadapan. Yang betul diteruskan, yang salah dihindarkan.

Lantaran itu, mereka semakin bijak mengatur langkah mengorak jalan ke arah kejayaan dengan hanya melakukan perkara yang betul dan hebat sahaja. Itulah yang dimaksudkan dengan kegagalan sebagai maklum balas atau "feedback".

Melihat kegagalan daripada sudut pandang positif menjadi nadi utama kebangkitan orang hebat. Biarpun terkesan emosinya, kuasa positif nyata lebih dominan untuk melonjak kembali semangat mereka untuk terus berusaha menggapai impian mereka.

Berbanding orang biasa yang melihat kegagalan sebagai penamat kepada segala usaha mereka selama ini. Merasakan segalanya sudah musnah, mereka seakan takut untuk bangun kembali.

Orang hebat hanya melihat diri mereka sebagai gagal jika mereka memutuskan untuk tidak merealisasikan impian mereka. Apapun terjadi, segalanya dijadikan maklum balas positif, dan tiada apa yang dapat memutuskan mereka dengan impian mereka kecuali diri mereka sendiri dan takdir Allah S.W.T.

Kegagalan di tangan anda. Jika anda putuskan sebagai kegagalan, maka anda memang gagal. Namun, ingatlah, membina impian bukannya mudah.

Rasulullah S.A.W sekalipun memerlukan tempoh bertahun-tahun untuk membuka kembali Kota Mekah biarpun dilanda pelbagai ujian dan kekalahan. Usah pernah putus asa dengan diri sendiri dan rahmat Allah S.W.T. Selamat berjaya dan sukses selalu!

Hustle up and be great!


~RENUNG-RENUNGKAN DAN SELAMAT BERAMAL~

Saturday, July 16, 2011

Bagaimana Untuk Gembira Apabila Ditolak

Dalam membina perniagaan, tentu semua usahawan pernah merasa saat di mana apa yang kita tawarkan ditolak.

Ada yang ditolak mentah-mentah, ada yang ditolak dengan alasan, malah ada yang ditolak dengan cacian, jika tidak kena pada caranya.

Ini hanyalah kegagalan kecil. Orang yang tidak pernah gagal adalah orang yang tidak pernah mencuba. Jika tidak pernah mencuba, tidak mungkin orang itu akan berjaya.

Setelah di'reject' 199 kali, bagaimana untuk kita menerima penolakan dengan hati yang gembira untuk kali yang ke-200 ?

Mudah saja.

Manusia berasa berjaya dengan bersandarkan kepada sesuatu kayu ukur.

Contohnya :

Senario A : Khairul yang menduduki peperiksaan SPM dan mengharap dan berusaha untuk mendapat 13 A 1 tetapi akhirnya hanya mendapat 7 A 1 dan 6 A 2. Teramatkan dia sedih dan kecewa dengan keputusan yang didapati. Khairul malu untuk berjumpa dengan cikgu dan rakan-rakan lain kerana ini.

Senario B : Setelah 2 kali mengambil SPM, Shafiq berusaha keras untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Akhirnya, Alhamdulillah, Shafiq berjaya lulus dengan pangkat 3 dalam cubaan kali ketiga. Bapa Shafiq dengan bangga membuat kenduri kesyukuran untuk seluruh kampung mereka.

Jadi sebelum kita membuat apa-apa tawaran. Kita letakan tujuan untuk berjaya tetapi dalam masa yang sama, kita juga bersedia menghadapi yang terburuk jika client untuk membuat penolakan.

Senario yang kita harap (expect) :

Ali : Salam puan X, saya nak buat promosi pinggan mangkuk bercorak Inggeris yang sangat cantik. Puan berminat ke ?

Puan X: Arghhhhhh !!!, pergi mampus ko. Aku benci Inggeris. Ko sebut sekali lagi, aku akan hempuk ko dengan kasut Bata aku ni.!

Senario yang mungkin berlaku :

Ali : Salam puan X, saya nak buat promosi pinggan mangkuk bercorak Inggeris yang sangat cantik. Puan berminat ke ?

Puan X : Maaf dik, akak tak berminat. Nanti akak tengok katalog ini. Terima kasih ya.

Keputusan = anda berjaya.

Akhirnya anda akan menjadi lebih bersemangat dan bertenaga untuk menerima penolakan yang seterusnya.

Dalam menerima penolakan, sentiasa fikir tentang perkembangan dan penambahbaikan.Development and Improvement.

Dalam setiap penolakan kita dapat belajar sesuatu yang baru yang sangat berguna untuk perniagaan kita. Pelanggan akan memberi 1001 alasan.

Maka kita mempunyai 1001 alasan –> soalan yang kita perlu mencari jawapan.

Jika ramai kata mahal, kita kaji harga kita.

Jika ramai kata tak cantik, kita kaji pilihan kita.

Jika ramai kata produk tak sesuai, ubah produk kita.

Jika ramai kata ABCDE, kita cari penyelesaikan untuk ABCDE dan cuba semula.

Kita perlu memahami kehendak masyarakat. (Memahami bermaksud faham betul-betul apa kehendak dan keperluan. Ini bukan bermakna anda perlu mengikut secara membuta-tuli apa yang disuruh oleh pelanggan-pelanggan tadi)

Selamat mencuba dan selamat menerima penolakan. Ingat, setiap penolakan itu membawa anda lebih dekat kepada kejayaan.

Orang yang tidak pernah gagal adalah orang yang tidak pernah mencuba.

Terima kasih

Friday, July 15, 2011

Hakikat Sebuah Perjuangan

Berjuang itu memang pahit. Sebabnya? Kerana syurga itu manis. Bagi saya, itulah jawapan yang paling tepat dan seringkali menjadi pencetus dan pendorong motivasi buat diri yang diuji dengan onak duri sebuah perjuangan.

Sesungguhnya, umat manusia tidak terlepas daripada diuji di dalam kehidupan di dunia yang semakin ke penghujung ini. Kegagalan merupakan salah satu ujian dan cabaran yang menduga kekuatan hati seseorang.

Sekaligus ia menguji kecekalan semangatnya, iaitu sama ada dia mengambil keputusan untuk berputus asa begitu sahaja atau dia nekad untuk meneruskan perjuangannya.

Saya tertarik dengan petikan sajak yang terungkap dalam novel Tautan Hati, karya Fatimah Syarha yang begitu indah sekali maknanya.


Temanku,
Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkat darjatmu di sisi-Nya,
Jika kau reda, sabar dan terus berusaha,
Tapi, kau sememangnya bodoh,
Jika kau langsung tidak berusaha,
Kerana pasti kau akan gagal dan menderita.
Tiada nilaian pahala dari-Nya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau siakan amanah berharga.

Subhanallah, sememangnya perjuangan merupakan satu amanah yang begitu berharga! Satu amanah dan tanggungjawab yang tidak sewajarnya dipandang enteng dan sambil lewa.

Dalam meniti perjuangan suci, ujian dan tribulasi seringkali mengekori langkah. Saya teringat kata-kata puitis salah seorang pensyarah,

"Tiada kehidupan tanpa ujian, tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan dan tiada cinta tanpa air mata..."

Bait-bait indah tersebut terpahat kemas di minda saya sehinggalah sekarang. Begitu hebat kan kuasa kata-kata? Subhanallah. Tiada kehidupan tanpa ujian, dan tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan.

Tanpa ujian, tidak beertinya sebuah kehidupan dan kebahagiaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya pengorbanan. Maka bersabarlah duhai sahabat, kuatkan semangat dan kukuhkanlah iltizam dalam hatimu.

Jangan kita berasa goyah dengan setiap ujian yang menimpa kita. Kerana ujian itu merupakan tanda kifarah dosa dan sebagai tanda kasih serta rahmat Allah daripada Allah kepada kita.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut: 2-3)

Teguhkan hati dan kuatkan kesabaran di dalam sanubari, walaupun beribu rintangan mendatang dalam perjuangan ini. Sesungguhnya,

"Apa yang anda sabarkan anda akan memperoleh hasilnya kerana kesabaran itu akan menolong segala pekerjaan. Ketahuilah dalam kesusahan dan kepayahan itu tersembunyi nasihat-nasihat kebijaksanaan".

Ketahuilah bahawa apabila kita bersabar dan sentiasa meneguhkan kesabaran kita, maka akan timbul kekuatan dalam diri ini dan kita akan turut memperoleh pahala. Namun, apabila kita sentiasa berkeluh kesah, maka akan timbullah kelemahan dalam diri ini.

Ayuh sahabat,
Perjuangan ini perlu diteruskan kerana perjuangan kita terlalu jauh dan memakan masa yang sangat panjang. Entah di mana pengakhirannya. Bukan itu sahaja, dugaan dan tribulasi yang bakal dihadapi juga akan datang secara silih berganti.

Ia hanya dapat dicantas dan diatasi dengan keimanan yang kukuh di samping semangat yang tinggi. Inilah langkah kita duhai sahabat! Ingatlah, perjuangan yang berpaksikan semangat semata-mata tanpa disertai keimanan dalam jiwa akan gagal menepati jalan yang sewajarnya.

Penggabungan semangat dan keimanan amat perlu dalam diri kita dalam menjejakkan kaki ke medan perjuangan suci ini. Sebagai pengakhir kata, saya ingin memetik kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh, yang terkenal dengan kekuatan semangat spiritualnya. Begitu hebat sekali kata-kata dan semangatnya.

"Aku (Muhammad al-Fateh) mempunyai dua sifat. Sifat keras seperti batu iaitu keazamanku mencapai apa yang aku inginkan. Sifat lembut seperti air iaitu ketika aku memohon ampun kepada Tuhanku. Apakah dengan dua sifat ini aku masih tidak boleh mencapai kemenangan".
(Amru Khalid, pemikir Islam kontemporari dalam Kuasa Kepimpinan Al-Fateh, Muhammad Syaari Abdul Rahman, 2011: 95)

Monday, June 13, 2011

Nilai Sebuah Kejayaan

Sesungguhnya air membawa banyak manafaat kepada kehidupan manusia.Lihatlah dan renungkan sifat air, mengalir dari tempat tinggi tanpa henti,menyusuri puluhan,ratusan malahan ribuan kilometer merentasi dan mengharungi apa saja hanya untuk satu tujuan ke muara. Jika mahu memahami...

"Air adalah guru kehidupan". Titisan demi titisan air yang menerjah kepermukaan batu yang keras mampu memecahkan batu yang keras.

Imam al Hafiz Ibn Hajar al Asqalany...mendapat kembali kekuatan dan semangat apabila merenungi dan menghayati keperkasaan titisan air yang mampu memecahkan batu yang besar dan keras. Beliau melihat betapa perlunya seseorang hamba ALLAH SWT itu untuk beristiqamah dan konsisten dalam mencari ilmu dan membina kejayaan.Mencari ilmu untuk membina kejayaan duniawi dan ukhrawi memang terlalu sukar dan terpaksa melalui ranjau yang amat sukar.Dari sifat istiqamah dan konsisten dalam mencari ilmu dan
membina kejayaan ini maka terhasilnya karya karya agong dan amat berharga dari usaha dan kerja keras Imam al Hafiz ibn Hajar seperti Bulugh al Maraam, al Hisabah,Lisan al Mizan.Malahan bukunya yang bernama Fath al Bary(kitab yang mengupas buku sohih al Bukhary ) menjadi rujukan para pengkaji hadis.

Air mampu mengajar Ibn Hajar untuk menjadi seorang yang konsisten dan sentiasa beristiqamah dalam mencipta kejayaan, bagaimana dengan kita? Hidup perlu terus konsisten,jangan sesekali menyerah kalah dalam memperjuangkan cita cita ,Allah SWT pasti akan sentiasa membantu kita untuk meluruskan jalan dan Istaqamah untuk meraih kejayaan.

Ketahuilah, kejayaan hanya akan di capai oleh mereka yang sentiasa konsisten dan beristiqamah iaitu mereka yang sentiasa tetap dan tidak berubah ubah pendiriannya untuk mencipta sesuatu kejayaan itu.

Kaedah Komunikasi Yang Positif

Komunikasi sesama kita merupakan salah satu seni pembinaan personaliti. Ia termasuklah komunikasi ringkas dengan kawan-kawan dan rakan sekerja yang biasanya membawa impak yang besar kepada hati insan yang mendengarnya.Fokus artikel kali ini adalah alternatif-alternatif yang berkesan yang dapat kita aplikasikan dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi ketika berkomunikasi dengan orang lain.

Selalunya apakah antara ayat-ayat yang kita akan gunakan sekiranya kita mahu meminta pertolongan daripada orang lain atau sekiranya kita ingin meminta tolong dia seseorang membuat sesuatu?

Kebanyakan dari kita , tanpa disedari, selalu mengucapkan dialog tanpa kita fikir kesannya terhadap orang lain, kerana cara itu sering menjadi tabiat kita dari hari ke hari.

Contoh ayat suruhan: Saya nak awak selesaikan minit mesyuarat semalam.

Cara Alternatif: Saya nak minta tolong /perlukan pertolongan awak siapkan minit mesyuarat semalam untuk edaran segera.

Di dalam penyataan ini, kita masih menyatakan kita minta dia melakukan sesuatu(dengan nada yang baik dan bersopan) walaubagaimanapun dalam masa yang sama, kita memberitahunya kenapa ia perlu disiapkan atau dilaksanakan. Kebanyakan kita hanya tahu menyuruh orang lain membuat itu dan ini, tapi kita lupa memberitahu mereka kenapa perkara tersebut perlu dilakukan. Ini menyebabkan, orang lain kadang-kadang berada dalam keadaan kabur dan tidak mengerti permintaan kita.

Jika kita sebagai ketua didalam sebuah organisasi, tidak salah sekiranya kita menggunakan kedua-dua frasa di atas, namun frasa yang kedua lebih menampakkan sikap anggun atau berhemahnya kita dalam meminta tolong seseorang melakukan tugas. Tapa disedari kita dapat mendidik orang bawahan kita melakukan perkara yang sama terhadap orang lain. Akhirnya aura berhemah ini akan berkembang di sekeliling kita.

Dalam situasi kita menunggu email atau surat daripada seseorang. Kita sering bertanya mereka dengan soalan-soalan sepeti ini:
Contoh: Dah hantar ke email ke? / Kenapa tak hantar lagi?
Dalam keadaan begini kita meletakkan kesalahan kepada orang lain. Sekiranya benar mereka sudah menghantar email tetapi ada masalah teknikal, pasti mereka tersinggung dengan pertanyaan mengapa dan kenapa.

Oleh itu, sebagai alternatif kita boleh cuba bertanya begini:
Saya masih belum terima email yang dijanjikan ... ( ayat seterusnya)

Dalam keadaan kedua, kita merujuk kepada masalah kita iaitu dengan memahami dan membuat sangkaan bahawa mungkin dia telah menghantar dan berlakunya masalah teknikal dan bukannya menuduh orang lain walaupun benar dia masih tidak menghantar email itu kepada kita.

Dengan cara ini, sekiranya benar dia sudah menghantar email, dia akan memberi respon yang responsif dan bukannya defensif. Namun, sekiranya dia masih belum menghantar email tersebut, dia akan segera melakukannya kerana dia dengan sendirinya menyedari bahawa kelambatan dia telah menyebabkan orang lain tertunggu-tunggu.

Ini merupakan cara teguran yang dapat membina personaliti seseorang dengan lebih baik di dalam komunikasi.
Kurangkan bertanya mengapa dan kenapa di dalam komunikasi kecuali kita mahu menghukum seseorang dalam keadaan yang seadilnya, ianya (pernyataan pertama) memang wajar digunakan.

Sentiasa berfikir sekiranya mahu berbicara, dan selalu merujuk ayat itu kepada kita sebelum kita melafazkannya. Dengan berlatih, penguasaan komunikasi akan menjadikan kita lebih berhemah.Usahlah kita sering mencari kesalahan orang lain tetapi gunakanlah pendekatan-pendekatan positif agar dapat memberikan impak yang lebih baik kepada masyarakat.

"Practice makes perfect".

Wednesday, May 18, 2011

Melupakan Dan Dilupakan

Manusia sering melakukan kesalahan yang sama. Ada yang berusaha untuk memperbaikinya dan ada yang tidak.

Mengapa tidak? Adakah kerana mereka enjoy melakukan kesalahan berulang kali? Tetapi, mengikut logik akal, bukankah setiap manusia mahukan yang terbaik?

Hairan, bukan?

Bukan mereka tidak ingin maju, tetapi mereka tidak sedar akan kekurangan diri yang ada pada mereka. Tidak sedar bahawa perbuatan mereka sebenarnya sedang memudaratkan dan menzalimi diri sendiri. Inilah balasan kepada mereka yang lupa akan Allah.

Firman Allah dalam surah Taha, ayat 126 -127 "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal"

Apabila Allah melupakan kita, meninggalkan kita, apa akan terjadi pada kita?

Mata kita, hati kita, sudah tidak dapat membezakan yang baik dengan yang buruk. Kita hanya seronok melakukan apa yang kita suka. Kita hilang kebolehan untuk melihat, memikirkan, memahami dan mengambil pengajaran dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Kita sudah "terhijab" dari melihat pintu-pintu kebaikan.

Manusia di sekeliling kita juga seperti tidak sedar akan keadaan kita dan selalu saja ada yang menghalang mereka dari mengajak kita ke arah kebaikan. Bahkan, sekalipun telah datang pesanan kebaikan itu kepada kita, kita sendiri yang akan mengendahkannya kerana kejahilan pada diri kita.

Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaanKu. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat(Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadaNya

- Al-A'raaf : 146

Ayuh renung sejenak, tentu ada orang seperti di atas yang dikenalimu. Kadangkala sedih melihat mereka dengan ideologi barat dan kafir mereka. Begitulah hukum Allah, ringkas.

Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka

- At-Taubah : 67

Hm.... Jadi bagaimanakah caranya untuk sentiasa mengingati Allah? Allah telah pun memberi petunjuk (hint) di dalam kitabNya.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka

- Ali Imran: 190-191

Jangan hanya menyebut takbir ketika melatah. Bertasbihlah lalu bertahmidlah, lalu bertahlillah, terus bertakbir memaha besarkan asma-Nya.

Semoga kita beramal seperti seorang muslim sehingga kita berupaya melaungkan "saksikanlah, aku seorang muslim!" tanpa keraguan.

Wallahu'alam. Bersama kita amalkan. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang datangnya dari Allah adalah terbaik untuk kita.

Wednesday, May 4, 2011

Mencipta Masa Depan

Memang mudah terlintas maksud turutan perkataan tersebut di dalam minda kita.

Namun adakah ia sama dengan pemikiran orang lain?

Sudah tentu ianya berbeza dan sering bercanggah antara satu sama lain.

Dalam pada itu sebenarnya telah wujud persamaan antara perbezaan pemikiran tadi.

Walau bagaimanapun mungkin anda boleh bersetuju dengan saya sekiranya saya mengatakan maksud yang sebenar bagi perkataan-perkataan tersebut adalah dengan satu perkataan iaitu cita-cita.

Cita-cita membawa maksud harapan dan impian yang cuba direalitikan oleh setiap insan yang bergelar manusia pada masa hadapan.

Ada bermacam cita-cita yang boleh kita impikan.

Doktor, guru, arkitek, usahawan berjaya, kerani, dan banyak lagi pekerjaan yang sering kita impikan.

Namun begitu, ada juga manusia yang bercita-cita sesuatu perkara yang negatif contohnya merompak, melepak, menganggur, menyemak tepi kaki lima, kutu rayau, sekadar berfoya-foya, raja judi, perogol dan sebagainya.

Semua yang disenaraikan ini adalah berkaitan dengan cita-cita makhluk yang bergelar manusia.

Cita-citalah yang mempengaruhi seseorang manusia itu untuk belajar.

Sebagai contoh, seseorang itu mempunyai keinginan untuk menjadi seorang guru.

Walau bagaimanapun, syarat untuk menjadi seorang guru mesti memiliki kelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda. Untuk memiliki ijazah sarjana muda pula kita harus melanjutkan pelajaran ke universiti terlebih dahulu.

Seseorang itu juga perlu menghabiskan pelajarannya di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dahulu sebelum dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Begitulah selanjutnya sejak daripada peringkat tadika lagi.

Sememangnya ada turutan tersebut dalam meniti kehidupan.

Namun, adakah turutan itu terasa kelazatannya? Kelazatan di sini bermaksud sejauh mana kita berusaha menempuh hidup yang diimpikan itu.

Sesungguhnya impian tidak semestinya tercapai.

Namun ia tidak mustahil untuk dicapai. Hanya fikiran yang menentukan keberjayaan kita memperoleh apa yang kita inginkan pada masa depan.

Di dalam liku-liku hidup ini, berusahalah mengikut landasan dan keperluan yang betul.

Bukan sahaja kita akan memperoleh impian yang sekian lama kita simpan, kita juga akan memperoleh kenikmatan dan juga kebahagiaan di dalam hidup ini.

Namun, sebagai manusia sudah pasti ada yang membataskannya.

Pastikan ia mengikut landasan syariat yang betul dan tidak menyeleweng supaya hidup bermasyarakat sentiasa dalam keadaan seimbang dan harmoni senantiasa.

InsyaAllah...

Thursday, April 21, 2011

7 Perkara Yang Membuat Anda Bermotivasi Di Waktu Pagi

Malas, lemah, penat, longlai adalah resam jika anda bukanlah berniat dengan penuh kesungguhan dan bersemangat untuk menikmati kebahagiaan di pagi hari.

Waktu pagi adalah ujian untuk anda, pagi adalah nikmat untuk anda, pagi adalah penentu arah kejayaan dan kegagalan dalam hidup anda.

Justeru itu adakah kita mahu mensia-siakannya?

Ayuh sahabat, bangkitlah! Perkara terbaik yang anda patut lakukan di waktu pagi, adalah:

01. Bersyukur, bersyukur, bersyukur
Bersyukurlah sebab anda masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, anda juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

02. Tekad Bermotivasi
Pasang niat dalam hati yang anda mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua.

Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang anda dari bermotivasi sepanjang hari.

03. Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni.

Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, anda menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

04. Dalam Apa Jua Yang Anda Buat, Mulakan Dengan Bismillah
Bila anda mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga anda dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat anda lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas betri’ saja.

Andai kata anda seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi anda dan mula nak bukak buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang anda lakukan mendapat keberkatan.

Masuk saje ke dalam kelas, pasang niat anda mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, anda punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

05. Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak?

Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi.

Hidup Anda bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja.

Mulai hari ini, ubah sikap anda. Set target apa yang anda mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari.

Andai anda seorang pelajar, set target berapa bab yang anda nak ulangkaji, berapa buah buku yang anda nak baca dalam minggu ni, berapa soalan anda nak bertanya pada lecturer atau guru anda nanti.

Andai anda seorang usahawan, set target berapa jualan yang anda nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang anda nak dapat hasil dari bisnes anda. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes anda.

Andai anda seorang pekerja, set berapa tugas yang anda nak siapkan dan set limit masa untuk anda menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

06. Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea.

Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Cara ni saya dah test sendiri, berkesan sungguh!

Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood anda menjadi positif.

07. Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang.

Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya.

Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, anda jadi orang yang tak bersemangat langsung.

Lebih teruk, anda jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Anda mesti berubah untuk kemajuan diri.

Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...