Showing posts with label Sabar. Show all posts
Showing posts with label Sabar. Show all posts

Thursday, August 11, 2011

Syukur dan Sabar


Dalam kesibukan diri melayari bahtera kehidupan ini, banyak dugaan dan cabaran yang kita temui, mungkin ada cabaran yang berjaya kita harungi, dan ada yang sebaliknya.

Cuma hakikatnya, kita sebagai manusia memang tidak lepas dari menghadapi dugaan ini.

Para ulama' dan ahli ibadah zaman dahulu mengklasifikasikan ujian yang diterima oleh seseorang itu adalah mahar yang akan dijadikan saksi ketika hari yang tiada saksi melainkan amalan yang soleh, ia juga dianggap sebagai sebuah nikmat kerana bagi mereka Allah masih menerima amalan dan masih melihat mereka.

Bagaimana keadaan ini boleh berlaku?

Sifat Syukur

Syukur adalah satu sifat yang sangat penting di dalam diri seseorang.

Tanpa syukur, seorang manusia itu akan lupa daratan dan sentiasa merasakan diri merekalah yang sebenarnya sempurna dan berkuasa.

Lihat sahaja kepada contoh golongan yang tidak bersyukur yang telah dinukilkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran sebagai iktibar kepada hamba-Nya.

Firaun Dan Pengikutnya

Firaun adalah seorang raja yang telah diberikan keistimewaan oleh Allah S.W.T dengan tidak pernah jatuh sakit sepanjang hidupnya. Di samping itu juga, dia diberikan sebuah kerajaan yang sagat besar dan kuat iaitu kerajaan Mesir ketika itu.

Tetapi malangnya, Firaun menjadi sombong dan lupa diri.

Oleh kerana keistimewaanya itu, dia merasakan dirinya adalah Tuhan yang patut disembah - dia menyuruh seluruh rakyatnya menyembah dirinya.

Sehinggakan Allah S.W.T mengutuskan Nabi Musa a.s. untuk menjadi petunjuk ke atas rakyat yang telah dizalimi tadi.

Allah S.W.T juga memberi balasan yang setimpal ke atas perbuatan angkuh Firaun itu dengan menenggelamkan dia di Laut Merah sewaktu cuba membunuh Nabi Musa a.s.

Begitu juga yang terjadi ke atas Haman; perdana menteri yang dilantik ketika pemerintahan Firaun.

Dia banyak menghabiskan duit rakyat dan sentiasa mengampu Firaun dengan kata-kata manis untuk mengekalkan kedudukannya selaku perdana menteri; orang yang kedua tertinggi dalam kerajaan Firaun laknatullah.

Kisah Raja Namrud

Raja Namrud juga salah satu contoh manusia yang tidak bersyukur atas pemberian Ilahi, bukan sahaja bersifat angkuh tetapi dia mahu membakarnya hidup-hidup Nabi Ibrahim a.s. yang diutuskan oleh Allah ke atas kaum mereka.

Namun dengan sifat kasih sayang Allah S.W.T, api yang sepatutnya bersifat panas dan membakar menjadi dingin dan selamat untuk Nabi Ibrahim a.s. dan Namrud pula akhirnya dimusnahkan dengan dihantar seekor nyamuk yang masuk ke dalam kepalanya untuk memakan otaknya.

Manusia Yang Paling Sabar

Nabi Ayub dikurniakan kesempurnaan kehidupan oleh Allah S.W.T. Baginda dikurniakan harta yang banyak dan keluarga yang bahagia, tetapi kuasa Allah S.W.T lebih hebat apabila menguji baginda dengan menarik sedikit demi sedikit nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada Nabi Ayub.

Ia bermula dengan harta yang semakin berkurangan, anak-anak yang meninggal dunia dan seterusnya dengan penyakit sopak yang menjijikkan.

Mengenai pelbagai ujian itu Allah S.W.T berfirman, maksudnya:

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira bagi orang yang sabar, iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, 'Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali'."

Walaupun diuji dangan begitu hebat sekali, beliau masih tetap percaya Allah S.W.T ada menyelitkan hikmah di sebalik kedukaan ujian yang melandanya.

Akhirnya dengan sifat kesempurnaan Allah, segala ujian yang diberikan digantikan semula dengan kegembiraan dan Nabi Ayub a.s dinaikkan darjat sebagai orang yang bersabar di atas ujian yang menimpa.

Jesteru ayuh sahabat sekalian, majulah dalam menempuh ujian hidup ini kerana ada sesuatu yang manis sedang menunggu kita.

Ingatkan teman yang lain dan ingatkan diri kita sendiri.

Moga Allah memberi taufiq ke atas diri kita dan dikurniakan kejayaan di atas amalan yang dilakukan.

"Ya Allah jangan Kau uji kami dangan ujian yang tidak tertanggung oleh kami, sesungguhnya kami hamba-Mu yang daif dan lemah."

"Tanpa keberanian, mimpi takkan bermakna."

"Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan.

Kamu tidak dapat melangkah dengan baik dalam kehidupan kamu sampai kamu melupakan kegagalan kamu dan rasa sakit hati."

Tuesday, July 26, 2011

Madrasah Ramadhan

Ramadhan merupakan madrasah agung yang banyak untuk kita pelajari daripadanya. Cara terbaik untuk mengenali tetamu yang mulia ini ialah dengan melihat bagaimana Rasulullah saw menyambut bulan ini.

Bagaimana baginda bersedia untuknya? Sejak bulan Rajab lagi baginda sudah berdoa "Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Sya'ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan". Inilah persedian jiwa dan kerinduan muslimin yang inginkan segala kebaikan yang terkandung dalam bulan ini.

Ramadhan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik. Pakar psikologi menyatakan bahawa: jika manusia ingin mengubah sikapnya, hendaklah dia berterusan membiasakan dirinya dengan sikap yang baru selama 21 hari, inilah Ramadhan yang datang untuk membiasakan kita dengan sikap positif selama 30 hari! Semoga Ramadhan mampu membiasakan kita dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas: Puasa merupakan satu-satunya ibadah yang menjadi rahsia antara hamba dan TuhanNya. Ibadah yang khusus untuk Allah swt. Ibadah lain seperti sujud dan korban boleh dibuat selain kerana Allah tetapi kita tidak dapati seseorang puasa kecuali kerana Allah swt.

2. Sabar: Seorang muslim berlatih untuk bersabar dan memikul bebanan. Pada bulan-bulan lain mungkin kita selalu marah dan bersikap kurang sabar, tetapi dalam bulan Ramadhan kita akan bersabar sehingga waktu berbuka puasa.

3. Penyantun: Sekiranya seseoarang dicaci atau diejek, dia terus berkata: "Ya Allah aku sedang berpuasa", maka ini melatih kita untuk menahan marah.

4. Disiplin dan ketepatan masa: Waktu adalah kehidupan, seperti yang dinyatakan Hassan al-Banna. Pada bulan-bulan lain kita jarang sekali melihat kepada jam waktu, tetapi dalam Ramadhan kita sentiasa meneliti waktu seperti sahur, berbuka puasa dan waktu azan.

5. Kesatuan ummah: Bilangan muslimin seluruh dunia mencapai 1 billion. Bayangkan jumlah yang sebegitu ramai bersama-sama berpuasa dan berkumpul untuk beribadah.

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
(Surah Al-A'raf 7: Ayat 96)

Saturday, April 23, 2011

Membuah Sabar

Sabar; satu perasaan, tindakan yang tidak dapat didefinasikan.

Ramai yang mudah berkata "sabar ye?" apabila orang lain ditimpa masalah, tapi apabila diri sendiri diuji dengan ujian yang amat dahsyat, masihkah lagi perkatan sabar dapat bertahan dalam diri?

Ayuh! kita belajar bagaimana ingin membuah sabar.

Meminjam peribahasa "lain lubuk lain ikan" disamakan dengan "lain orang lain ujiannya".

Setiap ujian yang ALLAH beri berbeza-beza tertakluk pada kemampuan hamba-Nya. Lupakah kita pada firmannya?

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdo'a): "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri maaflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." - Surah Al-Baqarah, 286

Lihat! Allah itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasih, Dia tidak akan timpakan kita dengan sesuatu yang kita tak mampu. Dia juga tidak akan jadikan suatu ujian itu sia-sia tanpa ada hikmah disebaliknya.

Ujian Rasulullah

Kita singkap kembali sirah, baginda Nabi Muhammad s.a.w, ujian yang menimpa baginda sangat hebat.

Bermula semasa lahir, baginda sudah kehilangan ayahnya, kemudian ibunya, datuknya, disusuli bapa saudaranya, sehinggalah isterinya yang tercinta, Siti Khadijah.

Orang-orang yang baginda kasihi sudah mengadap Illahi.

Ini belum lagi termasuk ujian dalam menyebarkan Islam untuk sampai kepada kita pada hari ini, bermacam-macam ujiannya.

Dibaling najis, gigi baginda patah dalam satu peperangan, dipulau dan bermacam-macam lagi tekanan yang baginda hadapi.

Tapi ujian itu tidak pernah menghalang baginda supaya menjadi orang sabar.

Cuba kita renungkan kembali di zaman baginda s.a.w dahulu tiada handphone, tiada facebook, tiada yahoo messenger dan tiada kemudahan internet seperti yang kita ada pada hari ini, tapi lihatlah kerana kecekalan, kesabaran baginda dan para sahabat, Islam sampai kepada kita hari ini dan kita mengenal Allah dan merasa indahnya iman.

Mungkin ada sesetengah mengatakan bahawa baginda dapat menghadapi ujian-ujian tersebut kerana baginda merupakan seorang Rasulullah.

Mengapa pula begitu, baginda juga manusia biasa seperti kita, apa yang membezakan ialah baginda mempunyai keimanan yang benar-benar mantap.

Begitu juga dengan ujian yang baginda hadapi sesuai dengan kemampuan baginda.

Ujian yang hebat untuk manusia yang hebat! Kita bagaimana?

Bicara tentang iman

Iman itu ialah ketaqwaan kepada Allah, penuh khauf dan raja'. Jadi apabila kita ditimpa ditimpa sesuatu musibah atau ujian pintalah kepada Allah agar dibesarkan iman untuk kita hadapinya bukan diminta dikecilkan masalah yang kita hadapi.

Kita boleh mengatasi segala ujian yang Allah berikan dengan tenang jika kita punyai pergantungan yang tinggi kepadaNYA.

Oleh itu apa jua masalah yang ada, muhasabah kembali hubungan kita dengan Allah, renungkanlah kembali.

Adakah kita telah menjaga sebaik-baiknya hubungan kita dengan-Nya?

InsyaAllah jika kita jaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan jaga hubungan kita dengan yag lain. Allah akan bantu kita dari segenap sudut yang kita tak sangka-sangka.

Tapi kalau saya dah jaga hubungan dengan Allah sebaiknya macammana pula?

Jika begitu, kita perlu muhasabah kembali, mungkin tanpa kita sedari ada hak-hak dengan Allah kita tak tunaikan, begitu juga dengan hubungan sesama manusia.

Dan jika dah jaga semuanya, itulah dinamakan ujian sama ada kifarah dosa-dosa lepas atau peluang kita merebut pahala dan meningkatkan iman. Bukankah kita ini hanya manusia?

Jangan pernah lupa bahawa kita adalah hamba Allah s.w.t. Jadi, kita layak diuji kerana kita hanyalah hamba-Nya.

Jadilah hamba yang bersyukur.

Apa jua yang ada dalam hidup, syukurilah, belajarlah jadi orang yang sentiasa bersyukur. InsyaAllah masalah-masalah yang kecil tidak akan timbul, dan kita akan miliki sifat sabar.

Rasulullah s.a.w, walaupun dijamin syurga tapi Baginda s.a.w, tetap menunaikan solat dan ibadah malam sampai kakinya bengkak-bengkak.

Dalam satu hadis, apabila ditanya Aisyah r.a, mengapa Baginda beribadah malam sehingga kakinya bengkak sedangkan baginda sudah dijamin syurga, Baginda menjawab dengan tenang, "Aku ingin jadi hamba yang bersyukur".

Salam mujahadah membuah sabar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...