Showing posts with label Manusia. Show all posts
Showing posts with label Manusia. Show all posts

Friday, May 20, 2011

Memaafkan Untuk Syurga

Setiap hari di bumi Allah, kita berhubungan dengan makhluk lain ciptaan Allah terutamanya sesama manusia.

Jika kita seorang ibu yang bekerjaya, selalunya kita akan berhadapan dengan suami, anak-anak, rakan sekerja dan ramai lagi.

Pastinya dalam hubungan itu, kadangkala hati kita disakiti atau muncul perasaan benci kerana berlaku salah faham.

Kadangkala amat sukar untuk kita memaafkan. Apatah lagi melupakan sesuatu yang menyakitkan hati dan perasaan.

Kita selalu memberi alasan bahawa iman kita bukanlah sehebat iman seorang Nabi.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW duduk bersama sahabat di dalam masjid lalu baginda bersabda dengan ertinya: "Sekarang ini seorang lelaki penghuni syurga akan muncul dari sebelah pintu itu."

Maka muncullah seorang lelaki yang baru sahaja selesai mengambil wuduk.

Janggutnya masih basah dan menitiskan air sisa wuduk. Kemudian dia solat sunat dua rakaat dan setelah itu dia duduk.

Pada hari kedua Rasulullah SAW berkata lagi dengan ucapan yang serupa dan begitulah juga pada hari ketiga.

Ibnu Umar RA mengekori lelaki tersebut dan memohon agar dapat tidur di rumahnya. Dia amat hairan kerana lelaki tersebut biasa-biasa sahaja. Seperti orang lain juga yang mendirikan solat, berpuasa, berzikir dan lain-lain.

Lalu Ibnu Umar RA bertanya kepadanya, "Wahai saudara! Demi Allah sebenarnya aku ingin mengetahui cara amalanmu kerana aku mendengar Rasulullah SAW telah bersabda sebanyak tiga kali bahawa kamu termasuk salah seorang penghuni syurga. Amalan apakah yang kamu lakukan sehingga kamu boleh meraih penghargaan yang hebat daripada Rasulullah SAW? Setiap malam aku memerhatikan amalanmu, tetapi solat sunatmu tidaklah terlalu banyak, dan begitu juga dengan amalan lain yang tiada beza dengan kebanyakan orang."

Lelaki itu menjawab, "Demi Allah, tiada tuhan selain Dia! Sebenarnya amalanku biasa-biasa sahaja. Tiada perkara yang perlu dilebihkan dari kebanyakan orang. Namun apa yang terpenting, iaitu ketika aku ingin tidur pada waktu malam, aku tidak pernah menyimpan rasa dendam, tipu daya, hasad dengki dan iri hati kepada mana-mana orang Muslim. Hanya itulah yang aku lakukan sepanjang hidupku."

Maha Suci Allah, sungguh hebat darjat seorang Muslim yang suci hatinya dari perasaan dendam, hasad dengki dan iri hati terhadap sesama manusia.

Mereka tenang di dunia dan juga bahagia di akhirat.

Wednesday, May 18, 2011

Melupakan Dan Dilupakan

Manusia sering melakukan kesalahan yang sama. Ada yang berusaha untuk memperbaikinya dan ada yang tidak.

Mengapa tidak? Adakah kerana mereka enjoy melakukan kesalahan berulang kali? Tetapi, mengikut logik akal, bukankah setiap manusia mahukan yang terbaik?

Hairan, bukan?

Bukan mereka tidak ingin maju, tetapi mereka tidak sedar akan kekurangan diri yang ada pada mereka. Tidak sedar bahawa perbuatan mereka sebenarnya sedang memudaratkan dan menzalimi diri sendiri. Inilah balasan kepada mereka yang lupa akan Allah.

Firman Allah dalam surah Taha, ayat 126 -127 "Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan. Dan demikianlah Kami membalas orang yang melampaui batas dan tidak beriman kepada ayat-ayat keterangan Tuhannya dan demi sesungguhnya azab akhirat itu lebih berat dan lebih kekal"

Apabila Allah melupakan kita, meninggalkan kita, apa akan terjadi pada kita?

Mata kita, hati kita, sudah tidak dapat membezakan yang baik dengan yang buruk. Kita hanya seronok melakukan apa yang kita suka. Kita hilang kebolehan untuk melihat, memikirkan, memahami dan mengambil pengajaran dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Kita sudah "terhijab" dari melihat pintu-pintu kebaikan.

Manusia di sekeliling kita juga seperti tidak sedar akan keadaan kita dan selalu saja ada yang menghalang mereka dari mengajak kita ke arah kebaikan. Bahkan, sekalipun telah datang pesanan kebaikan itu kepada kita, kita sendiri yang akan mengendahkannya kerana kejahilan pada diri kita.

Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaanKu. Mereka jika melihat tiap-tiap ayat(Ku), mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka selalu lalai daripadaNya

- Al-A'raaf : 146

Ayuh renung sejenak, tentu ada orang seperti di atas yang dikenalimu. Kadangkala sedih melihat mereka dengan ideologi barat dan kafir mereka. Begitulah hukum Allah, ringkas.

Mereka telah lupa kepada Allah, maka Allah melupakan mereka

- At-Taubah : 67

Hm.... Jadi bagaimanakah caranya untuk sentiasa mengingati Allah? Allah telah pun memberi petunjuk (hint) di dalam kitabNya.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata) : Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka

- Ali Imran: 190-191

Jangan hanya menyebut takbir ketika melatah. Bertasbihlah lalu bertahmidlah, lalu bertahlillah, terus bertakbir memaha besarkan asma-Nya.

Semoga kita beramal seperti seorang muslim sehingga kita berupaya melaungkan "saksikanlah, aku seorang muslim!" tanpa keraguan.

Wallahu'alam. Bersama kita amalkan. Segala yang baik datang dari Allah, dan segala yang datangnya dari Allah adalah terbaik untuk kita.

Thursday, May 12, 2011

Gerbang Perkahwinan : Kurniaan, Ibadah & Dakwah

Allah Taala telah menjadikan perkahwinan di antara tanda-tanda kekuasaanNya.

Menurut Syeikh Prof. Muhammad Ali al-Sabouni di dalam kitabnya az-Zawaaj al-Islami al-Mubakkir, Allah Taala menganugerahkan tiga kurniaan kepada hamba-hambaNya yang telah hidup berkeluarga (berkahwin) iaitu:

01.Pertama:
Isteri merupakan seorang manusia mulia yang Allah Taala ciptakan dari jenis yang sama dengan lelaki (suami). Oleh itu, kemuliaan suami itu menjadi sejajar dengan kemulian dan kemanusiaan isterinya juga.

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. (Surah ar-Rumm: Ayat 21).

Allah Taala juga menciptakan isteri dari jenis yang sama agar mereka saling kenal-mengenali dan berkasih-sayang sepertimana kata orang: Setiap jenis akan berkasih sayang dengan sesamanya juga.

Begitu juga dengan sebuah syair Arab yang indah ini:

Dalam asmara aku telah dikenakan baju indah bersulam cinta
Oleh seorang gadis yang amat jelita
Hingga purnama pun malu di hadapannya
Bila mata ini berbuat salah kerananya
Maka dengan airmata ia basuh semua dosa.

02.Kedua:
Ketenteraman dan ketenangan jiwa yang dirasakan oleh suami ketika berdampingan dengan isteri yang solehah. Ini akan membawa kepada ketenteraman dan ketenangan dalam kehidupan berumahtangga.

Firman Allah Taala bermaksud:
Isteri-isteri supaya kamu merasa tenteram kepadanya. (Surah ar-Rumm: Ayat 21).

Isteri yang menjadikan suami merasa tenteram dan suami juga menjadikan isteri merasa tenang menepati firman Allah Taala bermaksud:

Dialah yang menciptakan kalian dari diri yang satu dan darinya Dia menciptakan isterinya agar dia merasa senang kepadanya.
(Surah al-Araaf: Ayat 189).

03.Ketiga:
Dengan ikatan kasih sayang dan cinta maka Allah Taala mengikat hati suami dan isteri itu.

Firman Allah Taala bermaksud:
Dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. (Surah ar-Ruum: Ayat 21).

Tanpa adanya nikmat ini nescaya seseorang suami tidak akan merasa senang kepada isterinya.

Dengan kekuasaan-Nya maka tertanamlah perasaan cinta ini sehingga apa yang menyakiti akan disakiti bersama dan apa yang disenangi akan disenangi bersama.

Perkahwinan Itu Satu Ibadah

Secara umumnya kita telah mengetahui bahawa perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW. Perkahwinan juga adalah suatu ibadah serta salah satu cara mendekatkan diri kepada-Nya.

Dengan perkahwinan, seseorang Islam itu akan mendapat ganjaran dan pahala daripada Allah Taala bilamana perkahwinan itu dilakukan dengan ikhlas dan bukan kerana nafsu semata-mata.

Bahkan hubungan kelamin di antara suami isteri juga mendapat ganjarannya.

Sebuah hadis Rasulullah SAW bermaksud:

"Dan pada kemaluan seseorang dari kalian terdapat sedekah. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah seseorang yang menyalurkan nafsu syahwat (kepada isterinya) memperolehi pahala? Rasulullah SAW bertanya: Apakah seseorang yang menyalurkan nafsu syahwatnya dengan cara yang haram (berzina) ia berdosa? Mereka menjawab: Betul. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Demikian juga jika ia menyalurkan pada tempat yang halal maka ia akan memperolehi pahala."
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan Ahmad).

Halangan Dalam Melaksanakan Dakwah

Mungkin ada yang bertanya sendirian, mengapa saya memilih tajuk ini? Bukankah tajuk 'hebat' yang lain lebih banyak untuk dibicarakan?

Saya memilih tajuk ini kerana saya teringat satu tulisan ulama yang pernah saya baca suatu ketika dahulu mengenai halangan-halangan utama untuk berdakwah.

Di antara halangan tersebut ialah suami/isteri serta keluarga.

Asas dakwah sudah tentulah bermula dari institusi keluarga dengan suami dan isteri menjadi ketuanya.

Jika mereka sendiri tidak sehaluan dan rapuh pegangannya, mana mungkin dakwah ini dapat dijalankan dengan jayanya di rumah, apatah lagi untuk masyarakat Islam yang lain.

Oleh itu, suami atau isteri (serta bakal) perlu memahami perkara ini dengan sebaiknya agar usaha dakwah kita tidak terbantut di tengah jalan.

Kesimpulan ringkas dari tazkirah kali ini ialah:
1. Perkahwinan itu satu ibadah dan anugerah dariNya.
2. Percepatkan perkahwinan jika sudah bersedia.
3. Selain memilih pasangan hidup yang beragama, pasangan hidup yang memahami perjuangan kita juga perlu diutamakan.
4. Suami dan isteri perlu melayari bahtera rumahtangga dengan perasaan kasih sayang dan cinta.
5. Mendidik anak dengan agama adalah tanggungjawab ibubapa.

Biarlah Kesudahan Kita Dan Dia Di Syurga

Ramai manusia diserang masalah berkaitan hati, cinta yang diraih seringkali gagal.

Kadang-kadang kita juga sering salahkan takdir, sedangkan kita sebenarnya gagal menempatkan hati pada langkah pertama lagi.

Mengalami masalah hati dan jiwa setiap hari, tapi tidak jumpa solusi yang pasti, selalu membuat kesimpulan gunakan hati (nafsu), bukan berdasarkan al-Quran dan al-Hadith.

Semua insan di dunia inginkan kesenangan dan kebahagiaan.

Justeru, kekadang bila kita melalui hari dengan mudah pada satu-satu hari, rasa bersyukur teramat sangat.

Manakan tidak, setiap hari sebelum memulakan hari baru, kita (niat) sentiasa berdoa demi kebaikan sepanjang hari pada hari tersebut, bermula pada langkah pertama.

Kekadang kita terlalu takut jika Allah Taala tidak menyayangi kita, bila mana kita tidak ditimpakan ujian walau sebutir zarah pada hari-hari yang kita hadapi.

Ujian ini, bukan untuk menakutkan diri, tapi mencari hikmah yang tersembunyi.

Berterima kasihlah kepada Allah Taala kerana masih ditarbiah hati ini.

Cinta melulu hanyalah cinta buat orang yang lemah imannya. Itulah yang berlaku dalam kehidupan kita selama ini.

Terlalu sayang, sayang hingga bisu untuk menegur kesalahan. Sudah ketara, tapi buat-buat lupa, sudah tahu dan nyata, tetapi pura-pura buat buta.

Hinggakan diri sendiri pun terikut-ikut dan sama-sama jadi buta, gelap gelita.

Ya, bila ujian Allah Taala datang mendidik diri, baru sedar, baru terngadah.

Tapi syukur Allah Taala datangkan jua rasa redha di hati ini.

Mujurlah jua Allah Taala tunjukkan jalan mengajar hati redha, terima hakikat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)" asy-Syam (91:9-10)

Pasti kalian pernah merasai saat genting ini. Ada yang selepas berumahtangga, pengamalan agama dianggap enteng.

Jika dahulu impian ingin membina bait-muslim itu cukup tinggi tetapi apabila ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang dilakukan, pasangan hanya mengambil langkah berdiam diri hanya kerana cinta, inilah cinta buta tidak nampak akan kesalahan, matlamat pula menghalalkan cara.

Bila cinta Tuhan diketepikan dan kasih sayang makhluk mendasari hati, nafsu menjadi raja dalam diri, kalam Tuhan tidak lagi diikuti. Sesungguhnya manusia apabila mencintai makhlukNya dan mendahului mereka dari Allah, maka tunggulah janjiNya.

Kadang-kadang untuk menyeru kepada kebaikan agak sukar kerana sesetengah orang akan lebih nampak kepada keburukan.

Namun begitu, kita boleh terus berusaha dan istiqamah dalam membuat kebaikan.

Kebaikan tidak semestinya melalui lisan, tetapi boleh juga melalui perbuatan. Kadang-kadang apa yang kita buat lebih memberi kesan berbanding dengan apa yang kita cakapkan. Dunia ini adalah madrasah cinta kita cari.

Allah Taala sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama.

Namun diteruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah.

Allah Taala akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami.

Manusia bijak akan menjadi orang lain bergantung kepadanya, bukan sebaliknya. Dia tidak pernah bersikap dan mengambil keputusan dengan mengharapkan orang lain turut sama berendam dalam masalah peribadinya.

Bahawasanya seorang muslim itu mempunyai falsafah hidup, prinsip, risalah, dan ketentuan yang lebih agung daripada hanya sekadar mengharap, balas dendam, dan benci.

Perjalanan hidup berumahtangga sebahagian surat cinta Ilahi. Bahawa dugaan, kepahitan, perpisahan adalah antara isi kandungan surat cinta ini.

Ada yang tersirat di sebalik yang tersurat.

Mendepani surat cinta ini, inshaAllah akan menyuburkan cinta, sekiranya kita menerimanya sebagai satu tarbiah daripada Allah.

Percayalah, kita pasti akan bertemu dalam suasana yang lebih indah dan manis selepas kebahagian.

Kesulitan ini adalah mahar buat saat yang indah itu.

Berbahagialah isteri-isteri yang menjadi solehah hasil bimbingan dan pimpinan para suami soleh.

Beruntunglah isteri-isteri meredhai kehidupan rumahtangga yang dibina.

Kesusahan dan kesulitan sudah menjadi pakaian harian, nilai kasih sayang antara penghuni rumahtangga didahulukan.

Mempunyai peranan.

Peranan takwa dan iman itulah, yang menjadi pasak melahirkan serta mengekalkan konsisten keharmonian cinta yang dirasai dengan cara dan sudut yang pelbagai nantinya.

Banyak versi dan variasi.

Kursus perkahwinan pastinya belum memadai membenihkan nilai-nilai yang perlu kepada bakal pasangan, jika sahaja kayu ukur sebaik para pejuang agama sebahagiannya juga ditakdirkan untuk kecundang.

Ingatlah, ramai pasangan berpisah kerana putus cinta.

Cinta yang matang itu, tidak buta dengan kesalahan dan kekurangan orang lain.

Celik, tetapi hati yang cinta akan berdoa dan berusaha untuk memperbaikinya. Kita terima seadanya.

Dia hamba, kita juga hamba.

Hamba itu lemah dan sentiasa bersalah. Pohonlah kemaafan dan bersedia memaafkan.

Thursday, April 21, 2011

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

Seringkali dicanang dan dimomokkan di dalam cerita seram yang ditayangkan di television bahawa sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia. Kenyataan ini meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada Al-Quran dan hadis. Bagaimanapun, ia seolah-olah sudah menjadi fakta yang diterima ramai sehingga penerbit filem seram berani menggunakan kenyataan di atas sebagai dialog yang digunakan di dalam filem mereka.

Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan perihal jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib. Oleh kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata. Manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca Al-Quran dan Al-Sunnah.

Firman Allah ;

يَا بَنِي آدَمَ لا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطَانُ كَمَا أَخْرَجَ أَبَوَيْكُمْ مِنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْآتِهِمَا إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ

Wahai anak-anak Adam! janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.

(Al-Araf :27)

Hanya kedua-dua sumber itu mampu menelah dan menembusi alam jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam jin perlu terlebih dahulu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan minda.

Kenyataan yang terlalu umum "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia" ini secara tidak langsung akan menzalimi sebahagian jin Islam yang dipuji Allah SWT dan disebut kisah mereka di dalam Al-Quran. Mereka ialah generasi awal jin Islam yang bertanggungjawab menyebarkan Islam kepada makhluk jin kerana jin dan manusia mempunyai tanggungjawab agama dan akan dihisab di akhirat kelak (Al-Rahman [55:31-36]).

Generasi awal jin Islam yang disebut kisah mereka dalam Al-Quran ini selayaknya digelar sahabat nabi kerana memenuhi ciri serta takrifan para ulama hadis iaitu sesiapa sahaja yang bertemu dan beriman dengan Nabi Muhammad SAW.

Sekiranya kenyataan "sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia" ini terus dipegang, kita secara tidak langsung akan menghukum para sahabat Nabi Muhammad SAW jauh lebih jahat daripada manusia, sedangkan para ulama sepakat mengatakan para sahabat adalah adil dan baik.

Generasi awal jin ini juga diiktiraf sebagai rasul atau utusan pendakwah dalam kalangan mereka.

Firman Allah:

يَا مَعْشَرَ الْجِنِّ وَالإنْسِ أَلَمْ يَأْتِكُمْ رُسُلٌ مِنْكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ آيَاتِي وَيُنْذِرُونَكُمْ لِقَاءَ يَوْمِكُمْ هَذَا قَالُوا شَهِدْنَا عَلَى أَنْفُسِنَا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا وَشَهِدُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَنَّهُمْ كَانُوا كَافِرِينَ

"Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu rasul-rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?")

(Al-An'am : 130)

Hakikatnya, para rasul hanya diutus dalam kalangan manusia. Namun begitu, rasul dari kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul atau pendakwah dari kalangan jin yang mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad SAW(Tafsir al-Razi). Kisah mereka ini boleh didapati di dalam Al-Quran.

Sebuah hadis turut merekodkan baginda Rasulullah SAW pernah memuji para sahabatnya dari golongan jin yang begitu sensitif terhadap Al-Quran. Baginda pernah membacakan surah Al-Rahman dari awal sehingga akhir kepada para sahabat. Selain itu, para ulama hadis seperti Imam Ibn Hajar Al-Asqalani tidak ketinggalan menyenaraikan nama golongan awal jin bersama nama para sahabat nabi yang lain. Antara nama yang disebut adalah Zawba'ah, Al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (Al-Isabah fi Ma'rifat aAl-Sahabah).

Mungkin ada segelintir pihak cuba mempertahankan kenyataan meragukan tersebut dengan mengatakan bukti harian jelas menunjukkan jin banyak melakukan kerosakan dan kebiadapan terhadap manusia. Banyak sekali hasutan dan rasukan berlaku yang memporak perandakan hidup manusia. Sebenarnya kejahatan serta kebiadapan itu tidak hanya berpunca daripada jin, bahkan ia juga berpunca daripada kejahatan manusia.

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (٤١)قُلْ سِيرُوا فِي الأرْضِ (٤٢)فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلُ كَانَ أَكْثَرُهُمْ مُشْرِكِينَ

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi ini, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan). Kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik."

(Al-Rum : 41-42)

Oleh itu, pihak yang selalu menggunakan kenyataan tersebut perlu terlebih dahulu merujuk kepada sumber Islam bagi mengelakkan kejadian sebegini terus berlaku.

RENUNG-RENUNGKAN..DAN SELAMAT BERAMAL.. ^_^

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...