Tuesday, August 2, 2011

Menangislah Wahai Saudaraku !

Tangisan adalah suatu fitrah bagi setiap makhluk bergelar manusia. Sejak dari awal kelahirannya, hinggalah ke akhir hayat setiap manusia, pasti tangisan akan menghiasi kamar hidupnya. Banyak punca yang menyebabkan air mata berlinangan namun berapa ramaikah dari kita yang tangisnya adalah kerana takutnya ia akan Allah S.W.T? Berapa ramaikah dari kita yang menangis akibat menghitung setiap inci dosa dan noda yang telah kita lakukan?

Wahai saudaraku, ketahuilah olehmu bahawa tangisan yang jatuh ke bumi kerana takutkan Allah membawa makna bahawa kita termasuk dalam golongan orang yang beriman kepada Allah sebagaimana firman Allah S.W.T.

"Dan takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman" (Surah Al-Imran : 175)

Wahai saudara yang kukasihi, menangis kerana Allah akan mengangkat martabat diri hingga termasuk dalam golongan penghuni syurga Allah yang penuh dengan segala kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Bahkan darjat juga akan ditinggikan oleh Allah selaras dengan janji-Nya yang berbunyi :

"Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga" (Surah Ar-Rahman : 46)

Seorang Khalifah yang agung dimuka bumi Allah ini tidak pernah asing dengan tangis dan hiba saat meratapi akan segala dosanya kepada Al-Ghafur. Lihat sahaja mereka yang dekat dengan Tuhan sekalian alam seperti kekasih Allah, Rasulullah S.A.W, para sahabat R.A, para tabi'in dan tabi'tabi'in , semuanya bercucuran air mata kerana takutnya mereka kepada Allah.

Rasulullah S.A.W sendiri menangis kerana takutkan Allah. Seorang Nabi dan kekasih Allah yang dijanjikan syurga dan maksum. Pernah suatu ketika sedang Rasulullah S.A.W duduk bersama-sama dengan para sahabat, tiba-tiba baginda menoleh pandangannya kearah sekumpulan manusia seraya bersabda " Apakah yang sedang mereka lakukan?". Salah seorang dari sahabat menjawab, "Mereka sedang menggali kubur untuk mengebumikan seorang yang telah meninggal dunia."

Sebaik mendengar jawapan itu, Baginda berganjak dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendahului para sahabatnya. Akhirnya baginda tiba di tanah perkuburan itu dan mencangkung berhampiran kubur tersebut. Para sahabat mengambil tempat dihadapan Baginda Rasulullah agar dapat melihat apa yang akan dilakukan oleh Baginda. Mereka melihat Rasulullah S.A.W menangis sehingga air mata menitis ke pipinya kemudian berkata kepada sahabat, "Wahai saudara-saudaraku, kalian harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peristiwa seperti hari ini (kematian)."Bagitulah ketakutan Kekasih Allah yang mulia. Bagaimanakah dengan kita sebagai umatnya?

Menangis kerana takutkan Allah akan menyelamatkan kita dari seksaan dan azab Allah yang pedih, menempatkan kita didalam syurgaNya dan menikmati segala kenikmatan yang tidak dapat dibayang oleh akal fikiran. Ubay bin Ka'ab berkata, "Kalian harus memegang ajaran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Bukan termasuk orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringat seksaan Allah, namun dia tidak menitiskan air mata kerana takut kepada seksaNya. Maka orang seperti ini akan bersama-sama api neraka untuk selama-lamanya". Orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringatkan Allah, maka pasti akan ketakutan dan bergetar jantungnya kerana takut pada siksaan Al-Muntaqim. Dosa-dosa orang seperti ini akan berguguran seperti mana gugurnya daun-daun dari pohon yang ditiup angin.

Hisablah diri kita sejenak, bermuhasabahlah dan berfikirlah perihal kehidupan di negeri yang kekal abadi. Adakah kita pernah menangisi dosa-dosa kita? Bilakah kali terakhir pipi dibasahI dengan linangan air mata keinsafan? Hanya Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat segala sesuatu perbuatan. Moga dikurniakan Allah dengan perasaan ketakutan terhadap dosa.

Menangislah, Wahai Saudaraku...

Tuesday, July 26, 2011

Alahai Filem Kita

Setiap kali saya melihat cerita-cerita Melayu di televisyen mahupun di wayang, semestinya ada adegan zina.

Saya bertanya pada diri sendiri, apakah bangsa saya ini dilahirkan untuk menjadi seorang 'dogol'.

Kemudian saya lihat di dada-dada akhbar, tajuk utama yang selalu dipaparkan adalah;

"Dirogol Teman Lelaki"
"Ayah Ditahan Kerana Sumbang Mahram"

Kebanyakan berita sensasi adalah berkaitan dengan zina.. Nauzubillah..

Ia telah menjadi fenomena bagi setiap penerbit filem untuk memasukkan adegan ini sebagai daya penarik bagi meningkatkan statistik penonton yang menonton filem terbitan mereka tanpa memikirkan kesan negatif hasil daripada perbuatan mereka kepada pembentukan masyarakat berakhlak. Jika tidak, mengapa hampir setiap hari saya asyik melihat adegan ini.

Dalam setiap perniagaan, tidak ada sesiapapun yang menyangkal keuntungan adalah penting. Walau bagaimanapun, setiap individu, kumpulan, masyarakat.. masing-masing perlu ada tanggungjawab sosial terhadap masyarakat sekeliling mereka termasuk seorang penerbit.

Mereka perlu ingat kebanyakan penonton yang melihat drama yang berbentuk sebegini adalah terdiri daripada golongan pelapis generasi akan datang.. iaitu daripada golongan saya, golongan muda. Golongan pemimpin masa akan datang.. pembentuk generasi akan datang.

Golongan ini sebenarnya masih berada di alam belajar. Alam untuk mencari pengalaman sebagai pegangan alam dewasa kelak.

Bagaimana kami hendak menjadi seorang baik, sekiranya kami asyik dihidangkan dengan filem-filem sebegini.

Kami yang melihat aksi-aksi zina ini kemudiannya akan menceritakan kepada rakan-rakan yang lain dan kemudian rakan-rakannya akan berceritakan aksi-aksi ini kepada yang lain.

Orang yang tidak mementingkan masa hadapan, hanya memikirkan tentang diri sendiri sahaja mungkin berkata mereka masih mempunyai pedoman daripada melakukan zina.

Adakah perkara tersebut benar? Berapa ramaikah yang melihat filem atau drama di wayang atau televisyen? Seorang? Sepuluh orang? Atau hanyalah seratus orang?

Atau mungkinkah beribu orang? Adakah mereka semua mempunyai pedoman yang kuat untuk tidak melakukan zina? Wallahualam.. Andai kuat pasti tiada kes-kes rogol/ sumbang mahram atau sebagainya akan hangat diperbincangkan.

Kita tidak perlu mengikut 'trend' filem-filem barat, jadilah seperti kita sendiri. Kita mempunyai pegangan dan budaya. Terbitkan filem berlandaskan agama dan budaya masyarakat kita.

Jangan kerana kesilapan kecil kita memberi impak besar kepada generasi pelapis seterusnya. Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan sekarang akan dipersoalkan di Akhirat nanti.

Di usia saya yang akan mencapai 22 tahun ini, saya dan rakan-rakan segenerasi saya berharap supaya kami tidak menjadi seorang penzina dan penakut seperti yang dikatakan oleh Norden Mohamen dalam artikelnya "Mengapa Kita Terbeli Ketakutan."

Doakan kami insan yang lemah mampu menjadi Muslim yang baik. Insya-Allah. Jangan jadikan generasi kami generasi yang mengalami keruntuhan akhlak. Bentuklah generasi kami menjadi generasi yang berpandukan syariat Allah.

Kehebatan Doa

Kali pertama bumi diciptakan, bumi selalu bergoyang, bergoncang dan tidak berputar dengan stabil malah tidak berputar pada paksinya. Pekara ini merungsingkan para malaikat lalu para malaikat menghadap Allah SWT;

"Wahai Rabb Yang Maha Mengetahui, mengapa bumi ini bergoyang?" Tanya para malaikat.

"Kerana belum dipaku." Jawab Allah singkat.

"Lalu, bagaimana Engkau memaku bumi Wahai Rabb?" Tanya malaikat lagi.

"Aku akan menciptakan gunung-ganang." Jawab Allah.

Setelah itu, Allah terus menciptakan gunung-ganang di berbagai belahan bumi. Apa yang terjadi adalah sememangnya benar setelah diciptakannya gunung-ganang, bumi pun diam kemudian berputar sesuai paksinya. Maka kemudian gunung dikenali sebagai paku bumi yag diciptakan Allah SWT. Paku merupakan benda keras yang terbuat dari besi. Setelah Allah menciptakan paku bumi iaitu gunung-ganang, kemudian para malaikat pun bertanya lagi;

"Ya Rabb, adakah yang lebih kuat dari paku?"

"Ada!" Jawab Allah. "Iaitu api, yang dengan panasnya dapat melelehkan besi."

"Adakah yang lebih kuat lagi selain api, Ya Rabb?" Tanya malaikat.

"Ada! Yakni air yang dapat memadamkan api." Jawab Allah lagi.

"Jadi Ya Rabb, adakah yang lebih kuat dari air?" Sambung malaikat.

"Ada! Iaitu angin, yang kerananya dapat membawa air ke mana pun ia berhembus." Jawab Allah lagi.

"Tapi Ya Rabb, adakah yang lebih kuat daripada semua itu (gunung, api, air dan angin)?" Malaikat bertanya lagi.

"Ada! Iaitu nafas hamba-Ku yang berdoa kepada-Ku. Kerana sesungguhnya doa itu mampu mengubah takdir-Ku." Demikian Allah SWT menjelaskan..

(Sumber: Hadis Kudsi).

Pelajaran dari cerita di atas: Gunakan kehebatan doa untuk ubah nasib kita!

Madrasah Ramadhan

Ramadhan merupakan madrasah agung yang banyak untuk kita pelajari daripadanya. Cara terbaik untuk mengenali tetamu yang mulia ini ialah dengan melihat bagaimana Rasulullah saw menyambut bulan ini.

Bagaimana baginda bersedia untuknya? Sejak bulan Rajab lagi baginda sudah berdoa "Ya Allah berkatilah kami dalam bulan Rajab dan Sya'ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan". Inilah persedian jiwa dan kerinduan muslimin yang inginkan segala kebaikan yang terkandung dalam bulan ini.

Ramadhan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik. Pakar psikologi menyatakan bahawa: jika manusia ingin mengubah sikapnya, hendaklah dia berterusan membiasakan dirinya dengan sikap yang baru selama 21 hari, inilah Ramadhan yang datang untuk membiasakan kita dengan sikap positif selama 30 hari! Semoga Ramadhan mampu membiasakan kita dengan sifat-sifat berikut:

1. Ikhlas: Puasa merupakan satu-satunya ibadah yang menjadi rahsia antara hamba dan TuhanNya. Ibadah yang khusus untuk Allah swt. Ibadah lain seperti sujud dan korban boleh dibuat selain kerana Allah tetapi kita tidak dapati seseorang puasa kecuali kerana Allah swt.

2. Sabar: Seorang muslim berlatih untuk bersabar dan memikul bebanan. Pada bulan-bulan lain mungkin kita selalu marah dan bersikap kurang sabar, tetapi dalam bulan Ramadhan kita akan bersabar sehingga waktu berbuka puasa.

3. Penyantun: Sekiranya seseoarang dicaci atau diejek, dia terus berkata: "Ya Allah aku sedang berpuasa", maka ini melatih kita untuk menahan marah.

4. Disiplin dan ketepatan masa: Waktu adalah kehidupan, seperti yang dinyatakan Hassan al-Banna. Pada bulan-bulan lain kita jarang sekali melihat kepada jam waktu, tetapi dalam Ramadhan kita sentiasa meneliti waktu seperti sahur, berbuka puasa dan waktu azan.

5. Kesatuan ummah: Bilangan muslimin seluruh dunia mencapai 1 billion. Bayangkan jumlah yang sebegitu ramai bersama-sama berpuasa dan berkumpul untuk beribadah.

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡہِم بَرَكَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَـٰهُم بِمَا ڪَانُواْ يَكۡسِبُونَ
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
(Surah Al-A'raf 7: Ayat 96)

Friday, July 22, 2011

Kisah Rasulullah dan Buah Limau

"Suatu hari Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita kafir. Ketika itu baginda bersama beberapa orang sahabat. Wanita itu membawa beberapa biji buah limau sebagai hadiah untuk baginda. Cantik sungguh buahnya.Siapa yang melihat pasti terliur. Baginda menerimanya dengan senyuman gembira. Hadiah itu dimakan oleh Rasulullah SAW seulas demi seulas dengan tersenyum.

Biasanya Rasulullah SAW akan makan bersama para sahabat, namun kali ini tidak. Tidak seulas pun limau itu diberikan kepada mereka. Rasulullah SAW terus makan. Setiap kali dengan senyuman, hinggalah habis semua limau itu. Kemudian wanita itu meminta diri untuk pulang, diiringi ucapan terima kasih dari baginda. Sahabat-sahabat agak hairan dengan sikap Rasulullah SAW itu.

Lalu mereka bertanya. Dengan tersenyum Rasulullah SAW menjelaskan "Tahukah kamu, sebenarnya buah limau itu terlalu masam semasa saya merasainya kali pertama. Kiranya kalian turut makan bersama, saya bimbang ada di antara kalian yang akan mengenyetkan mata atau memarahi wanita tersebut. Saya bimbang hatinya akan tersinggung. Sebab tu saya habiskan semuanya."

Begitulah akhlak Rasulullah SAW. Baginda tidak akan memperkecil-kecilkan pemberian seseorang biarpun benda yang tidak baik, dan datangnya dari orang bukan Islam. Wanita kafir itu pulang dengan hati yang kecewa kerana sebenarnya dia bertujuan ingin mempermain-mainkan Rasulullah SAW dan para sahabat baginda dengan hadiah limau masam itu. Malangnya tidak berjaya. Rancangannya ditewaskan oleh akhlak mulia Rasulullah SAW.

Wallahualam...

Thursday, July 21, 2011

Kisah Masyitah dan Bayinya.


Fir’aun, raja zalim yang memerintah Mesir ribuan tahun lalu, mengaku dirinya Tuhan. Dia meminta setiap rakyatnya mengakui dan menyembahnya. Mereka yang ingkar dibunuh.

Seorang sahabat baiknya yang juga penjaga perbendaharaan negara, Hazaqil, tidak setuju Fir’aun mengakui dirinya Tuhan.

Pada suatu hari, ketika Fir’aun menjatuhkan hukuman mati ke atas 40 orang ahli sihir yang telah beriman kepada Allah, Hazaqil sangat tidak setuju.

Hazaqil menghadap Fir’aun dan membantah hukuman itu.

“Tuanku, patik tidak setuju dengan hukuman mati ke atas 40 ahli sihir itu. Walaupun mereka beriman kepada Allah, mereka sudah berjasa kepada negara kita ini,” Hazaqil mempertikaikan hukuman yang dijatuhkan oleh Fir’aun.

“Mereka dihukum mati kerana tidak mengakui beta sebagai Tuhan mereka!” tegas Fir’aun dengan nada marah, sambil menambah:

“Kalau kamu mempertahankan nasib ahli-ahli sihir itu, itu bermakna kamu juga seorang daripada mereka yang beriman kepada Allah.”

Fir’aun mula berfikir mengapa Hazaqil mempertahankan nasib 40 ahli sihir yang dihukum mati itu.

“Oleh kerana kamu salah seorang daripada mereka, beta jatuhkan hukuman mati ke atas kamu,” kata Fir’aun tanpa teragak-agak menjatuhkan hukuman mati ke atas sahabat yang juga pegawai kerajaannya itu.

Hazaqil dibawa keluar dari istana. Dia diikat pada sebatang pohon kurma. Dia kemudian dipanah pengawal Fir’aun sehingga mati.

Isteri Hazaqil, iaitu Siti Masyitah, yang bertugas sebagai pendandan puteri Fir’aun, berasa sangat sedih dan kecewa atas pembunuhan suaminya itu.

Dia semakin benci melihat wajah Fir’aun dan keimanannya kepada Allah semakin teguh.

Pada suatu pagi, ketika Siti Masyitah menyikat rambut puteri Firaun, dia teringatkan suaminya. Tumpuan kepada tugasnya hilang. Tiba-tiba sikat yang digunakan menyikat rambut puteri Fir’aun jatuh ke lantai.

“Allahu Akbar,” kata Siti Masyitah lalu mengambil sikat itu.

“Masitah, kamu akan dihukum kerana berkata begitu. Apakah ada Tuhan lain selain ayahandaku?” tanya puteri Fir’aun.

“Ya. Memang ada Tuhan yang patut disembah, bukan ayahanda tuan puteri,” kata Masyitah dengan tegas dan berani.

Puteri sangat marah, lalu mengadu hal itu kepada bapanya. Darah Fir’aun menyirap mendengar kata-kata anaknya. Dia lalu meminta Masyitah menghadapnya.

“Siapakah Tuhan kamu?” Tanya Fir’an dengan marah.

“Allah, itulah Tuhan saya,” jawab Masyitah dengan tegas.

“Biadab! Kamu akan dihukum sebab menghina beta,” tegas Fir’aun lalu memerintahkan pengawal memasak minyak dalam kuali yang sangat besar untuk dihumbankan Masyitah ke dalamnya.

“Dengar rakyat semua, inilah hukuman kepada orang yang tidak mengaku beta sebagai Tuhan.”

Fir’aun terus memandang Siti Masyitah. Dia berkata: “Beta beri satu peluang terakhir kepada kamu, adakah kamu mengaku beta sebagai Tuhan kamu?”

Siti Masyitah tidak peduli. Baginya, biarpun dia dihukum, keimanannya kepada Allah tidak akan berubah.

Tiba-tiba, anaknya yang masih bayi, dengan izin Allah, berkata:

“Wahai ibu, janganlah terpedaya dengan kata-kata syaitan yang dilaknat Allah. Kematian kita akan mendapat rahmat daripada Allah dan pintu syurga sentiasa terbuka menanti kedatangan kita.”

Siti Masyitah terkejut mendengarkan bayinya boleh berkata-kata. Dia bersyukur kepada Allah lantas dengan hati tabah, menuju ke kuali besar berisi minyak panas itu.

“Allahu Akbar!” teriak Siti Masyitah lalu terjun bersama dua orang anaknya ke dalam kuali itu.

Orang ramai yang hadir dan melihat kejadian itu berasa terkejut dan sedih melihat Siti Masyitah dan dua anaknya menjadi korban Fir’aun demi mempertahankan agama Allah.

Tiba-tiba mereka terhidu bau yang sangat harum keluar daripada kuali besar berisi minyak mendidih yang telah ‘memasak’ Masyitah dan anak-anaknya itu.

--->> Terlintas untuk menulis dan mencari kisah ini setelah mendengar kuliyyah maghrib semalam yang membicarakan bab tentang aqidah dimana ada disebutkan tentang kisah ini bersama semasa sesi tersebut.. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat dari kisah ini.. ^_^

Wednesday, July 20, 2011

Kiranya Ini Dikatakan Taman Syurga

Alhamdulillah kerana dengan izin dari Allah, kita dipertemukan lagi di ruangan yang menemukan kita hanya melalui baris-baris bicara.

Damai rasanya berada di bawah sinar mentari yang seakan menyembunyikan dirinya sejak awal pagi tadi.

Subhanallah... titis-titis jernih ini mengalir lagi tatkala memandang ke langit yang luas memayungi bumi.

Bersyukur kerana masih jua diberi helaan nafas dan menikmati keindahan ciptaan-Nya.

Kisah yang ingin aku titipkan kali ini, merupakan satu kisah yang mungkin menjadi anugerah dari Allah buat insan kerdil dan hina ini.

Terfikir juga untuk tidak berkongsi, tetapi rasanya tidak ada salahnya andai sedikit rasa bahagia ini ku kongsikan bersama.

Moga Allah memberkati tiap perkongsian dan terus-menerus menghulurkan rasa cinta yang begitu menebal buat-Nya... Insya-Allah.

Seperti biasa, setiap petang Khamis, aku hadir ke kelas pengajian tajwid di surau ar-Rahman, berhampiran kawasan kediamanku.

Biasanya aku tiba lima minit lebih awal sebelum kelas bermula, cuma sesekali terbabas jua seminit dua.

Sudah menjadi amalanku, setiap kali memulakan perjalanan ke tempat pengajian (surau) aku akan berdoa;

Doa Pergi ke Masjid (maksudnya);

Ya Allah,
jadikanlah cahaya di hatiku
cahaya di lidahku
cahaya di pendengaranku
cahaya di penglihatanku
cahaya dari belakangku
cahaya di hadapanku
cahaya dari atasku
dan cahaya dari bawahku.
Ya Allah, berilah aku cahaya... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis bahawa Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi S.A W telah keluar dari rumah Maimunah r.a selepas bertahajud, untuk ke masjid bersolat Subuh. Maka baginda S.A.W telah membaca doa ini.. (sama-sama kita amalkan... Insya-Allah).

Perjalanan ke surau itu mengambil masa lebih kurang 10 minit dari rumah.

Setibanya aku di perkarangan surau, ku lihat belum ramai yang hadir.

Mungkin juga aku yang sedikit awal daripada mereka hari ini.

Kalimah-kalimah suci yang dipasang, menghiasi kamar telinga ku.

Indah ku rasa, damainya jiwa mendengar kalimah yang membesarkan Ilahi. Terhibur benar rasa hati.

Dari situ juga aku tahu, bahawa penganjur kelas, Puan Intan yang ku anggap seperti kakak ku sendiri sudah ada di dalam surau.

Memang menjadi kebiasaan, kak Intan (panggilan sahabat-sahabat padanya) menjadi orang pertama yang hadir di surau.

Beliau yang akan menyediakan keperluan untuk ustaz dan mengemaskini surau sebelum kelas dimulakan.

Sekali lagi, aku membaca doa ketika melangkah masuk ke dalam surau, (amalan yang tidak mahu aku lepaskan... Insya-Allah).

Doa Masuk ke Dalam Surau/ Masjid (maksudnya);

"Ya Allah, ampunilah aku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu... aamiin Ya Rabbal'aalamiin."

Sebaik saja kaki melangkah di pintu surau, terlihat dua orang sahabat menyambutku dengan senyuman.

"Assalamualaikum.." Ucapan salam bersambut.

Tepat jam 5.30 petang, kelas dimulakan dengan membaca ummul kitab, al-Fatihah.

Seusai kata-kata aamin dilafazkan, kami mengalunkan doa Qhatam al-Quran.

Dan setiap kali saat ini tiba hati benar-benar tersentuh.

Malah terasa hamba hina ini bagai merayu dan merintih untuk memohon 'perhatian' dari Yang Allah Maha Esa.

Doa Qhatam Al Quran (maksudnya);

Ya Allah,
Rahmatilah kami dengan al-Quran.
Jadikan ia Pimpinan, Cahaya, Petunjuk dan Rahmat.
Allah ingatkan kami, apa yang terlupa
Ajarkanlah...
Ajarkanlah...
Yang tidak diketahui
Kurniakan kami membacanya
Sepanjang malam
dan sepanjang siang hari
Jadikan ianya hujjah kami (pembela kami di akhirat)
Ya Rabbal'aalamiin...

Di sinilah..
Saat inilah...

Tiba-tiba aku mendengar alunan doa ini begitu merdu dan gemersik sekali.
Allahu Allah...

Bukan suara kami Ya Allah.

Terasa yakin benar diri ini, bahawa suara-suara itu bukan suara kami Ya Allah.

Genangan airmata menjadikan aku bertambah hiba.

Di dada ini bagai terbit satu getar yang tak mampu aku luahkan.

Allahu Akbar!

Apakah ini yang Kau sebut-sebut, sesungguhnya para Malaikat ada bersama-sama hamba-Mu yang mencari ilmu?

Subhanallah.

Dalam kesyahduan yang aku rasakan menjadikan aku tidak mampu lagi untuk mengangkat wajah ini.

Tertunduk malu aku dengan-Mu Ya Allah.

Andai benarlah, apa yang aku dengar ini anugerah dari-Mu, aku bersyukur.

Aku benar-benar bersyukur.

Ya Allah, letakkanlah kami, hamba-hamba-Mu ini, di kalangan mereka yang tidak jemu-jemu ingin menggali ilmu-Mu.

Tiada bekalan terbaik selain ilmu yang kami cari, untuk kami jadikan panduan agar dapat kami beramal pada-Mu.

Ya Allah, tiap ruang dan peluang yang sentiasa Engkau bukakan buat kami, akan kami jadikan satu jalan dalam kami merebut keredhaan-Mu.

Redhailah kami Ya Rabbi.

Limpahilah Rahmat-Mu buat kami Ya Rabbi.

Bahagiakanlah kami di dunia dan akhirat nanti...

Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya dengan-Mu...
Allahu Rabbi.

Walau keindahan yang dapat aku dengari itu hanya sebentar cuma, tapi hingga saat ini, gemersiknya suara yang singgah ke telinga menjadikan aku benar-benar rindu untuk terus berilmu.

Moga apa yang aku kongsikan ini, menjadikan hati kita bertambah rindu dan lunak untuk merebut cinta Allah Yang Maha Esa.

Selagi diberikan keizinan untuk bernafas di bumi pinjaman-Mu ini Ya Allah, aku berjanji untuk terus mencari, mencari ilmu yang akan menjadi bekalan tika aku pulang ke sisi-Mu nanti...

Sunday, July 17, 2011

Aku Mahu Bercinta

Zulaikha : Kau pernah couple tak?

Aku : Err... selama 21 tahun hidup ni aku tak pernah couple.

Zulaikha : Tipu lah! Tak kan sekali pun tak pernah?

Aku : Betul lah. Tak percaya sudah!

Zulaikha : Kau tengok Ain dengan Hasyir tu, sweet kan tengok diorang couple.

Aku : Sweet macam mana tu?

Zulaikha : Ye la! Aku dengar dah lama diorang bersama, dari zaman sekolah lagi. Dekat tujuh tahun tu! kekal lagi diorang sampai sekarang. Alangkah bagusnya kalau aku dapat pakwe macam Hasyir tu.

Aku : Pakwe macam Hasyir?

Zulaikha : Aku ni tiada siapa nak kat aku, aku juga tak pernah couple. Aku tidak pernah rasa cinta dari seorang lelaki, aku rasa macam hidup aku kosong je. Kalau ada pakwe kan seronok. Hmm... ada orang yang ambil berat tentang aku, makan minum aku, sihat ke tidak. Rasanya aku kena tukar stail aku kot supaya aku lebih nampak seksi dan menarik di mata lelaki.

Aku : Astaghfirullah hal’azim...! Kau cakap apa ni Zulaikha? Aku juga tidak pernah couple, tapi aku tidak pernah merasakan kekosongan dalam hidup aku. Sebab aku tahu Allah sentiasa ada bersama hamba-hambanya, jodoh pertemuan itu Allah S.W.T kan dah tentukan. Siapalah kita untuk mempersoalkan kuasa-Nya?

Zulaikha : Aku teringin ada seseorang yang aku cintai dalam hidup aku.

Aku : Zulaikha, setiap manusia itu memang tidak terlepas daripada perasaan ingin bercinta dan dicintai. Cinta itu fitrah cuma jangan sampai cinta itu menjadi fitnah. Kau lihat sahaja pasangan couple yang ada di sekeliling kita. Aku tidak mahu kau menjadi salah seorang daripada mereka! Kekalkan penampilan kau sebegini, biar nampak sederhana asalkan sempurna! Dekatkan diri pada Allah, sentiasa berdoa. Insyaallah, jodoh kau pasti tiba suatu hari nanti.

Saturday, July 16, 2011

Semua Orang Melakukan Kesilapan

KETIKA memandu ke tempat kerja pada setiap pagi, saya biasa berdepan dengan kenderaan yang melanggar lampu merah, berhenti di petak kuning, memandu perlahan di lorong laju, memandu laju dan memotong di lorong perlahan atau pun memintas kereta saya tanpa memberi lampu isyarat pun.

Ada masanya, saya berdepan dengan kenderaan di hadapan yang lambat sangat bergerak ketika lampu isyarat bertukar hijau, kereta yang mengubah haluan dan memasuki lorong saya di tempat pembayaran tol atau membunyikan hon apabila saya mengambil masa yang lama untuk menyeberangi simpang empat.

Apa yang akan saya lakukan apabila ternampak kesalahan-kesalahan jalanraya, kurang timbang rasa pemandu lain atau mereka yang menyusahkan pemanduan saya? Saya tidak lakukan apa-apa. Tersenyum tidak, marah pun saya tidak lakukan. Malah, saya maafkan mereka meskipun saya membebel sendirian. Mengapa? Kerana kesemua kerenah, telatah, gelagat dan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu-pemandu itu sebenarnya pernah saya lakukan.

Maafcakap. Saya tidak berniat langsung untuk menggalakkan pelanggaran etika dan undang-undang di jalanraya. Malah, saya penjunjung kedaulatan undang-undang. Kesalahan-kesalahan itu kadangkala saya lakukan, tidak dibuat hari-hari sebagai satu tabiat seseorang yang suka melanggar peraturan.

Dalam pada itu, saya sedar dan memahami si pelaku kerana saya juga pernah melakukan kesalahan jalan raya sepertinya. Oleh kerana saya pernah buat kesilapan dan kesalahan jalan raya sebagai pemandu, maka saya patut menerima seadanya jika saya ternampak mereka yang melakukan kesilapan dan kesalahan itu.

Pendek kata, jika kita pernah melakukan sesuatu dosa ketika kita lalai, kita mestilah bersedia untuk memahami dan memaafkan mereka yang melakukan dosa yang sama seperti yang pernah kita lakukan. Mungkin, mereka yang melakukan kesalahan itu alpa atau mempunyai masalah lain hingga tidak sengaja atau terpaksa melanggar peraturan.

Sebaliknya, apa yang banyak kita lihat pada hari ini ialah, terdapat mereka yang mengkritik, mencerca, menghina, malah menghukum mereka yang melakukan sesuatu kesalahan, seolah-olah dia atau keluarganya sendiri tidak pernah melakukan kesalahan itu. Seolah-olah dia manusia yang tiada dosa sama sekali. Inilah sikap dua kali lima yang kita anuti tanpa disedari.

Oleh kerana tidak sedar akan kelemahan diri, yang ada ketikanya dua kali lima juga seperti orang lain, maka kita berlagak seperti orang yang amat bagus ketika berada dalam suasana yang baik. Kita mengata orang yang bersolat laju, sedangkan kita sendiri selalu lewat mendirikan sembahyang.

Kita menjegil mata pada orang yang memotong barisan kita di pejabat pos, tetapi kita minta tolong anak saudara kita yang bekerja di bank untuk mendahulukan transaksi kita. Kita memarahi anak yang tidak sudah-sudah hendakkan mainan baru sedangkan kita juga tidak habis-habis menghias kereta hingga kosnya menelan beribu ringgit.

Kita meleteri isteri yang membuang masa dengan bergosip bersama jiran, padahal kita menghabiskan berhari-hari memancing di tempat yang jauh. Kita memarahi kakitangan yang lewat datang mesyuarat, walhal kita terus batalkan mesyuarat bila kita sedar yang kita terlewat menghadirinya.

Sikap dua kali lima ini terjadi apabila kita asyik mencari kesalahan orang tetapi tidak ingat akan kesilapan diri sendiri. Ia berlaku kerana kita suka sangat memandang ke luar, dan tidak pandai memandang ke dalam diri. Muhasabah bukan menjadi cara untuk mengenali kelemahan diri. Kerana tiada cara mentarbiah diri, maka diri dirasakan baik dan bagus sedangkan orang lain buruk. Sikap begini tidak disukai Allah dan Rasul.

Bersabda RasululLah s.a.w: "Wahai sekelian yang mendakwa beriman dengan lidahnya, namun iman tidak masuk ke dalam hatinya, jangan kamu mengumpat kaum muslimin, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesiapa yang mencari-cari keaiban kaum muslimin, maka ALLAH akan mencari keaibannya. Sesiapa yang ALLAH cari keaibannya, maka ALLAH akan mendedahnya sekalipun di rumahnya. (Hadis sahih. Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Bagaimana Untuk Gembira Apabila Ditolak

Dalam membina perniagaan, tentu semua usahawan pernah merasa saat di mana apa yang kita tawarkan ditolak.

Ada yang ditolak mentah-mentah, ada yang ditolak dengan alasan, malah ada yang ditolak dengan cacian, jika tidak kena pada caranya.

Ini hanyalah kegagalan kecil. Orang yang tidak pernah gagal adalah orang yang tidak pernah mencuba. Jika tidak pernah mencuba, tidak mungkin orang itu akan berjaya.

Setelah di'reject' 199 kali, bagaimana untuk kita menerima penolakan dengan hati yang gembira untuk kali yang ke-200 ?

Mudah saja.

Manusia berasa berjaya dengan bersandarkan kepada sesuatu kayu ukur.

Contohnya :

Senario A : Khairul yang menduduki peperiksaan SPM dan mengharap dan berusaha untuk mendapat 13 A 1 tetapi akhirnya hanya mendapat 7 A 1 dan 6 A 2. Teramatkan dia sedih dan kecewa dengan keputusan yang didapati. Khairul malu untuk berjumpa dengan cikgu dan rakan-rakan lain kerana ini.

Senario B : Setelah 2 kali mengambil SPM, Shafiq berusaha keras untuk mendapat keputusan yang lebih baik. Akhirnya, Alhamdulillah, Shafiq berjaya lulus dengan pangkat 3 dalam cubaan kali ketiga. Bapa Shafiq dengan bangga membuat kenduri kesyukuran untuk seluruh kampung mereka.

Jadi sebelum kita membuat apa-apa tawaran. Kita letakan tujuan untuk berjaya tetapi dalam masa yang sama, kita juga bersedia menghadapi yang terburuk jika client untuk membuat penolakan.

Senario yang kita harap (expect) :

Ali : Salam puan X, saya nak buat promosi pinggan mangkuk bercorak Inggeris yang sangat cantik. Puan berminat ke ?

Puan X: Arghhhhhh !!!, pergi mampus ko. Aku benci Inggeris. Ko sebut sekali lagi, aku akan hempuk ko dengan kasut Bata aku ni.!

Senario yang mungkin berlaku :

Ali : Salam puan X, saya nak buat promosi pinggan mangkuk bercorak Inggeris yang sangat cantik. Puan berminat ke ?

Puan X : Maaf dik, akak tak berminat. Nanti akak tengok katalog ini. Terima kasih ya.

Keputusan = anda berjaya.

Akhirnya anda akan menjadi lebih bersemangat dan bertenaga untuk menerima penolakan yang seterusnya.

Dalam menerima penolakan, sentiasa fikir tentang perkembangan dan penambahbaikan.Development and Improvement.

Dalam setiap penolakan kita dapat belajar sesuatu yang baru yang sangat berguna untuk perniagaan kita. Pelanggan akan memberi 1001 alasan.

Maka kita mempunyai 1001 alasan –> soalan yang kita perlu mencari jawapan.

Jika ramai kata mahal, kita kaji harga kita.

Jika ramai kata tak cantik, kita kaji pilihan kita.

Jika ramai kata produk tak sesuai, ubah produk kita.

Jika ramai kata ABCDE, kita cari penyelesaikan untuk ABCDE dan cuba semula.

Kita perlu memahami kehendak masyarakat. (Memahami bermaksud faham betul-betul apa kehendak dan keperluan. Ini bukan bermakna anda perlu mengikut secara membuta-tuli apa yang disuruh oleh pelanggan-pelanggan tadi)

Selamat mencuba dan selamat menerima penolakan. Ingat, setiap penolakan itu membawa anda lebih dekat kepada kejayaan.

Orang yang tidak pernah gagal adalah orang yang tidak pernah mencuba.

Terima kasih

Friday, July 15, 2011

Hakikat Sebuah Perjuangan

Berjuang itu memang pahit. Sebabnya? Kerana syurga itu manis. Bagi saya, itulah jawapan yang paling tepat dan seringkali menjadi pencetus dan pendorong motivasi buat diri yang diuji dengan onak duri sebuah perjuangan.

Sesungguhnya, umat manusia tidak terlepas daripada diuji di dalam kehidupan di dunia yang semakin ke penghujung ini. Kegagalan merupakan salah satu ujian dan cabaran yang menduga kekuatan hati seseorang.

Sekaligus ia menguji kecekalan semangatnya, iaitu sama ada dia mengambil keputusan untuk berputus asa begitu sahaja atau dia nekad untuk meneruskan perjuangannya.

Saya tertarik dengan petikan sajak yang terungkap dalam novel Tautan Hati, karya Fatimah Syarha yang begitu indah sekali maknanya.


Temanku,
Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkat darjatmu di sisi-Nya,
Jika kau reda, sabar dan terus berusaha,
Tapi, kau sememangnya bodoh,
Jika kau langsung tidak berusaha,
Kerana pasti kau akan gagal dan menderita.
Tiada nilaian pahala dari-Nya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau siakan amanah berharga.

Subhanallah, sememangnya perjuangan merupakan satu amanah yang begitu berharga! Satu amanah dan tanggungjawab yang tidak sewajarnya dipandang enteng dan sambil lewa.

Dalam meniti perjuangan suci, ujian dan tribulasi seringkali mengekori langkah. Saya teringat kata-kata puitis salah seorang pensyarah,

"Tiada kehidupan tanpa ujian, tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan dan tiada cinta tanpa air mata..."

Bait-bait indah tersebut terpahat kemas di minda saya sehinggalah sekarang. Begitu hebat kan kuasa kata-kata? Subhanallah. Tiada kehidupan tanpa ujian, dan tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan.

Tanpa ujian, tidak beertinya sebuah kehidupan dan kebahagiaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya pengorbanan. Maka bersabarlah duhai sahabat, kuatkan semangat dan kukuhkanlah iltizam dalam hatimu.

Jangan kita berasa goyah dengan setiap ujian yang menimpa kita. Kerana ujian itu merupakan tanda kifarah dosa dan sebagai tanda kasih serta rahmat Allah daripada Allah kepada kita.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut: 2-3)

Teguhkan hati dan kuatkan kesabaran di dalam sanubari, walaupun beribu rintangan mendatang dalam perjuangan ini. Sesungguhnya,

"Apa yang anda sabarkan anda akan memperoleh hasilnya kerana kesabaran itu akan menolong segala pekerjaan. Ketahuilah dalam kesusahan dan kepayahan itu tersembunyi nasihat-nasihat kebijaksanaan".

Ketahuilah bahawa apabila kita bersabar dan sentiasa meneguhkan kesabaran kita, maka akan timbul kekuatan dalam diri ini dan kita akan turut memperoleh pahala. Namun, apabila kita sentiasa berkeluh kesah, maka akan timbullah kelemahan dalam diri ini.

Ayuh sahabat,
Perjuangan ini perlu diteruskan kerana perjuangan kita terlalu jauh dan memakan masa yang sangat panjang. Entah di mana pengakhirannya. Bukan itu sahaja, dugaan dan tribulasi yang bakal dihadapi juga akan datang secara silih berganti.

Ia hanya dapat dicantas dan diatasi dengan keimanan yang kukuh di samping semangat yang tinggi. Inilah langkah kita duhai sahabat! Ingatlah, perjuangan yang berpaksikan semangat semata-mata tanpa disertai keimanan dalam jiwa akan gagal menepati jalan yang sewajarnya.

Penggabungan semangat dan keimanan amat perlu dalam diri kita dalam menjejakkan kaki ke medan perjuangan suci ini. Sebagai pengakhir kata, saya ingin memetik kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh, yang terkenal dengan kekuatan semangat spiritualnya. Begitu hebat sekali kata-kata dan semangatnya.

"Aku (Muhammad al-Fateh) mempunyai dua sifat. Sifat keras seperti batu iaitu keazamanku mencapai apa yang aku inginkan. Sifat lembut seperti air iaitu ketika aku memohon ampun kepada Tuhanku. Apakah dengan dua sifat ini aku masih tidak boleh mencapai kemenangan".
(Amru Khalid, pemikir Islam kontemporari dalam Kuasa Kepimpinan Al-Fateh, Muhammad Syaari Abdul Rahman, 2011: 95)

Tuesday, July 12, 2011

Merindui Syaaban-Mu

Suatu hadis yang dirawikan oleh Atha bin Yassar, "pada malam Nifsu Syaaban, dihapuskan oleh malaikat maut, setiap orang yang hendak meninggal dunia dari Syaaban ke Syaaban yang lain,Dan seseorang menanam tanaman, menikah isteri serta membangun rumah dimana namanya telah dihapuskan sebagai orang yang mati.Tetapi malaikat maut tidak melihatnya. Kecuali ketika dia diperintahakan, maka kemudian mencabutnya..."

Imam Ahmad merawikan bahawa Rasullullah merawikan :

Pada malam Nifsu Syaaban, Allah meneliti kepada hamba-Nya, kemudian Dia mengumpul seluruh penghuni bumi kecuali dua orang; orang musyirik dan orang yang memeberati dengan dosa.

Rasulullah S.A.W menyatakan:
Malaikat jibril mendatangiku pada malam nifsu syaaban 15 Syaaban seraya berkata 'Hai Muhammmad, malam ini pintu pintu langit dan pintu rahmat dibuka .Bangunlah dan sembahyanglah angkat kepalamu dan tadahlah dua tanganmu ke langit!
Aku pun berkata,"Hai jibril, malam ini malam apa?''

Jibril menjawab, "Malam ini dibukakan 300 pintu rahmat. Tuhan mengampuni segala kesalahan orang yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu,kecuali tukang sihir, tukang nujum, orang yang bermusuhan, orang yang terus menerus minum khamar (arak), terus menerus berzina, memakan riba, derhaka kepada ibu bapa, orang yang suka mengadu domba dan orang yang memutuskan sillaturahim. Tuhan tidak akan mengampuni mereka sampai mereka taubat dan meninggalkan segala kejahatan itu..."

Rasullullah pun keluar, lantas mengerjakan solat dan menangis dalam sujudnya ,seraya bermohon, 'Oh Tuhan. saya berlindung kepada-Mu dari azab seksa-Mu dan dari kemurkaaan-Mu, tiada ku batasi pujian kepada-Mu sebagaimana engkau telah memuji diri-Mu. Maka bagiMulah segala puji pujian itu hingga Engkau redha...

Rasullullah bersabda:
Barang sesiapa memuliakan bulan Syaaban dan takut kepada Allah,beramal taat kepadaNya dan menahan dirinya dari perbuatan maksiat, nescaya diampuni Allah segala dosanya dan dipelihara Allah ia pada tahun itu dari berbagai cubaan dan penyakit.."

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...