October 26, 2009
25 Okt, BAITULMAQDIS – Pasukan keselamatan Israel menyerbu kawasan di perkarangan Masjid Al-Aqsa semalam dengan melepaskan tembakan pegun bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang membaling batu ke arah mereka.Walaupun tidak terdapat kecederaan yang serius, ia merupakan salah satu insiden yang paling tegang di sekitar perkarangan Masjid Al-Aqsa di sini.
Sebelum ini beberapa pemimpin Islam mendesak supaya penduduk berhimpun di laman Masjid Al-Aqsa awal semalam bagi menunjukkan bantahan berhubung tindakan rejim Zionis yang dianggap sebagai penaklukan Yahudi.
Namun, polis Israel menyatakan sejumlah penunjuk perasaan membaling bola api dan mencurahkan minyak supaya anggota-anggota pasukan keselamatan tergelincir semasa mengejar mereka.
Kehadiran sekumpulan besar anggota pencegah rusuhan menyebabkan ramai penunjuk perasaan berlari untuk berlindung di masjid.
Pasukan keselamatan Israel tidak memasuki masjid itu tetapi penunjuk perasaan itu melemparkan pelbagai objek ke arah mereka.
Sebanyak tiga anggota polis cedera manakala 15 penunjuk perasaan ditangkap.
SEJUMLAH lelaki Palestin bergelut dengan anggota-anggota polis Israel dekat perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis semalam.
Menurut jurucakap Israel, Micky Rosenfeld, antara yang ditangkap itu ialah seorang penasihat Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
Pasukan perubatan Palestin mendakwa pihak berkuasa Israel cuba menghalang ambulans tiba di tempat kejadian.
Dua penunjuk perasaan dilihat mengalami kecederaan termasuk seorang lelaki tua yang ditembak di bahagian kaki dengan peluru getah.
Ratusan penunjuk perasaan turut berlindung di dalam masjid itu.
Ketua Polis Israel, Dudu Cohen mendakwa sekumpulan kecil ekstremis Islam cuba untuk mencetuskan keganasan.
“Polis akan bertindak dengan keras terhadap sesiapa yang cuba untuk menjejaskan ketenteraman di kawasan itu dan melakukan hasutan bagi tujuan rusuhan,” katanya.
- AP
No comments:
Post a Comment