142 --- 145
Tuhan mengisahkan sikap orang yang tertentu mempertikaikan hal perubahan kiblat umat Islam ketika kiblat mereka berubah dari Baitul Maqdis kepada Mekkah. Agak menarik jika kita dilihat bagaimana Tuhan telah menamakan mereka dengan panggilan yang kasar iaitu, orang-orang yang bodoh.
Tuhan telah mengirim jawapan dan Dia tak pernah meninggalkan nabi teraba-raba dalam kegelapan mencari jawapan balas. Ini kerana, sikap tidak menjawab itu akan memperlihat kelemahan Islam itu sendiri.
Jawapan yang dikirim Tuhan adalah, Timur dan Barat itu milik Tuhan. Di mana-mana pun kita hadapkan wajah, itu bukan lagi persoalan. Ada falsafah yang tersendiri kenapa umat Islam dihadapkan ke arah kaabah itu.
Dalam kesempatan ini, al-Quran menjelaskan mengenai kedudukan istimewa kedudukan kita sebagai umat Muhammad berbanding umat-umat terdahulu. Iaitu, kita akan diangkat menjadi saksi ke atas perihal salah laku umat terdahulu di akhirat kelak. Dan, Rasulullah pula akan menjadi saksi ke atas kebenaran penyaksian kita itu. Itu keistimewaan kita.
Kembali kepada tajuk perubahan kiblat ini, al-Quran menjelaskan bahawa perubahan itu juga adalah sebagai suatu ujian untuk melihat siapakah yang benar-benar mengikuti Rasulullah dan siapa pula yang berpaling tadah.
Ini kerana, peralihan kiblat amat berat diterima kecuali bagi mereka yang diberikan petunjuk Allah dan Dia tidak akan menghilangkan bukti iman mereka berhubung hal itu.
Nabi Muhammad rindukan kaabah tempat baginda selalu bersolat, mengikuti ajaran Ibrahim, nenek moyangnya, baginda kerap bermunajat dan mengangkat wajahnya ke langit. Lalu, hal perubahan kiblat itu diperkenankan Tuhan. Sambil itu, Allah s.w.t menjelaskan bahawa hal perubahan kiblat itu memang sedia diketahui Ahli Kitab bahawa hal itu adalah perintah dari Tuhan. Tapi, mereka sengaja membangkitkan isu tersebut.
Tuhan mengingatkan bahawa jika Ahli Kitab diperjelaskan hal peralihan kiblat itu, nescaya mereka ingkar walaupun hal itu memang mereka maklum menurut kitab mereka sendiri.
Mereka tidak akan menghadapkan wajah ke arah kiblat umat Islam dan kita diminta supaya tidak mengikut kiblat mereka itu.
146 --- 152
Diriwayatkan bahawa Ahli Kitab memang mengenali Nabi Muhammad s.a.w melebihi anak mereka sendiri. Maka, setiap catitan di dalam Taurat itu sudah tentu membenarkan kerasulan Muhammad s.a.w itu termasuklah hal peralihan kiblat tadi yang sudah sedia mereka tahu.
Dan, hal yang semacam itu tidak diketahui oleh orang Arab kerana perbezaan tulisan Ibrani dalam Taurat tersebut. Orang-orang Arab yang beriman dengan Rasulullah itu mengikut saja petunjuk rasul walhal Ahli Kitab mengetahui kebenaran, tetapi mereka ingkar dan berusaha keras menyembunyikan kebenaran terhadap kerasulan dan ajaran baginda.
Bagi setiap umat itu, pada asalnya telah pun ada arah kiblat ketika mahu menyembah Tuhan. Namun, dengan peredaran zaman dan tokok-tambah ke atas ajaran Tauhid tadi, telah berubah wajah keaslian ajaran Tauhid tadi.
Maka dalam kes ini, Tuhan cuma meminta kita tidak mempedulikan kritikan penganut agama lain, sebaliknya berterusanlah berlumba-lumba membuat kebaikan dan serahkan saja hal ini kepada Allah di hari akhirat kelak.
Mengadap kiblat ini adalah lambang penyatuan umat Islam seluruh dunia. Yang diinginkan Tuhan ialah semangat perpaduan antarabangsa atas nama Islam. Sebab itu, dalam masyarakat tempatan, kita digalakkan solat jemaah sebagai satu usaha mengikat tali persaudaraan itu.
Tapi, bagaimana mahu menyatukan ikatan roh antara masyarakat Muslim seluruh dunia?
Maka kiblat inilah jalan perantara perhubungan rohani sesama Muslim apabila syiar Islam ini telah berkembang ke seluruh dunia, di India, China, Alam Melayu dan lain-lainnya sebagai bukti kebersamaan
Muslimin sejagat dalam menjunjung nilai Tauhid Nabi Ibrahim.
Arahan menghadapkan wajah ke arah kiblat ini turut dikritik dan Tuhan meminta mereka itu jangan berasa lemah ketika berdepan dengan kritikan tersebut, melainkan ketakutan itu cuma diletakkan kepadaNya. Tuhan merujuk hal ini sebagai nikmat agar terbangkit rangsangan dan motivasi untuk kekal bersolat menghadapkan wajah ke kiblat walaupun mereka dicela.
Allah seolah-olah memujuk Muslimin saat dicela ekoran kritikan berhubung peralihan kiblat itu, dengan menyatakan bahawa hal perubahan kiblat itu adalah satu nikmat pemberian Allah yang setanding dengan nikmatNya mengutuskan rasul seperti Muhammad yang dibangkitkan dalam kalangan warga Arab sendiri.
Dekatnya rasul dalam kalangan bangsa Arab ini membangkitkan rasa cemburu di hati Ahli Kitab yang menyangkakan bahawa kehadiran rasul teragung ini, mungkin berlaku di dalam daerah lingkungan nasab mereka sendiri. Tetapi, rupa-rupanya hal itu tidak berlaku.
Setelah Bani Israel itu mengalami tempoh pembersihan aqidah Tauhid yang panjang dan ada kalangan mereka yang ingkar sehingga sanggup membunuh nabi-nabi mereka sendiri, maka Tuhan membangkitkan rasul terakhir dalam bangsa Arab yang masih punya pertalian dengan nasab keturunan Ibrahim dan bagindalah manusia Arab terbaik yang masih setia memegang ajaran Tauhid Ibrahim ketika orang Arab lain terbelenggu dengan amalan syirik.
Sebab itulah, kiblat di Kaabah dipilih Tuhan sebagai kiblat kerana ia dibangunkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail a.s. Dan, bangsa Arab itu nasabnya sampai kepada Ibrahim melalui anak baginda, Nabi Ismail a.s.
Seperti mana kedudukan nenek moyang baginda Ibrahim yang pernah memecahkan berhala, berusaha keras membunuh amalan syirik, maka seperti itu jugalah nikmat Tuhan memberikan kepada orang Arab Muslimin terawal itu, seorang rasul yang disifatkan Tuhan sebagai:-
"..seperti (nikmat) Kami mengutuskan kepada kamu seorang Rasul dari kalangan kamu (iaitu Muhammad), yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu, dan membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat), dan yang mengajarkan kamu kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan, dan mengajarkan kamu apa yang belum kamu ketahui."
Dengan sebab nikmat berkiblatkan kepada Kaabah dan dengan nikmat kemunculan nabi baru dalam kalangan Arab yang mengikuti ajaran Tauhid Ibrahim ini, dengan menghapus amalan kufur, syirik ini, maka Tuhan pun memperingatkan kita..
"Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu, supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). (Al-Baqarah: 152)
No comments:
Post a Comment