Friday, July 15, 2011

Hakikat Sebuah Perjuangan

Berjuang itu memang pahit. Sebabnya? Kerana syurga itu manis. Bagi saya, itulah jawapan yang paling tepat dan seringkali menjadi pencetus dan pendorong motivasi buat diri yang diuji dengan onak duri sebuah perjuangan.

Sesungguhnya, umat manusia tidak terlepas daripada diuji di dalam kehidupan di dunia yang semakin ke penghujung ini. Kegagalan merupakan salah satu ujian dan cabaran yang menduga kekuatan hati seseorang.

Sekaligus ia menguji kecekalan semangatnya, iaitu sama ada dia mengambil keputusan untuk berputus asa begitu sahaja atau dia nekad untuk meneruskan perjuangannya.

Saya tertarik dengan petikan sajak yang terungkap dalam novel Tautan Hati, karya Fatimah Syarha yang begitu indah sekali maknanya.


Temanku,
Kau tidak bodoh andai kau gagal selepas berusaha,
Kerana itu satu ujian dan dijanjikan pahala,
Bakal mengangkat darjatmu di sisi-Nya,
Jika kau reda, sabar dan terus berusaha,
Tapi, kau sememangnya bodoh,
Jika kau langsung tidak berusaha,
Kerana pasti kau akan gagal dan menderita.
Tiada nilaian pahala dari-Nya,
Malah kau pula menanggung dosa,
Lantaran kau siakan amanah berharga.

Subhanallah, sememangnya perjuangan merupakan satu amanah yang begitu berharga! Satu amanah dan tanggungjawab yang tidak sewajarnya dipandang enteng dan sambil lewa.

Dalam meniti perjuangan suci, ujian dan tribulasi seringkali mengekori langkah. Saya teringat kata-kata puitis salah seorang pensyarah,

"Tiada kehidupan tanpa ujian, tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan dan tiada cinta tanpa air mata..."

Bait-bait indah tersebut terpahat kemas di minda saya sehinggalah sekarang. Begitu hebat kan kuasa kata-kata? Subhanallah. Tiada kehidupan tanpa ujian, dan tiada kebahagiaan tanpa pengorbanan.

Tanpa ujian, tidak beertinya sebuah kehidupan dan kebahagiaan tidak akan datang bergolek tanpa adanya pengorbanan. Maka bersabarlah duhai sahabat, kuatkan semangat dan kukuhkanlah iltizam dalam hatimu.

Jangan kita berasa goyah dengan setiap ujian yang menimpa kita. Kerana ujian itu merupakan tanda kifarah dosa dan sebagai tanda kasih serta rahmat Allah daripada Allah kepada kita.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya DIA mengetahui orang-orang yang dusta." (Surah Al-Ankabut: 2-3)

Teguhkan hati dan kuatkan kesabaran di dalam sanubari, walaupun beribu rintangan mendatang dalam perjuangan ini. Sesungguhnya,

"Apa yang anda sabarkan anda akan memperoleh hasilnya kerana kesabaran itu akan menolong segala pekerjaan. Ketahuilah dalam kesusahan dan kepayahan itu tersembunyi nasihat-nasihat kebijaksanaan".

Ketahuilah bahawa apabila kita bersabar dan sentiasa meneguhkan kesabaran kita, maka akan timbul kekuatan dalam diri ini dan kita akan turut memperoleh pahala. Namun, apabila kita sentiasa berkeluh kesah, maka akan timbullah kelemahan dalam diri ini.

Ayuh sahabat,
Perjuangan ini perlu diteruskan kerana perjuangan kita terlalu jauh dan memakan masa yang sangat panjang. Entah di mana pengakhirannya. Bukan itu sahaja, dugaan dan tribulasi yang bakal dihadapi juga akan datang secara silih berganti.

Ia hanya dapat dicantas dan diatasi dengan keimanan yang kukuh di samping semangat yang tinggi. Inilah langkah kita duhai sahabat! Ingatlah, perjuangan yang berpaksikan semangat semata-mata tanpa disertai keimanan dalam jiwa akan gagal menepati jalan yang sewajarnya.

Penggabungan semangat dan keimanan amat perlu dalam diri kita dalam menjejakkan kaki ke medan perjuangan suci ini. Sebagai pengakhir kata, saya ingin memetik kata-kata Sultan Muhammad al-Fateh, yang terkenal dengan kekuatan semangat spiritualnya. Begitu hebat sekali kata-kata dan semangatnya.

"Aku (Muhammad al-Fateh) mempunyai dua sifat. Sifat keras seperti batu iaitu keazamanku mencapai apa yang aku inginkan. Sifat lembut seperti air iaitu ketika aku memohon ampun kepada Tuhanku. Apakah dengan dua sifat ini aku masih tidak boleh mencapai kemenangan".
(Amru Khalid, pemikir Islam kontemporari dalam Kuasa Kepimpinan Al-Fateh, Muhammad Syaari Abdul Rahman, 2011: 95)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...